Berita

Lembaga Pengarah 1MDB yang baru digesa selesaikan kemelut syarikat

KUALA LUMPUR, 1 JUN: DAP menggesa supaya Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang baru dilantik semalam supaya menunjukkan komitmen dan kesungguhan untuk menyelesaikan kemelut skandal kewangan yang dihadapi syarikat sarat hutang terbabit.

Setiausaha Publisti DAP, Tony Pua berkata, pindaan terhadap Memorandum dan Artikel Persatuan serta perubahan Lembaga Pengarah 1MDB akan menjadi satu pembaziran jika pengarah-pengarah baru tidak menjalankan kuasa yang diamanahkan.

“Agenda utama bagi mesyuarat kali pertama Ahli-ahli Lembaga Pengarah, yang mungkin diadakan tidak lama lagi, adalah untuk meminta supaya juruaudit syarikat, Deloitte & Co untuk memulakan dan melengkapkan audit 1MDB yang tertangguh bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2015 dan Mac 2016.

“Tanpa gambaran yang jelas dan tepat mengenai kedudukan kewangan syarikat, lembaga pengarah akan bertindak dalam vakum, membuat keputusan tanpa mengetahui status asas syarikat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Incorporated) semalam yang mengumumkan pelantikan lembaga pengarah baharu 1MDB bagi menggantikan lembaga pengarah sebelum ini yang meletak jawatan berkuatkuasa 31 Mei.

Ahli lembaga yang baru dianggotai dan dipengerusikan setiausaha perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, setiausaha sulit kanan kepada ketua setiausaha kerajaan Datuk Norazman Ayob, dan ketua pegawai operasi Prokhas Sdn Bhd Datuk Kamal Mohd Ali. Manakala Arul Kanda Kandasamy kekal sebagai presiden 1MDB.

MoF Incorporated pada masa sama berkata ia telah melaksanakan cadangan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) bagi meminda artikel penubuhan 1MDB berkuat kuasa 31 Mei, termasuk pembubaran lembaga penasihat 1MDB, penghapusan Artikel 117 dan penukaran semua rujukan daripada perdana menteri kepada menteri kewangan.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, juruaudit perlu memberi keutamaan secara khusus untuk mengaudit dana AS$7 bilion (RM28 bilion) yang dipercayai hilang daripada 1MDB ekoran daripada kekurangan kerjasama daripada pihak pengurusan dan lembaga pengarah sebelum ini.

Mengulas lanjut, Beliau yang juga anggota PAC berkata, Serigar sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB yang baru harus mengarahkan Arul Kanda supaya membekalkan semua maklumat dan dokumen bukti yang berkenaan supaya dibentangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah yang pertama.

“Jika Arul Kanda gagal menerangkan mengenai AS$ 7 bilion dana yang diakaunkan, maka lembaga pengarah kini dalam kuasa mereka, selepas penyingkiran Artikel 117, memecat Arul Kanda ekoran ketidakcekapan, dan tindakan menutup dan bersubahat dengan penjahat yang telah menyebabkan berbilion-bilion dolar kerugian bagi rakyat Malaysia,” tegasnya. – Roketkini.com