Berita

DAP-AWAM lancar AntiRogol.com, pupuk kesedaran awam

PETALING JAYA, 29 JUN: Seorang wanita atau kanak-kanak dirogol setiap tiga jam di Malaysia dengan purata tiga ribu kes rogol dilaporkan setiap tahun, namun menurut anggaran statistik, hanya dua daripada 10 kes rogol di negara ini dilaporkan.

Justeru, Pusat Khidmat Adun Damansara Utama dengan kerjasama badan bukan kerajaan, All Women’s Action Party (AWAM) melancarkan laman web antirogol.com bagi memberi pengetahuan dan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat berhubung kes tersebut.

Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin berkata, laman web berkenaan menyediakan maklumat lengkap berkaitan jenayah rogol dan keganasan seksual, termasuk undang-undang sedia ada dan langkah-langkah terbaik yang harus diambil oleh mangsa bagi mendapatkan bantuan.

Jelasnya, walaupun jenayah rogol semakin meningkat, masih wujud kepercayaan di kalangan masyarakat bahawa mangsa rogol merupakan pihak yang bersalah dan mendorong jenayah itu berlaku.

“Soalan seperti “Baju apa yang dipakai mangsa?”, “Adakah mangsa mabuk?” atau “Mangsa tidak mengatakan tidak” menunjukkan bahawa masyarakat masih belum cukup rasional untuk menyalahkan pemangsa rogol.

“Sesiapa saja boleh menjadi mangsa rogol tanpa mengira gender, kawasan, umur, pakaian yang dipakai dan sebagainya. Mangsa tidak pernah bersalah untuk insiden rogol yang menimpa dirinya,” katanya di sidang media di Pusat AWAM, semalam.

Bee Yin menjelaskan, pelancaran laman web antirogol.com berkenaan bukan sahaja disasarkan kepada kaum wanita, tetapi juga kepada kaum lelaki agar seluruh masyarakat dapat bekerjasama dalam membendung jenayah rogol di negara ini.

Katanya, memupuk kesedaran tentang rogol di kalangan kaum lelaki adalah penting supaya mereka akan lebih memahami kesan jenayah rogol terhadap fizikal, mental dan emosi mangsa, lantas dapat mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan keji itu.

“Hampir semua kes rogol di negara ini membabitkan pemangsa lelaki, oleh itu, kesedaran tentang jenayah rogol di kalangan mereka adalah amat penting jika kita mahu ia dibanteras,” ujarnya. – Roketkini.com