Rencana

Bantah kenaikan tol, tolak BN dalam PRK

Jangan biarkan kadar tol di 12 lebuhraya dinaikkan tahun ini dengan menafikan kemenangan BN di pilihanraya kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

DAP kecewa dengan keengganan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof untuk menyatakan secara terbuka bahawa kadar tol di 8 lebuhraya tidak akan dinaikkan tahun ini, dengan empat lagi dijadual akan dinaikkan tahun hadapan. 8 lebuhraya yang akan dinaikkan kadar tol pada 1 Januari 2016 adalah Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Linkedua, Lebuhraya Kesas, Elite, LDP, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), dan New North Klang Straits Bypass Expressway (NNKSB).

Kerajaan akan terpaksa membayar pampasan sekurang-kurangnya RM1 bilion kepada syarikat konsesi tol, sekiranya kadar tol tidak dinaikkan lewat tahun ini, lebih tinggi berbanding RM500juta yang telah diasingkan sebelum ini. Menurut Fadillah, sejak 2008 hingga 2014, Kerajaan telah membayar lebih daripada RM2.2 bilion pampasan kepada syarikat konsesi sebagai ganti untuk tidak menaikkan kadar tol.

Jumlah pampasan yang diterima oleh syarikat tol termasuklah RM214 juta untuk PLUS, RM8.24 juta untuk Linkedua, RM79.44 juta untuk Elite, RM3.11 juta untuk BKE, RM1.95 juta untuk SPDH, RM92.8 juta untuk KESAS, RM7.8 juta untuk NNKSB dan RM185.9 juta untuk LDP. Ini semuanya berjumlah RM597.24 juta, yang melebihi amaun yang telah diasingkan oleh kerajaan sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.

Lebih teruk lagi, 4 lebuhraya lagi akan dinaikkan kadar tolnya iaitu GCE (Guthrie Corridor Expressway), LEKAS (Lebuhraya Kajang Seremban), SDE (Senai Desaru Expressway) dan EDL (Eastern Dispersal Link). Daripada 12 lebuhraya yang meningkat kadar tolnya, 7 daripadanya adalah di Selangor, dan menjadi sebab kenapa pengundi Sungai Besar boleh memainkan peranan penting dalam membentuk acuan perdebatan tentang peningkatan kadar tol secara tidak adil dan tanpa justifikasi.

Hakikat bahawa BN boleh mempertimbangkan kenaikan kadar tol di 8 lebuhraya pada tahun ini dan 4 lagi lebuhraya pada tahun depan menjelang hari pengundian dua pilihanraya kecil pada 18 Jun nanti, memperlihatkan bahawa BN sanggup mengorbankan rakyat demi kepentingan segelintir kroni. Jelas sekali, BN begitu yakin akan menang di kedua-dua pilihanraya kecil, berikutan bertambahnya kekuatan UMNO selepas kerjasama mereka dengan PAS serta sokongan 14 Ahli Parlimen PAS.

Sekiranya rakyat tidak mahukan peningkatan kadar tol, maka mereka harus menyampaikan mesej yang tegas dengan menolak BN dalam dua pilihanraya kecil ini.

Malah sebenarnya, tol Lebuhraya PLUS sepatutnya dimansuhkan memandangkan pemegang konsesi telah pun mendapat pulangan kos pelaburan membina dan menyelenggara lebuhraya terbabit. Inilah perbezaan antara BN dan Pakatan. BN mahu mengekalkan malah menaikkan kadar tol, sedangkan Pakatan mahu memansuhkan tol PLUS.

Tahun lalu, sejumlah 18 lebuhraya seluruh negara menyaksikan kenaikan kadar tol, dalam masa satu hari sahaja pada 15 Oktober. Ini termasuklah AKLEH, Besraya, DUKE, Grand Saga, lebuhraya Guhtrie Corridor, Kajang SILK, Karak, LATAR, LEKAS, LKS, MEX, NPE, terowong SMART, lebuhraya Senai-Desaru, SKVE, Butterworth Outer Ring Road, lebuhraya Sprint dan LDP.

*Kenyataan Media oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016.