Rencana

Melayu takkan hilang kuasa, yang lenyap hanya UMNO dan rasuahnya

Imaginasi melampau Melayu hilang kuasa jika UMNO tewas pilihanraya adalah palsu. Orang Melayu tidak akan hilang kuasa seperti yang dimomokkan media dan cybertrooper UMNO.

Momokan itu dibuat untuk menanamkan ketakutan dalam minda Melayu supaya terus bersama parti itu walau apa jua keadaan sekalipun; membuatkan kita buta, bahawa rasuah mampu melenyapkan sejarah bangsa yang unggul.

Suka saya memetik kata-kata Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said. Kata beliau, tidak masuk akal mendakwa orang Melayu dan agama Islam di Malaysia terancam, memandangkan sudah hampir 60 tahun negara dikuasai UMNOyang kononnya mempertahankan Melayu.

“Kata-kata bahawa orang Melayu dan Islam kini sedang terancam sukar masuk otak saya. Sejak merdeka, Perdana Menteri semuanya Melayu, Timbalan Perdana Menteri semuanya Melayu, Menteri Dalam Negeri semuanya Melayu, malah Menteri Besar kebanyakannya Melayu,” kata Pak Samad.

Polemik Melayu hilang kuasa ditimbulkan bagi menutup segala kemelut politik, ekonomi dan sosial yang semakin gila. Selain skandal rasuah dan penyelewengan kritikal melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seperti isu 1MDB dan derma RM4.2 bilion, perkara lainnya melibatkan isu penggangguran mahasiswa, kelembapan ekonomi negara, penghakisan Tanah Rezab Melayu, isu Tabung Haji, isu wang simpanan pekerja KWSP, pemborosan kerajaan dan sebagainya.

Ketakutan ‘Melayu hilang kuasa’ dicipta untuk menakutkan orang Melayu dan mengalih perhatian rakyat daripada keadaan kritikal rasuah negara sehinggakan, mereka yang mengkritik kepimpinan UMNO dilabel sebagai mengkritik malah mengkhianati orang ‘Melayu’.

Kalau mengikut Ahli Parlimen Raub Datuk Mohd Ariff Sabri, tujuan UMNO terus membajai semua ketakutan yang dicipta itu adalah untuk lari daripada masalah utama yang dihadapi rakyat dan negara ini.

“Jangan nak lari dari masalah utama. Kita sekarang berhadapan dengan bagaimana kantung wang negara dirompak. Adakah kita mahu negara kita ditadbir orang sebegini? Saya Melayu dan akan terus kritik kepimpinan Najib. Saya tidak akan benarkan UMNO mendefinisikan keMelayuan saya,” katanya dalam satu temubual.

Sejak kecil dilatih takut hantu, bila dewasa takut kerajaan?

Momok ketakutan ini sudah ditanam sejak kecil dengan ketakutan-ketakutan yang tidak nyata dan remeh. Sejak kecil kita ‘dilatih’ untuk takut dengan hantu dan jembalang. Bila dewasa kita dilatih untuk takut dengan kerajaan dan segala kemungkinan yang samar, malah tidak benar sama sekali.

Realiti depan mata bagaimanapun memberi gambaran jelas bahawa UMNO gagal memimpin sebuah negara yang dihormati dan disegani kerana kualiti dan pencapaiannya. Akhirnya yang menjadi kambing hitam dalam hampir segala hal bersangkutan ‘Melayu’ dan ‘Islam’ dibebankan ke atas bahu DAP.

Menegaskan kenyataannya, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dalam suatu forum dahulu ada berkata, DAP tegas dan menjunjung kedudukan dan hak istimewa orang Melayu serta kedudukan agama Islam seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya adalah mustahil kuasa Melayu boleh hilang lantaran faktor demografi, undang-undang serta daulat Raja-raja Melayu.

“Masyarakat Melayu adalah masyarakat terbesar, dan semakin berkembang. Manakala masyarakat Cina hanya 25 peratus (daripada keseluruhan populasi) dan (jumlahnya) semakin mengecil,” katanya menjawab kerisauan kononnya Melayu semakin hilang kuasa.

Melayu takkan hilang kuasa, yang hilang kuasa ialah UMNO

Realitinya, orang Melayu tidak akan pernah hilang kuasa politik mereka walau apa pun yang berlaku kepada Najib dan UMNO dalam pilihanraya umum akan datang. Malah, bagi Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, beliau berpandangan jika UMNO tewas dalam pilihanraya akan datang, mereka akan mampu merubah sikap dan bermuhasabah menjadi parti yang lebih baik untuk bangsa dan negara.

Melayu tidak akan hilang kuasa walaupun Umno disingkirkan, kerana:

1. Pada tahun 1970, populasi Malaysia terdiri daripada 44.32 peratus Melayu, 34.34 peratus Cina, 8.99 peratus India, 11.89 peratus Bumiputera bukan Melayu dan 0.67 peratus etnik lain.

2. Pada 2010 pula, populasi kaum Melayu meningkat kepada 55.07 peratus, Cina berkurangan kepada 24.34 peratus, India mencatat penurunan kepada 7.35 peratus, Bumiputera bukan Melayu kekal pada 11.94 peratus manakala 1.3 peratus etnik lain.

3. Malah, pada Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu, 52.63 peratus pengundi merupakan kaum Melayu, 29.68 peratus kaum Cina, 7.31 peratus India, 8.96 peratus Bumiputera bukan Melayu dan 1.43 peratus etnik lain.

4. Daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, 114 merupakan kerusi majoriti Melayu yang mewakili 70 peratus kerusi, 22 kerusi majoriti Cina (13 peratus) dan 29 bilangan kerusi campuran. Tidak ada satu pun kerusi majoriti India.

Semua faktor ini menunjukkan penguasaan orang Melayu yang memberangsangkan dalam politik Malaysia – realiti demografi berhubung populasi negara, bilangan pengundi dan kawasan parlimen – dan mengapa kaum Melayu tidak akan pernah hilang kuasa politik mereka walaupun UMNO tewas dalam pilihanraya umum akan datang.

Yang pasti, jika UMNO tidak hilang kuasa, wang negaralah yang akan terus menghilang ke kantung pemimpin tamak dan boros. – Roketkini.com