Rencana

Pemecatan Muhyiddin: UMNO Johor Perlu Nyatakan Pendirian

Teka-teki status Timbalan Presiden Umno yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin terjawab sudah. Hari ini beliau dipecat oleh Majlis Tertinggi Umno. Anak watan Johor ini dipecat pada ketika genap 70 tahun usia Umno yang telah ditubuhkan di Johor.

Keputusan itu adalah hak parti Umno yang tidak ada kaitan dengan mana-mana parti, namun adalah menjadi keinginan awam untuk melihat pendirian Umno Johor sebagai kerajaan di negeri Johor.

Ianya penting kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi seorang Ahli Parlimen Pagoh yang sah. Beliau pula dipecat oleh Najib Tun Razak, bukan disingkirkan oleh pengundi Pagoh.

Justeru, Pengerusi Perhubungan Umno Johor yang juga Menteri Besar Johor harus menyatakan pendirian apakah mereka akan meneruskan hubungan dan kerjasama dengan mantan Timbalan Presiden Umno ini atau turut menyingkirkannya.

Rakyat dan pengundi di Pagoh mahukan kepastian dari Menteri Besar Johor kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin masih Ahli Parlimen yang sah buat mereka.

Jika Umno Johor bertindak memutuskan hubungan dan kerjasama yang sedia terjalin dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, ini bermakna Umno Johor telah menafikan suara rakyat dan pengundi parlimen Pagoh yang selama ini menyokong parti Umno.

Malah, jika Umno Johor menyokong pemecatan tersebut, nyata sekali bahawa Umno Johor menyokong segala salah laku Perdana Menteri, Najib Tun Razak dalam skandal terbesar dalam sejarah Malaysia iaitu 1MDB.

Punca utama Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat adalah amat jelas yang mana ia berpunca dari sikap beliau yang menentang Najib dalam skandal 1MDB.

Jika Dato’ Khaled Nordin gagal menyatakan pendirian beliau, maka segala retorika Bangsa Johor dan Muafakat Johor yang selama ini dilaungkannya, hanyalah satu sikap hipokrasi beliau. Justeru, rakyat dan pengundi parlimen Pagoh harus segera bangkit menolak hipokrasi pemimpin elit Umno dalam melindungi pesalah jenayah 1MDB. – Roketkini.com

*Mahdzir Ibrahim ialah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor.