Berita

DAP tak mahu Umno ‘mati’, cukup sekadar mampu muhasabah

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: DAP sama sekali tidak mahu ‘Umno mati’ tetapi mahu parti itu bermuhasabah dan berubah supaya Malaysia mampu menjadi negara demokratik yang normal dan baik.

Ia bagaimanapun hanya mampu berlaku jika Umno ditewaskan dalam pilihanraya sekurang-kurangnya sekali, sekaligus membetulkan semula halatuju  Malaysia daripada menjadi negara yang gagal kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

“DAP tak pernah minta ‘Umno mati’. Saya tidak pernah dengar sesiapa atau parti politik mahupun sebarang organisasi yang mahu Umno jadi begitu,” kata beliau mengulas insiden ganas di perkarangan Ibu Pejabat DAP semalam.

Dalam insiden itu, sekurang-kurangnya 100 individu diketuai Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii telah berhimpun di perkarangan Ibu Pejabat DAP dekat sini untuk menghantar memorandum, namun keadaan bertukar liar apabila beberapa individu membuat provokasi berbaur ugutan.

Menurut Kit Siang, jika Umno tewas, ia mampu bertahan dan memperbaharui dirinya daripada pihak yang hanya menjaga kepentingan pemimpin-pemimpin Umno dan kroni sahaja, kepada parti yang benar-benar menjaga kebajikan orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Saya tidak percaya bahawa Umno begitu lemah sehingga boleh menyebabkan mereka lenyap jika tewas dan terpaksa keluar dari Putrajaya dalam pilihanraya nanti,” katanya.

Kenyataan ini terbukti berdasarkan pengalaman pertukaran kuasa yang telah dilalui oleh parti-parti politik di banyak negara setelah berdekad-dekad memegang tampuk pemerintahan yang akhirnya menjadi pemacu kepada pengembangan dan pertumbuhan negara tersebut seperti Taiwan, Korea Selatan dan India.

Mengetahui hakikat itu, pemimpin-pemimpin Umno terpaksa menggunakan penipuan untuk menakut-nakutkan orang Melayu dengan mengatakan kuasa orang Melayu akan terhapus dan Melayu akan merempat di negara sendiri jika Umno tewas.

“Realitinya, apa yang pasti, orang Melayu samasekali tidak akan kehilangan kuasa politik walau apapun yang berlaku terhadap Najib dan Umno dalam pilihanraya akan datang,” tegasnya.

Merujuk kepada statistik populasi di Malaysia tahun 2010, populasi kaum Melayu meningkat sebanyak 55.07 peratus, Cina berkurangan sebanyak 24.34 peratus, kaum India mencatat penurunan 7.35 peratus, Bumiputera bukan Melayu kekal pada 11.94 peratus manakala 1.3 peratus etnik lain.

Bagi demografi politik pula, kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia mempunyai 114 kerusi majoriti Melayu yang mewakili 70 peratus jumlah kerusi, 22 peratus kerusi majoriti Cina (13%) dan 29 bilangan kerusi campuran.

Kit Siang turut memetik persoalan yang ditimbulkan oleh Sasterawan Negara A. Samad Said yang meminta pemimpin Umno untuk menjawab dua soalan yang membongkarkan penipuan mereka sendiri.

“Bagaimana orang Melayu dan Islam boleh terancam jika mereka yang memegang kuasa merupakan orang Melayu sendiri sejak lebih lima dekad lalu?

“Apa yang telah mereka (pemimpin Melayu) lakukan sepanjang lebih lima dekad ini (kononnya Melayu terancam)?”. -Roketkini.com