Berita

UMNO perkenal pelbagai undang-undang, tapi gagal bendung keganasan Daesh

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Majlis Presiden Pakatan Harapan menyifatkan kejadian keganasan yang didalangi Daulah Islamiyah (Daesh) baru-baru ini sebagai kegagalan kerajaan UMNO-BN menangani ancaman seumpama itu meski undang-undang bagi mengekangnya telah diwujudkan.

“Walaupun Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan ancaman keganasan sebagai alasan untuk memperkenalkan pelbagai undang-undang yang menyekat hak kebebasan rakyat seperti POTA, Akta Hasutan dan SOSMA, pentadbiran beliau gagal mengekang ancaman ini,” kata Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Sehubungan itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan menegaskan bahawa satu jawatankuasa merentas parti mengenai ancaman keganasan perlu ditubuhkan bagi memberi peluang kepada pemimpin pembangkang memainkan peranan menangani ancaman keganasan.

Kenyataan berkenaan ditandatangani oleh Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Datin Seri Wan Azizah.

Minggu lalu negara dikejutkan dengan kejadian letupan bom di sebuah kelab malam di Puchong yang disahkan polis didalangi oleh Daesh.

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Presiden Pakatan Harapan juga berhasrat untuk meneruskan program-program bertujuan bagi meningkatkan persefahaman antara rakyat yang berasaskan rasa hormat kepada pegangan dan aman setiap kaum di negara ini.

Inisiatif itu dilaksanakan berikutan cubaan sesetengah pihak yang cuba untuk memecah belahkan perpaduan kaum di negara ini dengan melabel golongan bukan Islam sebagai kafir harbi. – Roketkini.com