Berita

Nik Abduh ditempelak, tiada kerusi yang dipinjamkan PAS kepada DAP

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Tidak ada sebarang rundingan kerusi antara PAS dan DAP sebelum Pilihanraya Umum ke-13 kerana tidak ada pertindihan kerusi antara kedua-dua parti, justeru tidak timbul soal PAS meminjamkan kerusi kepada DAP.

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataan menjawab tuduhan Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, meski bebas dan berhak untuk bertanding di mana-mana kerusi pada PRU akan datang, cakap-cakap untuk menuntut “pinjaman” yang tak pernah wujud adalah satu pembohongan terhadap DAP.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen yang bergelar agamawan, saya menyeru beliau supaya lebih bertanggungjawab dalam kenyataannya dan menyampaikan ucapan berlandaskan fakta yang kukuh,” ujar Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban.

Menurutnya lagi hujah Nik Abduh yang tidak disokong dengan fakta adalah satu cubaan untuk menimbulkan persepsi negatif serta bertujuan mengelirukan ahli-ahli akar umbi PAS kononnya hanya PAS sahaja yang berkorban semasa menjalinkan kerjasama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Bahkan sebenarnya PAS memperolehi kelebihan semasa mereka bekerjasama dengan DAP dan PKR, sehinggakan parti Islam itu berjaya memenangi kerusi-kerusi yang tidak pernah dimenangi di negeri-negeri Pantai Barat seperti di Perak, Selangor dan Johor.

“Hampir semua kerusi yang ditandingi dan dimenangi oleh DAP dalam PRU 13 adalah kerusi-kerusi yang ditandingi sejak tahun 1969 lagi iaitu pilihan raya pertama yang disertai oleh DAP sejak ditubuhkan pada tahun 1966,

“Saya ingin bertanya kepada Nik Abduh; kerusi manakah yang “dipinjamkan” oleh PAS kepada DAP dalam PRU 13?” soal beliau.

Anthony turut melahirkan rasa kesal terhadap sikap Nik Abduh yang seolah-olah melupakan sejarah serta sumbangan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap PAS.

“Saya juga berasa kesal dengan sikap angkuh Nik Abduh yang tidak mengenang jasa dan peranan yang dimainkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam membantu PAS melonjak ke politik arus perdana pasca Gerakan Reformasi 1998.

“Umum mengetahui bahawa PAS memenangi kerajaan negeri Terengganu pada tahun 1999 di atas gelombang kebangkitan rakyat yang dicetus oleh kemarahan terhadap kezaliman ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelas beliau.

Semalam di Muktamar ke-57 Pemuda PAS yang berlangsung di Pusat Dagangan Kelantan, Nik Abduh yang hadir berpakaian panglima Melayu dilapor menyarankan partinya mengkaji semula agihan kerusi yang ditandingi parti itu pada PRU akan datang.

“Sekiranya pimpinan parti mengambil satu langkah berani untuk bertanding di kerusi yang selama ini dipinjamkan kepada PKR dan DAP dalam PRU yang lepas, kami Pemuda PAS memberi ikrar dan janji akan mengambil seribu satu langkah bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS,” kata Nik Abduh. – Roketkini.com