Rencana

Mufti Pahang mengiyakan ugutan ganas militan IS

DAP sangat kesal dengan kenyataan Mufti Pahang, Dato’ Seri Dr Abdul Rahman Osman yang berkata bahawa “hukum bagi mana-mana umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar” dan menyifatkan DAP sebagai “kafir harbi yang wajib ditentang oleh umat Islam.”

Kenyataan yang amat bahaya

Amat mendukacitakan sekali apabila beliau sanggup mencemarkan kedudukannya sebagai mufti, lagi-lagi dalam bulan Ramadan yang suci ini, dengan mengeluarkan tohmahan yang tidak berasas dan amat bahaya ini.

Malah, kenyataan yang sebegini melampau dan melulu ini seolah-olah mengiyakan ugutan keganasan terhadap warga dan pihak berkuasa Malaysia yang dibuat oleh militan IS yang tersebar baru-baru ini.

Justeru, adakah Abdul Rahman ingin bertanggungjawab sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini terhadap pemimpin atau ahli DAP akibat tindak balas mereka yang terpedaya dengan kenyataan beliau?

Bermotif politik semata-mata

Penyasaran DAP atas sebab “menentang pelaksanaan hukum hudud” jelas membuktikan bahawa kenyataan Abdul Rahman berunsurkan politik semata-mata. Ini kerana pelaksanaan hukum hudud versi PAS bukan hanya dikritik oleh DAP, malah ditentang lebih keras oleh sekutu BN sendiri termasuk Presiden PBB merangkap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, serta Nancy Shukri yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Demikian juga dengan parti komponen BN lain termasuk Gerakan, MIC dan MCA yang jauh lebih lantang menolak pelaksanaan hudud. Mengapa tiada sebarang kecaman dan ugutan untuk diperangi terhadap mereka ini?

Malahan, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pun melihat hudud yang dijuarai PAS sebagai taktik politik semata-mata, dan tidak melihat adanya keperluan melaksanakan undang-undang ini melainkan hanya untuk mengalihkan perhatian rakyat. Apakah beliau juga wajib diperangi?

DAP tidak pernah mempersoalkan kedudukan hudud dalam konteks hukum Islam. Kritikan terhadap undang-undang hudud yang cuba dilaksanakan oleh PAS adalah tertumpu kepada pelaksanaannya memandangkan sifat masyarakat Malaysia yang majmuk dan kecelaruan yang wujud dari segi Perlembagaan Persekutuan. Malangnya, pendirian ini diputar belit sehingga dijadikan alasan untuk melabelkan DAP sebagai anti-Islam.

Amar makruf, nahi mungkar

Sebagai seorang yang bergelar ulama, Abdul Rahman sepatutnya mengamalkan amar makruf dan nahi mungkar, iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Malangnya, selaku Mufti Pahang, beliau langsung tidak menyuarakan pendapat mengenai skandal bauksit di Kuantan atau penarahan Cameron Highlands secara berleluasa, walaupun jelas skandal-skandal ini terhasil daripada kerakusan dan kepincangan yang nyata oleh pemerintah.

Sebaliknya, beliau lagi sanggup bersikap takfiri (mengkafirkan sesama Muslim) dan mengundang keganasan melalui tohmahan bahaya dan bermotifkan politik semata-mata untuk menghalalkan politik zalim pemerintah.

*Penulis merupakan Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP