Rencana

Mufti seharusnya bawa mesej keamanan

Merujuk kepada laporan akhbar Utusan “DAP tergolong kafir harbi wajar ditentang” bertarikh 24 Jun 2016 dan Malaysiakini “Mufti : Saya tak rujuk ‘kafir harbi’ pada DAP saja” pada tarikh yang sama.

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abd Rahman Osman telah berkata “hukum bagi mana-mana umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar”. Laporan tersebut juga mengatakan beliau melabelkan DAP sebagai kafir harbi yang wajar ditentang.

Kenyataan ini nyata sekali berbaur kebencian dan menggunakan nama agama Islam dan kedudukan beliau sebagai mufti untuk memburukkan parti DAP demi kepentingan politik. Beliau menuduh DAP membawa politik kebencian, tetapi DAP tidak pernah mengeluarkan kenyataan berbaur kebencian seperti istilah ‘kafir harbi’ yang kita sedia maklum bermaksud “seseorang atau sekumpulan boleh dibunuh dengan sah oleh orang Islam” kepada sesiapa, termasuk musuh politiknya sendiri.

Niat sebenar kenyataan mufti Pahang tersebut amat dicurigai dan langsung tidak membawa mesej keharmonian dan keamanan yang dibawa oleh agama Islam, malah mirip kepada wacana keganasan eksterimis daesh.

Tuduhan mengatakan DAP menentang Islam adalah fitnah besar daripada seorang mufti dan ini bukannya pertama kali beliau mengeluarkan kenyataan sebegini. Berulang kali DAP telah menegaskan bahawa parti DAP tidak pernah menentang Islam malah mengamalkan etika dan nilai-nilai murni universal yang diterima oleh semua agama.

Malaysia negara sekular

Negara sekular yang meraikan demokrasi membenarkan semua rakyat termasuk orang Islam kebebasan tanpa paksaan. Di bawah system pentadbiran sebegini, hak-hak asasi dihormati sama rata, sifar diskriminasi, tanpa mengira kaum dan agama. Tiada salah istilah negara sekular. Berdasarkan dokumen perlembagaan, Reid Constitution Commission Report 1957, Perenggan 169 juga menekankan Malaya negara sekular. Cobbold Commission Report 1962, Perenggan 148 (e) (ii) juga menyatakan Islam adalah agama rasmi dan Malaysia negara sekular. Malah negara Malaysia sebagai negara sekular telah diiktiraf sekurang-kurangnya oleh tiga mantan perdana menteri Malaysia. Tunku Abdul Rahman semasa majlis ulangtahunnya ke-80 1983 pernah berkata “Malaysia must continue as a secular state with Islam as the official religion”, seperti dilaporkan oleh akhbar The Star, 9 Februari 1983. Malaysia difahami sebagai negara sekular sejak sebelum DAP ditubuhkan lagi!

Kenyataan mufti Pahang yang memomokan DAP sebagai kafir harbi kerana menyokong negara sekular amat tidak masuk akal kerana menyokong negara sekular bukannya bermakna menentang agama Islam. Oleh itu, kenyataan kafir harbi tersebut nyata adalah amat merbahaya, berniat menyemarakkan api perkauman juga agama dan boleh mengancam keselamatan negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Saya amat kesal dengan tuduhan dangkal beliau menjatuhkan hukum haram dan berdosa besar kepada parti DAP untuk mengelakkan daripada DAP terus mendapat sokongan daripada orang Islam. Seorang mufti sebagai ahli agama sepatutnya membawa mesej keamanan tetapi kali ini nyata sekali menyalahgunakan kedudukan mereka untuk menggalakkan keganasan.

Saya berharap supaya rakyat Malaysia tidak terpengaruh dengan kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut dan menggesa tindakan tegas dikenakan kepada mufti yang sering mengeluarkan kenyataan sebegini.

Saya juga menggesa beliau menarik balik kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut dan memohon maaf kepada semua pihak yang terpalit dengan tuduhan lidah panjang beliau.