Berita

DAP ucap terima kasih kepada pihak polis, mohon tindakan tegas terhadap provokasi ganas

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Pihak polis perlu mengambil tindakan tegas terhadap tindakan ganas berbaur ugutan melampau yang dilakukan individu tertentu dalam kekecohan yang berlaku di perkarangan Ibu Pejabat DAP semalam.

Dalam perhimpunan itu, kumpulan yang diketuai Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii itu bukan sahaja bertindak kasar terhadap polis malah bertindak melakukan provokasi perkauman dengan membaling “wang neraka” ke arah wakil DAP yang menerima memorandum daripada kumpulan itu.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook, berkata kegagalan polis melakukan pendakwaan terhadap mereka yang bertanggungjawab mencetuskan kekacauan itu akan menyebabkan kumpulan tersebut semakin berani untuk bertindak diluar batasan undang-undang.

Malah katanya ini bukan kali pertama demonstrasi ganas dilakukan oleh Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan di Ibu Pejabat DAP.

“Pada tahun 2014, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Mohd Razlan juga bertindak ganas dan mengugut untuk membakar bangunan Ibu Pejabat DAP,” ujar beliau.

Bagaimanapun kata Anthony, walaupun Mohd Razlan dan enam orang lagi ditahan polis untuk siasatan, tiada sebarang pendakwaan dikenakan terhadap tertuduh sehingga kini.

“Ramai pemimpin Pakatan Harapan termasuk saya sendiri telah didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman walaupun semua demonstrasi yang dianjur atau disertai oleh kami adalah demonstrasi aman dan langsung tidak ada sebarang ugutan.

“Kekebalan pihak UMNO dalam perkara ini hanya akan menguatkan persepsi umum bahawa terdapat ‘double standard’ dalam penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan terpilih di negara kita,” kata Anthony yang turut mengucapkan penghargaan kepada polis yang bertindak pantas mengawal keadaan semalam.

Satu laporan polis telah dibuat hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menggesa pihak polis bertindak tegas terhadap individu yang bertindak liar dan ganas dalam perhimpunan semalam oleh pegawai Ibu Pejabat DAP Chu Yoon Ming berikutan ancaman yang diterima.

Laporan polis itu menyebut, selain ditengking dengan kata-kata kesat, beliau telah dibaling dengan “wang neraka” dan kata-kata “Mati DAP”.

“Saya berasa amat terancam dengan perangai dan tingkah-laku ganas kumpulan penunjuk perasaan ini.

“Saya membuat laporan ini meminta supaya pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan intimidasi serta mengancam keselamatan saya dan rakan-rakan saya di pejabat DAP,” kata Yoon Ming.

Hadir sama ke IPD Wangsa Maju ialah Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Ipoh Timur Thomas Su, pimpinan DAPSY Selangor Edry Faizal Yusof dan Young Syefura Othman serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAPSY Muhammad Shakir Ameer.

Hairan kerana tiada sebarang tindakan tegas diambil polis bagi insiden yang berlaku sebelum ini, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata adakah tindakan liar dan ganas sedemikian merupakan tahap toleransi baharu yang boleh diterima.

Melontarkan persoalan kepada Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, Shakir pula berkata adakah kekecohan yang berlaku di Ibu Pejabat DAP semalam direstui pergerakan pemuda UMNO itu.

“Inikah jenis politik yang harus kita sokong? Khairy Jamaluddin tunjuk kononnya dia berpolitik secara progresif. Saya nak tanya, apa pandangan dia terhadap perhimpunan semalam?

“Kita tidak pertikai hak individu atau persatuan untuk berhimpun dan ia memang dibenarkan perlembagaan. Apa yang kita pertikaikan ialah cara mereka berdemo,” kata Shakir.

Dalam insiden semalam, sekitar 100 individu yang diketuai Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Mohamad bertindak liar dan ganas di pekarangan Ibu Pejabat DAP membantah tindakan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming memuat naik ucapan Hari Raya Aidilfitri kononnya telah menghina Islam. – Roketkini.com