Rencana

Rupa-rupanya DAP bukan seperti yang disangka

Saya dibesarkan dalam keluarga yang mencintai United Malays National Organization (UMNO). Saya diajar bahawa UMNO lah pejuang nasib Melayu walaupun secara terang-terangan UMNO telah banyak juga menindas orang Melayu.

Saya juga telah ‘dibasuh’ oleh orang tua sendiri supaya menyokong UMNO. Kata mereka, tanpa UMNO, hak orang Melayu terancam dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) akan ‘mencabul’ hak bumiputra yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Seandainya DAP memegang kerajaan persekutuan, suara orang Melayu akan lenyap, kata mereka kepada saya.

Saya kemudian mendapat khabar tentang bengkel Sekolah Demokrasi (SekDem) pada tahun 2015 setelah terlihat sekeping gambar menunjukkan tiga orang rakan saya menyertai bengkel tersebut. Secara tidak langsung, ini telah menimbulkan rasa ingin tahu dalam diri ini kerana saya telah diajar oleh orang tua bahawa DAP sebuah parti chauvinis dan rasis tetapi bengkel ini mendapat sambutan kebanyakan anak muda Melayu.

Pada mulanya, saya menyangka bahawa mereka telah dibayar untuk menjadi peserta dalam program DAP, namun jangkaan saya meleset sama sekali setelah menyertai bengkel ini.

Sekolah Demokrasi ini merupakan salah satu inisiatif DAP untuk mengembangkan rupa, bentuk dan wacana demokrasi dalam kalangan rakyat Malaysia. Bengkel ini dijalankan dalam tiga siri iaitu Tingkatan Satu (penjelasan mengenai demokrasi dalam Malaysia, pendedahan idea politik dan kenegaraan), Tingkatan Dua (melaksanakan dasar mengikut idea politik berdasarkan situasi diberi) dan Tingkatan Tiga (melatih peserta bergiat di lapangan).

Saya menyertai program ini dengan dua tujuan, iaitu untuk mengetahui sejauh manakah DAP memberi ruang kepada anak muda untuk menyuarakan pendapat politik mereka dan keberkesanan program ini sebagai satu kesedaran kepada anak muda Melayu mengenai politik.

Pada 26 Februari 2016, saya berpeluang menyertai SekDem untuk pertama kalinya. Ketika saya menyertai program ini, saya terkejut kerana ramai anak muda Melayu menyertai program secara sukarela.

Kebanyakan daripada mereka merupakan mahasiswa daripada universiti awam berbanding pekerja dan pelajar universiti swasta. Tambahan pula, ada juga peserta muda yang masih menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Walaupun terdapat perbezaan latar belakang pendidikan antara kami, semuanya terbuka bila berdiskusi dalam bengkel yang dijalankan. Bengkel untuk tingkatan satu merupakan pengetahuan asas kepada para peserta untuk mengetahui politik. Perjalanan sejarah mengenai demokrasi, perbincangan ideologi politik yang diterapkan, dan sesi debat antara para peserta juga dijalankan.

Saya juga berpeluang melanjutkan ke Tingkatan Dua bersama alumni Tingkatan Satu yang berlainan ‘batch’ pada 20 Mei 2016. Tingkatan Dua memberi ruang kepada para peserta untuk melaksanakan ideologi politik dan mengasah daya fikiran kami ke hadapan mengenai politik.

Kami juga berpeluang berjumpa dan beramah mesra dengan wakil rakyat seperti Yeo Bee Yin, wakil rakyat Damansara Utama. Pendedahan mengenai kerjaya politik juga diterangkan dengan lebih terperinci sebagai rujukan kepada para peserta.

Lain pula dengan program Biro Tatanegara (BTN) yang pernah saya hadiri dua kali, tidak pernah mengangkat topik terpinggir dan cuma membicarakan betapa kejamnya bangsa lain terhadap orang Melayu.

Ada peserta dipaksa menyertai tanpa mengetahui sebarang program dijalankan dan menimbulkan sentimen perkauman. Tambahan pula, BTN cuma membenarkan peserta daripada bangsa Melayu beragama Islam sahaja untuk menyertai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak sering melaungkan konsep 1 Malaysia tapi sayang sekali, tidak dihayati. SekDem menanam sifat terbuka dan saling menghormati antara kaum dan semangat solidariti.

Memupuk perasaan kebencian tidak dapat mengharmonikan sesebuah negara malah akan menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap kaum lain. SekDem telah memberi ruang kepada anak muda Malaysia untuk bersuara melalui debat parlimen dan kuliah yang disertakan dalam bengkel ini. Perbezaan antara BTN dengan SekDem adalah komunikasi antara peserta dengan moderator.

SekDem terbuka dan mempunyai komunikasi dua hala berbanding BTN yang bersifat tertutup dan komunikasi satu hala. SekDem diterima pelbagai anak muda yang pelbagai bangsa, fahaman dan ideologi politik. Jelas sekali SekDem berjaya menanam nilai-nilai demokrasi dalam kalangan peserta.

Sepanjang saya menghadiri SekDem, tidak pernah sesekali penganjur memaksa saya dan para peserta lain untuk menyertai DAP.

DAP adalah sebuah parti yang terbuka dan menggalakkan orang awam memahami lebih kritikal mengenai politik berbanding UMNO. UMNO seringkali memaksa saya untuk mengundi mereka dan hakikatnya,tidak bersifat kritikal mengenai isu politik dan orang awam.

Tanggapan dan persepsi negatif kami semua mengenai DAP adalah salah sama sekali.

DAP sebenarnya meraikan konsep 1Malaysia berbanding UMNO. Hubungan para peserta atau alumni SekDem begitu kuat sekali. SekDem seringkali menganjurkan program Bicara SekDem dan ruang ini diberikan kepada alumni untuk berdiskusi apa-apa topik.

Saya akhirnya mengerti bahawa DAP bukanlah parti rasis seperti yang dikhabarkan pihak kerajaan. Jelas, DAP berjaya mengimplementasikan program bersifat 1 Malaysia iaitu Sekolah Demokrasi berbanding pihak kerajaan yang menganjurkan program Biro Tatanegara yang tidak bersifat keharmonian kaum.

*Akwa Mahzan ialah anak muda kelahiran Negeri Sembilan yang cintakan keharmonian dan mengimpikan sistem sosial yang lebih baik. Percaya kepada keadilan, kesamarataan dan seorang idealis.