Wawancara

Mahu perjuang hak Sabah, Peter Saili tinggalkan PBS

Pertama kali saya menemuinya dalam sebuah acara di pekan Keningau, dia memakai topi koboi perang dengan kemeja petak-petak putih. Dia nampak sibuk berbual-bual dengan beberapa orang yang saya tidak kenal. Dia kelihatan cukup dikenali, ramah dan mesra, wajahnya manis, malah terlihat wibawa besar dalam dirinya. Saya kira, dia seorang taukeh katering, sebab saya lihat dia angkat periuk nasi.

Namun, sangkaan saya meleset, dia bukan sekadar seorang pemilik perniagaan katering, tetapi berkat kepandaian memasak, dia juga memiliki beberapa buah restoran. Rupanya, tompinai yang saya sangka taukeh katering itu pemimpin disegani yang mengetuai DAP di pedalaman Sabah menjalankan banyak program outreach di sini.

Saya mengambil peluang untuk membelek latar belakang beliau, membedah sudut pandangnya terhadap masyarakat pedalaman dan politik Sabah. Turut sama membantu, ativis wanita DAP Keningau Kamsi Ahmad.

Peter saili1aLatar belakang dan pengalaman politik Peter Saili?

Rupa-rupanya, Peter Dhomas bin Saili atau lebih dikenali sebagai Peter Saili, 66, bukanlah orang yang asing di Keningau, beliau juga tidak asing dalam politik Sabah. Beliau dihormati sebagai pemimpin masyarakat yang banyak memberi komitmen menyelesaikan isu dan masalah rakyat di sini.

Beliau mula bergiat dalam dunia politik bermula dari tahun 1985 hingga 1994 bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) dan pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Bahagian PBS Sook, Pemimpin Kemajuan Rakyat dan Setiausaha Politik kepada salah seorang menteri semasa era pemerintahan PBS.

Menurut Peter, pemimpin utama orang asal Sabah yang bersama Barisan Nasional (BN) masih gagal bawa perubahan positif yang banyak kepada masyarakat di pedalaman kerana memiliki kedudukan yang selesa dari segi jawatan, pendapatan dan perniagaan.

“Zon selesa yang mereka nikmati ini menyebabkan mereka hanya berfikir untuk kesenangan keluarga dalam jangka masa pendek. Mereka kurang memikirkan nasib generasi Kadazan-Dusun-Murut-Rungus (KDMR) akan datang,” kata beliau yang kini merupakan Pengerusi DAP Keningau

Tinggalkan parti asal, berjuang dalam parti kebangsaan

Saya berasa sedikit janggal, mengapa, seorang yang pernah bersama PBS suatu ketika dulu-meninggalkan parti nasionalis Sabah itu dan memilih DAP sebagai wadah perjuangan, sedangkan di Sabah, terdapat pelbagai parti-parti politik bernuansa tempatan yang galak melaungkan slogan-slogan ‘anti-BN’ yang sudah sekian lama menindas Sabahan.

peter saili2aKata Peter, walaupun benar parti-parti tempatan ini mengkritik BN dan dilihat kuat melaungkan slogan kononnya membela Sabahan, secara realiti, suara mereka tidak kuat malah berada dalam perikatan yang kecil.

Justeru katanya, bagaimana mahu memberi kesan politik yang menyeluruh untuk membawa perubahan?

“Parti tempatan yang menggelar diri mereka sebagai ‘pembangkang’ ini tiada halatuju yang jelas. Kita dapat lihat, perjuangan parti-parti ini banyak bertumpu di kawasan-kawasan Kadazan-Dusun-Murut (KDM) sahaja.

“Dengan skop yang kecil, apa yang berlaku tidak memberi impak yang kuat kepada rakyat sebaliknya membawa banyak perpecahan yang merugikan,” ujar beliau.

Jadi, dengan sikap yang lebih rasional untuk melakukan perubahan menyeluruh, beliau memilih DAP untuk membawa agenda rakyat Sabah yang terpinggir.

“DAP, kita bersama dalam gabungan Pakatan Harapan. Hanya melalui formula gabungan barulah kita mampu menawan Putrajaya. Kita perlu akui, sekuat mana pun sesebuah parti, baik parti tempatan atau parti nasional, ia tidak mampu mentadbir berseorangan. Hanya parti peringkat nasional yang kuat seperti DAP dalam gabungan Pakatan Harapan mampu membentuk kerajaan baharu daripada tangan BN,” jelasnya.

Konsisten martabat hak Sabah

Peter berkata walaupun DAP sebagai parti peringkat kebangsaan, namun perjuangannya bersifat sejagat termasuk memperjuangkan hak autonomi Sabah yang lebih adil dan saksama sepertimana dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Peter saili3“Sejak dahulu DAP terus bersuara di parlimen supaya hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia dimartabatkan. Saya lihat DAP tak pernah berganjak menyuarakan isu Sabah. Mana suara yang lain?” tegas Peter mengambil contoh bagaimana komitmen Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang konsisten menyuarakan isu-isu Sabah dan nasional di peringkat Parlimen.

Ditanya mengenai penerimaan rakyat di pedalaman Sabah terhadap DAP khususnya selepas kekalahan kerusi-kerusi Dayak dalam pilihanraya Sarawak, Peter menjelaskan ia sama sekali tidak boleh dijadikan ukuran kerana wujud perbezaan politik yang ketara.

“Memang kekalahan DAP di kerusi-kerusi Dayak di Sarawak amat mengecewakan. Namun, demografi politik antara Sarawak dan Sabah tidak boleh disamakan. Ia tidak boleh dijadikan sebagai ukuran. Sarawak tiada UMNO dan PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin). Siapa pun yang menang di sana, tetap Sarawakians yang memerintah Sarawak,” terangnya kepada saya.

Tak hirau dituduh ‘parti komunis’, rakyat pedalaman terima baik DAP

Hingga setakat ini, penerimaan rakyat di kawasan pedalaman khususnya di Keningau menurut Peter amat memberangsangkan walaupun DAP sering dituduh dan dicemuh sebagai ‘Parti Cina’ dan ‘Parti komunis’.

“Walau kita dicemuh dengan macam-macam dakwaan. Rakyat bagi sokongan positif. Rakyat lihat kita (DAP) bekhidmat untuk mereka. Ini adalah impak daripada aktiviti dan ramah mesra yang berterusan dan perlaksanaan banyak projek kecil-kecilan DAP Sabah melalui Impian Malaysia,” ujarnya.

Beliau percaya, mesej yang di bawa oleh DAP dan Impian Sabah harus disampaikan secara jelas kepada masyarakat semua peringkat umur.

“Perlaksanaan banyak projek Impian Sabah yang berbentuk pembangunan infrastruktur dan memperkasa ekonomi (pertanian dan penternakan) mampu membawa impak positif yang lebih besar,” kata beliau.

Justeru, beliau yakin kerja keras berterusan DAP meneruskan khidmat bakti mereka kepada masyarakat setempat mampu melakar semula sejarah Sabah yang pernah tercipta pada tahun 1990, dimana pembangkang iaitu PBS pada waktu itu Berjaya membentuk kerajaan. – Roketkini.com