Berita

Pendakwaan pilih bulu: Guan Eng ditahan, rasuah berbilion libatkan Najib pula terlepas

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan penahanan mengejut Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng petang semalam jelas sebagai sebuah penganiayaan dan sebuah pendakwaan pilih bulu.

Presidennya Mohamad Sabu, berkata amalan dakwaan terpilih itu sering berulang di Malaysia dan telah terbukti dalam kes pertama Lim Guan Eng tahun 1997 sewaktu membela seorang gadis Melayu yang didakwa dicabul bekas Ketua Menteri Melaka.

“Hasil daripada pendedahan melalui satu surat, beliau (Lim Guan Eng) telah didakwa di bawah Akta Mesin Cetak dan dihukum penjara.

“Mangsa dan pembela teraniaya sedangkan orang yang melakukan jenayah terlepas bebas,” ujar Mohamad.

Sebaliknya di sebelah pihak lagi jelas Mohamad, pemimpin yang terpalit dengan dakwaan skandal berbilion ringgit masih bebas dan berkuasa.

“Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak mengaku terang-terangan bahawa beliau menerima RM2.6 bilion dalam akaun peribadi beliau,” katanya.

Akibat terbongkarnya skandal itu ujar beliau, banyak pihak telah menjadi mangsa keadaan.

“Peguam Negara telah diarahkan berhenti, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Luar Bandar dan Menteri Besar Kedah dipecat, Timbalan Pengarah Cawangan Khas ditukar tempat kerja, pegawai-pegawai SPRM disiasat dan pucuk kepimpinan SPRM pula meletak jawatan secara mengejut.

“Tiba-tiba dalam bulan Ramadan ini, Lim Guan Eng pula ditangkap dan akan didakwa atas kes rasuah,” luahnya kesal.

Dalam perkara berkaitan, Mohamad turut melahirkan rasa sedih melihat sikap segelintir umat Islam negara ini yang masih tidak sensitif dengan rasuah dan penyelewengan.

“Lebih menghairankan, ada dikalangan mereka bergelar pemimpin berkelulusan agama dari pembangkang, tetapi menyokong perdana menteri yang mengaku menerima wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi.

“Sampai bila kita hendak berkeadaan begini dengan tidak melaksanakan tanggungjawab agama iaitu menyeru kepada makruf dan menentang kemungkaran,” soalnya.

“Kita berharap pasukan pembela akan dapat melakukan pembelaan terbaik ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP ini,” kata beliau. – Roketkini.com