Berita

Nancy Shukri ‘turun pangkat’ tamparan hebat buat BN Sarawak

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Putrajaya berhutang penjelasan kepada orang ramai, terutama rakyat Sarawak berhubung pemindahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri yang berasal dari Bumi Kenyalang kepada portfolio yang kurang penting.

Terkejut dengan keputusan kerajaan itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata ia jelas menunjukkan bahawa Nancy telah ‘diturunkan pangkat’ kerana sejak kebelakangan ini, beliau tampak enggan mengikut aliran politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Bukankah ‘penurunan pangkat’ Nancy ini satu tamparan hebat buat menteri-menteri Sarawak?

“Malah, ia juga satu penghinaan kepada PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) selepas kemenangan besar BN Sarawak yang diketuai oleh Presiden PBB, Tan Sri Adenan Satem dalam pilihanraya negeri yang lalu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Naib Pengerusi DAP itu, apa yang berlaku kepada Nancy membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional di peringkat pusat tidak menghargai usaha keras PBB dalam pilihanraya baru-baru ini.

“Penyerahan lebih kuasa autonomi kepada BN Sarawak yang dijanjikan hanyalah satu sandiwara dan tidak mungkin menjadi kenyataan.

“Hal yang terjadi kepada Nancy itu adalah bukti rakyat Sarawak tidak akan dapat melihat apa-apa perubahan ketara,” katanya.

Semalam, Putrajaya mengumumkan jawatan menteri Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) yang dipegang Nancy sebelum ini diserahkan kepada Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Nancy pula ditugaskan menyelia Agensi Inovasi Malaysia, Kumpulan Industri Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan Agensi Nuklear Malaysia.

Semasa rombakan kabinet pada 27 Jun lalu, Najib Razak memaklumkan bahawa akan berlaku perubahan portfolio untuk menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, Azalina masih bertanggungjawab bagi hal ehwal Parlimen. – Roketkini.com