Rencana

Kabinet jangan tangguh pemansuhan hukuman mati

Dalam jawapan Parlimen bertarikh 20 Mei lalu kepada soalan saya mengenai pecahan pesalah jenayah mengikut bangsa yang dikenakan hukuman mati di Malaysia dan jika kerajaan bersedia untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, sehingga 30 April 2015, seramai 1042 individu berdepan hukuman mati. 629 daripadanya merupakan rakyat Malaysia dan 413 lagi adalah warga asing. 649 pelaksanaan hukuman tersebut masih dalam tempoh rayuan manakala 393 lagi sedang mengharapkan pengampunan dari Lembaga Pengampunan Negeri.

Di saat saya mengalu-alukan kenyataan Menteri Undang-Undang Nancy Shukri baru-baru ini yang mewajarkan kelewatan kepada pembentangan pindaan hukuman mati mandatori, beban terletak di atas beliau untuk membentangkan cadangan tersebut kepada Kabinet dan bersama-sama dengan Tan Sri Apandi Ali sebagai Peguam Negara, untuk kesekian kalinya harus menggesa pembaharuan hak asasi manusia seperti ini agar mendapat keyakinan di kalangan rakyat Malaysia, anggota-anggota ASEAN serta masyarakat antarabangsa, mengukir identiti baru untuk Malaysia sebagai sebuah negara yang menghapuskan hukuman mati.

Dalam sebuah jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo pada Mac 2014 mengenai sama ada kerajaan akan mengenakan moratorium ke atas hukuman mati dan sama ada kerajaan bersedia untuk mengkaji keberkesanannya, kerajaan telah menyatakan dengan jelas bahawa ia tidak berniat untuk mengenakan moratorium ke atas hukuman itu, khususnya bagi individu yang telah menggunakan semua cara bagi mendapat pengampunan dari Lembaga Pengampunan Negeri.

Jawapan itu juga menyatakan bahawa isu kerajaan memansuhkan hukuman mati tidak timbul sama sekali memandangkan Lembaga Pengampunan Negeri yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa penuh bagi memansuhkan hukuman mati bagi jenayah yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Sementara itu, bagi jenayah yang dilakukan di negeri-negeri lain, kuasa penghakiman tertakluk kepada Yang di-Pertua Negeri selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan hukuman mati, seperti yang dinyatakan dalam Artikel 42(1) Perlembagaan Persekutuan berhubung kuasa memberi pengampunan, penundaan atau pelepasan hukuman dalam semua jenayah yang dimiliki  oleh Yang di-Pertuan Agong.

Namun selama ini, Parlimen telah diberi tanggapan bahawa kuasa untuk melaksanakan perubahan itu tertakluk kepada Kabinet dan Peguam Negara.

Ini merupakan senario pertama kerajaan cuba berdolak-dalik berhubung isu berkenaan.

Kedua, kerajaan dengan jelas menyatakan bahawa pendapat umum memihak kepada mengekalkan hukuman mati. Jika ya, ia amat menggelikan hati dan ironis bahawa kerajaan sesuka hati memutuskan bila ia mahu mendengar pendapat dari orang ramai memandangkan satu undian talian yang dijalankan oleh Gerakan pada Februari 2016 menunjukkan bahawa lebih separuh dari 1523 responden tanpa nama mahu hukuman itu dimansuhkan.

Sebelum ini, walaupun majoriti rakyat Malaysia menentang keras pelaksanaan GST, kerajaan memutuskan untuk tidak menghiraukan pendapat umum dengan pelbagai alasan tidak kukuh bagi mewajarkan pelaksanaannya. Menurut Profesor Mai Sato dari University of Reading, ketika menjalankan kaji selidik berhubung hukuman mati, jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’ sukar menentukan sama ada kerajaan layak mengambil nyawa mana-mana individu. Kaji selidik dengan pelbagai pilihan terbukti sebagai strategi terbaik apabila mengumpul data berhubung pendapat awam mengenai hukuman mati. Namun begitu, kerajaan nampaknya enggan menggunakan kaji selidik tersebut untuk mendapatkan pandangan rakyat. Sikap berat sebelah seperti itu membuktikan bahawa kerajaan tidak mempunyai kesungguhan politik dalam meminda hukuman mati mandatori di negara ini.

Sikap berdalih kerajaan sekali lagi boleh dilihat dengan tidak memberi kuasa budi bicara kepada hakim untuk menjatuhkan pelbagai bentuk hukuman lain selain hukuman mati, lalu menunjukkan bahawa golongan eksekutif (pemerintah) telah masuk campur dalam sistem keadilan jenayah dan kebebasan kehakiman di negara ini.

Pada 19 Jun 2016, seperti dilapor The Star, Nancy Shukri menyatakan bahawa beliau benar-benar mahu melihat pindaan ke atas hukuman mati mandatori diluluskan dan dilaksanakan sebelum Pilihanraya Umum ke-14. Sebagai individu yang dipilih dengan kuasa legislatif, ahli-ahli Parlimen bertanggungjawab untuk memelihara kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia. Ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua pihak harus menggunakan posisi mereka bagi mendesak penghapusan hukuman mati dengan kerajaan kita termasuk organisasi serantau serta antarabangsa.

Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam bidang undang-undang, ia merupakan tanggungjawab moral beliau untuk meletakkan perbezaan politik di tepi dan bersama-sama dengan ahli politik pembangkang serta anggota-anggota badan bukan kerajaan seperti Amnesty International, Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN), HAKAM dan juga ahli-ahli Majlis Peguam untuk memudahkan pembaharuan penting ini dalam dasar negara bagi memaparkan komitmen tinggi dalam menegakkan dan memelihara hak asasi, terutama hak untuk hidup.

Sehubungan itu, Kabinet tidak harus terus berdolak-dalik dalam memansuhkan hukuman mati mandatori dan mesti segera membentangkan pindaan berhubung hukuman itu di sidang Parlimen pada Oktober akan datang. – Roketkini.com

*Kasthuri Patto ialah Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Setiausaha Publisiti Wanita DAP