Rencana

Bahana RUU Hadi tidak boleh dipandang ringan

Kejutan akibat peristiwa yang berlaku pada hari terakhir persidangan Parlimen yang lalu masih lagi menghantui negara. Dalam satu tindakan persekongkolan antara PAS dan Umno, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Azalina Othman Said telah mengemukakan usul di Parlimen untuk menyegerakan rang undang-undang persendirian oleh Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Jika diluluskan, pindaan ini akan memansuhkan had hukuman sedia ada “3-5-6” bagi mahkamah syariah, yakni penjara tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan enam sebatan. Justeru, mahkamah syariah akan diperkasakan dengan kuasa untuk mengenakan sebarang bentuk hukuman yang dibenarkan dalam Islam, selain daripada hukuman mati.

Mengapa katakan ia bukan hudud?

Kekeliruan timbul ekoran percubaan oleh Umno dan PAS untuk mengurangkan kegemparan rang undang-undang ini. Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak, umpamanya, telah mencadangkan bahawa pindaan yang dicadangkan ini tidak bermaksud untuk melaksanakan hukum hudud, tetapi semata-mata untuk meningkatkan kuasa hukuman mahkamah syariah. Begitu juga, Hadi menegaskan bahawa rang undang-undang beliau hanyalah bertujuan untuk “mengangkat martabat” mahkamah syariah, dan bukan untuk memperkenalkan hukum hudud di Kelantan.

Kenyataan sebegini adalah cubaan untuk mengaburkan mata rakyat.

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, usaha PAS selama ini untuk melaksanakan hukum hudud dengan meluluskan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 di Kelantan dan Undang-undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) 2003 di Terengganu tidak pernah membuahkan sebarang hasil, atas sebab batasan dalam undang-undang persekutuan dan juga Perlembagaan Persekutuan.

Bagi membolehkan pelaksanaan hukum hudud, pindaan kepada undang-undang sedia ada perlu dibuat, dan oleh kerana kerajaan pusat sehingga kini tidak pernah menunjukkan sebarang kesanggupan untuk berbuat demikian, maka hudud tidak pernah dianggap sebagai satu kemungkinan. Sehinggalah kini.

Melalui rang undang-undang Hadi ini, kedua-dua halangan utama telah diselesaikan. Pertama, jenayah yang jatuh di bawah undang-undang persekutuan, seperti pencurian, rompakan dan liwat, telah dikecualikan. Ini adalah tindakan yang lantas memintasi persoalan Perlembagaan yang nyata, kerana percanggahan bidang kuasa tidak lagi timbul.

Kedua, pemansuhan had 3-5-6 yang sedia ada dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) serta-merta membolehkan kebanyakan daripada hukuman yang ditetapkan di bawah hukum hudud, khususnya 100 sebatan untuk zina, 80 sebatan untuk qazaf (fitnah zina), 40-80 sebatan kerana mabuk dan hukuman penjara tanpa had jelas dengan penyitaan harta bagi mereka yang disifatkan sebagai sesat dan murtad.

Justeru, walaupun pengecualian jenayah persekutuan sememangnya bermakna bahawa enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu tidak boleh dipakai secara keseluruhannya, pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) pada dasarnya akan membolehkan pelaksanaan semua hukum hudud kecuali hukuman mati.

Oleh itu, memandangkan sebahagian besar daripada enakmen hudud akan diaktifkan dengan pindaan ini, maka adalah salah untuk mengatakan bahawa rang undang-undang Hadi ini tidak berkaitan dengan hudud.

Hukuman mati perbatasan tunggal

Kesan rang undang-undang Hadi tidak berakhir di situ. Dengan pemansuhan had hukuman sedia ada serta pengenaan perbatasan tunggal dalam bentuk hukuman mati, ia bermaksud bahawa apa-apa hukuman lain termasuk penyitaan harta, hukuman penjara tanpa had, pemotongan anggota dan sebarang bilangan sebatan, boleh dilaksanakan dengan mudah asalkan pindaan dilakukan kepada enakmen negeri yang berkaitan.

Sebagai contoh, kerana mahkamah syariah tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman rejam sehingga mati kepada penzina sebagaimana ditetapkan dalam enakmen hudud, mereka sebaliknya boleh dihukum melalui beberapa alternatif, termasuk penjara seumur hidup, sebatan di khalayak umum atau pengasian.

Pada masa yang sama, mereka yang didapati bersalah kerana sesat dan murtad mungkin menghadapi hukuman teruk seperti penjara seumur hidup, atau apa sahaja hukuman selain hukuman mati. Di Malaysia, di mana terdapat golongan minoriti Islam seperti Syiah yang dianggap sesat, kemungkinan ini boleh membawa bahana yang menakutkan.

Senario ini menimbulkan kebimbangan apabila kita mengamati pengalaman pelaksanaan hukum hudud di negara-negara lain pada hari ini. Secara kelaziman, pelaksanaannya mendedahkan bias sosial yang jelas terhadap kumpulan terpinggir, termasuk wanita, orang miskin dan golongan minoriti. Apakah jaminan bahawa sistem ini akan mengadili mereka dengan adil?

Bahana daripada rang undang-undang Hadi ini tidak boleh dipandang ringan. Ia bukan sekadar memberi kuasa hampir mutlak kepada sistem undang-undang syariah dalam penentuan hukuman, ia juga akan terus memisahkan masyarakat kita serta menyekat kebebasan peribadi umat Islam. Walaupun agenda hudud ini mampu mencapai tujuan politik Umno dan PAS dalam jangka masa pendek, ia akan membawa bencana bagi negara kita dalam jangka masa panjang.

*Zairil Khir Johari ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera