Rencana

UMNO angkuh sehingga menderhaka kepada Majlis Raja-Raja

Pada 3 Disember 2015, Dewan Rakyat telah meluluskan sebuah rang undang-undang bernama rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara 2015 (RUU MKN 2015) walaupun mendapat bantahan daripada kalangan ahli parlimen pembangkang.

Bantahan ahli parlimen pembangkang yang terdiri daripada ahli-ahli parlimen DAP, Amanah dan PKR adalah berkaitan dengan kuasa Perdana Menteri yang telah mengambil atau melebihi kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung dalam mengisytiharkan sesuatu kawasan keselamatan.

Dewan Negara seperti biasa kemudiannya meluluskan RUU MKN 2015 pada 22 Disember 2015 tanpa sebarang pindaan.

RUU MKN 2015 tersebut kemudiannya dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja Melayu oleh Peguam Negara semasa Mesyuarat Majlis Raja-raja kali ke-240 pada 17 Februari 2016.

Setelah ditaklimatkan oleh Peguam Negara, Majlis Raja-Raja berpendapat bahawa beberapa peruntukan di dalam RUU MKN 2015 tersebut perlu diperhalusi semula.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dalam suatu kenyataan menyebut bahawa “Bagi maksud tersebut Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-raja Yang ke-240 akan mewasalkan warkah kepada YAB Perdana Menteri.”

Pada 18 Februari 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula dilaporkan berkata bahawa kerajaan mengambil maklum pandangan Majlis Raja-Raja bahawa beberapa peruntukan dalam rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara perlu diperhalusi.

Pada 19 Februari 2015 pula, akhbar Sin Chew Daily melaporkan bahawa Peguam Negara akan mengkaji semula RUU MKN 2015 selaras dengan nasihat Majlis Raja-Raja agar ianya diperhalusi semula.

Namun, pada 20 Mac 2016, Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang telah dilaporkan oleh Sinar Harian bahawa beliau mengharapkan agar RUU MKN 2015 dipercepatkan pindaan selaras dengan tuntutan Majlis Raja-Raja.

Beliau berkata, “Saya menyokong saranan Majlis Raja-Raja yang mahu rang undang-undang itu diperhalusi. Beberapa pindaan harus dibuat tanpa membuang masa demi kebaikan negara.”

Seterusnya pada 24 Mac 2016, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim dalam menggulung perbahasan ucapan titah di-Raja di Dewan Rakyat menyatakan bahawa Kerajaan akan membuat sembah taklimat sekali lagi kepada Majlis Raja-raja berhubung RUU MKN 2015 dalam masa terdekat.

Ironinya ialah semakan di laman sesawang Warta Kerajaan menunjukkan bahawa RUU MKN 2015 telah diwartakan pada 7 Jun 2016 dengan catatan “Tarikh Perkenan Diraja pada 18 Februari 2016 menurut Fasal 4A Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.”

Perlu diambil perhatian bahawa Perkara 66 Fasal 4A memperuntukkan bahawa mana-mana rang undang-undang yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agung untuk perkenan Diraja samada ia diperkenankan atau tidak tetap akan menjadi suatu akta sekiranya melebihi tempoh 30 hari.

Merujuk kepada Warta Kerajaan bahawa RUU MKN 2015 telah diwartakan pada 7 Jun 2016 setelah perkenan Diraja mengikut Perkara 66 Fasal 4A, maka jelas kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri yang didokong oleh Umno dan Barisan Nasional telah mengabaikan titah Majlis Raja-Raja malah melakukan penghinaan dan penipuan di Parlimen.

Bagaimana Menteri di Jabatan Perdana Menteri boleh memaklumkan kepada Dewan Rakyat pada 24 Mac 2016 bahawa suatu taklimat semula akan dilakukan kepada Majlis Raja-Raja sedangkan RUU telah diiktiraf mendapat perkenan Diraja pada 18 Februari 2016?

Tarikh 18 Februari 2016 yang disahkan sebagai tarikh perkenan Diraja mengikut Fasal 4A Perkara 66 adalah sehari selepas Majlis Raja-Raja meminta RUU diperhalusi.

Sewajarnya RUU MKN 2015 diperhalusi semula, dibawa pindaan ke Parlimen untuk dibahaskan dan kemudiannya disembah taklimatkan semula kepada Majlis Raja-Raja sebelum diwartakan tetapi sebaliknya berlaku. Kerajaan terus mewartakan tanpa pindaan malah tanpa taklimat dan perkenan Majlis Raja-Raja.

Lihatlah bagaimana Umno yang kononnya mempertahankan Melayu dan Raja-Raja Melayu memperlakukan tindakan derhaka ini kepada bangsa dan Raja-Raja.

Ya, ia dibenarkan oleh Perlembagaan yang mereka pinda menghapuskan sedikit kuasa Raja-raja, dan sekarang mereka terus melakukan penderhakaan. Umno cukup angkuh. Angkuh sehingga menderhaka kepada Majlis Raja-Raja.

Adakah ini juga salah DAP?

*Zulhazmi Shariff merupakan ahli DAP cawangan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur