Rencana

PAS pimpinan Hadi semakin lama semakin menjadi UMNO

Saya amat terkejut dengan serangan ke atas DAP yang dilancarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelang pilihanraya kecil parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, seolah-olah kaliber politik dan kepimpinan Hadi perlu dinilai daripada serangannya terhadap DAP tanpa mengira kebenaran atau kepalsuannya.

PAS pimpinan Hadi semakin lama semakin menjadi UMNO, malah kadang-kala menjadi lebih UMNO dari UMNO, dan saya semakin tidak mengenali PAS yang berfikiran terbuka yang dahulunya diterajui oleh Tok Guru Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat yang merupakan Menteri Besar Kelantan untuk 23 tahun, atau PAS semasa zaman Presiden Fadzil Noor dan Yusuf Rawa, dua dekad sebelum Hadi.

Hadi pernah menyatakan bahawa beliau merupakan penasihat kepada UMNO dan Najib, tetapi saya terfikir sama ada Najib sebenarnya yang sedang menasihati Hadi!

Baru-baru ini, ada beberapa contoh yang membuktikan bahawa PAS pimpinan Hadi semakin menjadi UMNO, malah kadang-kala menjadi lebih UMNO dari UMNO itu sendiri.

PAS telah menuduh UMNO sebagai parti perkauman dengan menyokong “ketuanan Melayu” tetapi ia semakin mengikuti jejak langkah UMNO seperti yang digambarkan oleh penggunaan pakaian pahlawan Melayu baru-baru ini di Muktamar PAS – sehingga Menteri UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz dengan sinis menyatakan bahawa formula UMNO terbukti berjaya apabila PAS meniru mereka.

Tetapi peniruan PAS terhadap UMNO bukan setakat itu sahaja – Hadi kemudiannya menghunus keris panjang di Muktamar PAS, malah lebih panjang daripada keris pendek yang dihunus oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein semasa Perhimpunan Agung Pemuda UMNO ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO sehingga menyebabkan mudarat yang teruk kepada masyarakat majmuk di Malaysia!

muktamar62bMalah, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir turut membidas PAS kerana cuba menjadi lebih nasionalis dari UMNO – kononnya semakin panjang keris semakin nasionalis sesebuah parti itu, menggunakan kepanjangan keris untuk mengukur nasionalisme!

Dengan semua insiden tersebut, semua pihak seharusnya tidak terperanjat apabila PAS pimpinan Hadi semakin mengabaikan objektif dan slogan “PAS untuk Semua” serta mengakibatkan perpecahan Pakatan Rakyat apabila Hadi berkeras tidak mahu menghormati kerangka dasar bersama Pakatan Rakyat dan gagal menjadi “pemain pasukan” dalam Pakatan Rakyat, malah, secara unilateral menggunakan kuasa veto yang tidak wujud untuk menyekat keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat walaupun pemimpin PAS yang lain bersetuju dengan keputusan tersebut semasa ketiadaan Hadi.

Semasa PAS masih berada dalam Pakatan Rakyat untuk tujuh tahun iaitu dari 2008 hingga 2015, Hadi dan pemimpin PAS yang lain dituduh menjadi bidak dan tali barut DAP. Kini, Hadi dan kuncu-kuncunya pula yang menggunakan taktik UMNO dengan menuduh pemimpin Amanah sebagai bidak dan tali barut DAP.

Adakah Hadi cuba membuktikan tuduhan UMNO bahawa PAS merupakan tali barut DAP sebelum perpecahan PR itu benar?

Hadi kadang-kala cuba menjadi lebih UMNO dari UMNO.

Ini sewaktu Hadi menyatakan bahawa “pemimpin Malaysia wajib Islam, Melayu” yang bertentangan dengan prinsip asas Perlembagaan iaitu mana-mana rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama boleh menjadi Perdana Menteri.

Memahami realiti politik bahawa Melayu akan menjadi Perdana Menteri Malaysia dari sudut demografi politik dalam negara ini berbeza daripada menuntut tafsiran semula Perlembagaan bagi menyekat seseorang bukan Melayu dari menjadi Perdana Menteri.

Masanya telah tiba untuk sebuah politik baru di Malaysia di mana rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, sempadan atau parti politik, bersatu-padu untuk “Selamatkan Malaysia” daripada amalan rasuah dan ketidakadilan yang semakin berleluasa dalam negara ini.

MCA mendakwa mempunyai lebih dari satu juta ahli, tetapi pada pilihanraya umum ke-13 yang lalu, sekitar 70 peratus ahli MCA mengundi menentang calon MCA dan Barisan Nasional, menyokong calon PR sebagai tanda bersetuju dengan saranan PR agar berlaku perubahan politik di Putrajaya.

MIC pula mendakwa mempunyai 750 ribu ahli namun pada PRU13, sekitar 75 peratus daripadanya mengundi menentang calon MIC dan BN sebagai tanda menyokong calon PR.

Jika dalam pilihanraya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun nanti ahli-ahli PAS dan UMNO boleh bangkit menentang politik kotor bagi menyelamatkan Malaysia dengan tidak jatuh ke dalam perangkap Najib-Hadi yang menggunakan usul hudud Hadi untuk mengalih perhatian umum dari skandal derma RM4.2 bilion serta RM55 bilion 1MDB serta mengundi calon Amanah/Pakatan Harapan, pilihanraya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar bakal melihat permulaan politik baru di Malaysia, di mana kepentingan nasional diberi keutamaan berbanding kepentingan parti politik, tidak kira UMNO, PAS atau konspirasi politik Najib-Hadi.

*Lim Kit Siang merupakan Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah