Rencana

Perbandingan dua pemimpin meniti negara autokrasi?

Sewaktu hampir seluruh dunia sedang meniti proses demokrasi, wujud pula dua sosok pemimpin yang megah menuntun bangsa mereka ke jalan yang hampir sama antara kedua-duanya; namun, bukan satu jalan yang dikira bagus. Walaupun dengan bangkitnya kebelakangan ini, begitu banyaknya para ekstremis dan pemimpin politik yang fanatik, dengan kenyataan dan pendirian mereka yang cuba untuk meradikalisasikan semua orang, Turki dan Malaysia telah menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa laluan yang paling bagus ke arah autokrasi adalah dengan “mengurus” (secara kuku besi) dan memanipulasi demokrasi.

Sama seperti Perdana Menteri Malaysia dalam konteks antarabangsa, Presiden Turki Recep Tyyip Erdogan pada suatu masa dahulu sering diagung-agungkan sebagai pemimpin contoh yang terbaik bagi negara-negara majoriti Muslim; disebabkan beberapa inisiatif awal sewaktu beliau masih lagi berjinak-jinak di dalam dunia politik.

Persamaan jelas kepimpinan antara kedua-duanya mula mendapat perhatian saya pada awal tahun ini (Februari dan Mac 2016), apabila rejim-rejim ini dalam jangka masa 10 hari telah pun menutup agensi media yang berani untuk melaporkan fakta-fakta yang melibatkan pemimpin negara mereka. Peristiwa penutupan agensi media seperti Malaysian Insider juga telah berlaku di Turki, cumanya ia berlaku kepada “Zaman” iaitu agensi suratkhabar pro-pembangkang terbesar. Apabila demonstrasi aman tanda protes dilaksanakan, pihak berkuasa telah bertindak dengan kejam menggunakan meriam air dan gas pemedih mata. Walaupun di Malaysia tiada siapa yang berdemonstrasi ke atas penutupan TMI, tetapi kita semua tidak perlulah diingatkan dengan memori yang sama kejam sewaktu Bersih 1, Bersih 2 dan Bersih 3.

Sama seperti UMNO, kerajaan AKP (Parti Pembangunan dan Keadilan Turki) milik Erdogan selalu menghadapi krisis-krisis yang melibatkan skandal rasuah, tuduhan mengugut media, serta tindakan melampau dalam mempolarisasi agenda politik terhadap etnik-etnik tertentu; di mana kesemua krisis ini menyemai benih-benih kebencian ke seluruh negara.

Walaupun Erdogan dan Najib sedang disiasat oleh beberapa agensi penguatkuasa undang-undang luar negara di atas tuduhan rasuah, tunjang politik mereka di tanah air masing-masing masih kuat dan masih kukuh seperti biasa. Kejadian penahanan 50 individu yang mempunyai hubungan rapat dengan AKP disebabkan skim wang haram serta satu klip video Youtube yang menjadi bukti Erdogan mengarahkan anak beliau untuk menyahkan berpuluh-puluh juta wang rasuah, merupakan dua episod baharu di dalam drama skandal Turki; di mana, ia masih sangat sedikit jika dibandingkan dengan ‘Derma Saudi’ kepada Najib yang bernilai RM 4.2 B.

Suatu ‘kelebihan’ yang Erdogan berjaya capai berbanding Najib adalah di dalam satu bidang autokrasi yang lain. Erdogan pada hari ini dengan pantas mengubah negara Turki kepada sistem yang berpusat kepada sistem satu individu sahaja. Erdogan dan partinya – oligarki Turki – yang telah terbenam di dalam nasionalisasi berpolar, sedang melakukan kemusnahan, penghapusan dan pencurian di Kurdistan semata-mata untuk mengekalkan agenda kolonialnya.

Dalam usaha untuk mencapai objektif yang kotor ini, Erdogan telah mencetuskan satu perang di Kurdistan pada Julai 2015. Dalam fasa pertama, beliau telah menghentikan proses pendamaian di antara negara Turki dan Parti Pekerja Kurdistan PKK (Kurdistan Workers’ Party Kurdish: Partiya Karkerên Kurdistanê )‎ dan meminggirkan pemimpinnya, Abdullah Ocalan. Tidak lama kemudian, beliau mula menganjurkan serangan ke atas orang awam yang secara umum diketahui sebagai satu usahasama di antara AKP dan ISIS. Serangan ini telah meragut 5 nyawa di Diyarbakir, 33 nyawa di Suruc dan 100 nyawa di Ankara; sekurang-kurangnya secara keseluruhan 929 orang telah tercedera di dalam ketiga-tiga serangan.

Kemudiannya, pasukan polis dan tentera telah digunapakai di dalam fasa kedua perang ciptaan Erdogan. Untuk berbulan-bulan lamanya, perintah berkurung darurat telah dikerah di beberapa pekan kecil dan bandar merentasi Kurdistan. Bandar-bandar Kurdish seperti Cizre, Silopi dan Sur di dalam Diyarbakir telah hancur musnah. Di Cizre sahaja, 120 orang awam telah dibakar hidup-hidup di dalam ruang bawah tanah (dokumentasi daripada UN, HRW and AI). Lebih parah lagi, keadaan yang sama sedang berlaku di Nusaybin, Yuksekova dan Sirnak. Semua bandar Kurdish kini di bawah serangan tentera Turki setiap hari. Sehingga sekarang, 800 orang awam (kebanyakannya wanita dan kanak-kanak) telah pun dibunuh di dalam bandar-bandar dan pekan-pekan kecil oleh negara Turki ini.

Susulan dari itu, walaupun Najib masih belum menjelajahi pendekatan menindas rakyat melalui perang dan keganasan yang melampau, tetapi, ia tidak bermakna beliau tidak menindas dengan kaedah lain yang sama zalim. Sebenarnya, dalam bidang penindasan melalui penyabitan undang-undang, kedua dua mereka kelihatan sama hebat.

Di saat ini, Erdogan sedang meletakkan sasaran kepada ahli-ahli Parlimen yang menghalang cita-cita diktatornya. Matlamatnya untuk memusnahkan sistem parlimen kini sudah semakin dekat. Ketika Najib menggunakan sistem kehakiman untuk memaku persepsi negatif kepada pihak pembangkang melalui media negara kawalan pemerintah (yang akhirnya, menghumban setiap pembangkang ke dalam penjara); Erdogan mengambil pendekatan yang lebih mudah.

Erdogan sudah lama merancang untuk menegakkan sistem presiden yang mutlak. Malah, dia sendiri telah menyatakan demokrasi berparlimen Turki hakikatnya sudah mati. Secara strategiknya, dia juga telah merancang suatu gerakan untuk melumpuhkan semua musuh politiknya. Walaupun pengenalan kuota minima undi 10% pilihanraya bagi mana-mana parti untuk memasuki Parlimen, penahanan dan pemberkasan besar-besaran ahli parti pembangkang, ratusan serangan fizikal terhadap pejabat pihak oposisi, dan jenayah terhadap aktivis oposisi yang berterusan telah berleluasa; rejim Erdogan masih gagal untuk menghalang masuk barisan oposisi ke Parlimen pada pilihanraya tahun lepas.

Daripada 2013 sehingga 2015, parti ketiga terbesar di Parlimen Turki, Parti Demokratik Rakyat Turki (HDP) telah menyertai perbincangan keamanan bersama-sama dengan kerajaan AKP bagi pihak PKK. Disebabkan kejadian ini, imuniti pengamal undang-undang HDP telah pun digugurkan daripada keseluruhan Parlimen. Erdogan telah berjaya melaksanakannya dengan bantuan perwakilan nasionalisme Turki: AKP, MHP (Parti Tindakan Nasional), dan beberapa ahli CHP (Parti Rakyat Republikan). Hal yang demikian merupakan plot yang semakin matang dalam menghampiri cita-cita Erdogan, dan HDP ialah mangsa yang tepat pada tempat dan masa yang salah. Ahli Parlimen HDP kini boleh dikatakan hanya menunggu masa untuk dihumban ke dalam penjara.

Rakyat Malaysia yang menyokong penuh Demokrasi, Keadilan dan barisan oposisi masih mampu untuk menghembus nafas lega kerana keadaan Malaysia yang kurang autokratik. Tetapi, cuba fikir sejenak. Perancangan utama Najib untuk meracuni demokrasi Malaysia sudah mula digerakkan sekian lama. Segala tuduhan, tahanan, dan tindakan menyabit kesalahan ke atas ahli politik pembangkang hakikatnya bertujuan untuk menekan dan melumpuhkan kepemimpinan barisan pembangkang.

Saya telah mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi IUSY pertama saya sebagai Presiden di Vienna sepanjang hujung minggu lepas. Di sana, kami telah membincangkan perkara-perkara yang sangat rumit tentang situasi politik seluruh dunia, dan bagaimana ia memberi kesan kepada rakyat, terutamanya kepada belia. Pemikiran ini merupakan antara perkara-perkara yang sentiasa mengganggu perhatian saya daripada memberi tumpuan kepada isu makro.

Malaysia dan Turki, Erdogan dan Najib, UMNO dan AKP seharusnya tidak dibenarkan untuk meneruskan agenda-agenda ini untuk mengekalkan kuasa dan mendustai komuniti antarabangsa ini. Kedua-dua negara sedang tersasar jauh daripada demokrasi, dan mula menapak ke arah negara autokrasi; dan kedua-duanya berani menggunakan dan memanipulasi agama, patriotisme dan demokrasi untuk ke arah itu. – Roketkini.com

*Howard Lee ialah Adun Pasir Pinji merangkap Presiden Kesatuan Sosialis Muda Antarabangsa (IUSY)