Berita

Pendapat peribadi tidak wajar dikaitkan dengan parti – Lip Eng

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Pandangan ahli akademik Dr. Hew Kuan Yau mengenai pertikaian Laut China Selatan yang mengundang pelbagai reaksi orang ramai adalah hak dan tanggungjawab peribadinya dan tidak wajar dianggap mewakili pandangan parti.

Pun begitu pandangan beliau sebagai seorang ahli biasa DAP tanpa sebarang jawatan pimpinan, mengundang kritikan dan kecaman pelbagai pihak terhadap parti, lantas menyebabkan beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Superman’ akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan DAP.

Menjelaskan kontroversi yang timbul, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, berkata DAP tidak seharusnya dipertanggungjawabkan ke atas kenyataan itu melainkan jika ia diucapkan di pentas ceramah DAP.

“Dr. Hew bertanggungjawab ke atas apa yang dikongsikan di media sosial, tidak kiralah buruk atau baik.

“Saya hormati keputusan beliau untuk tinggalkan DAP ekoran kenyataannya di Facebook walaupun saya rasa beliau tidak perlu pun keluar daripada DAP hanya kerana perbezaan pendapat.

“Ini politik. Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju. Kita bukan komunis,” kata Lip Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, jelasnya kontroversi ini wajar dijadikan titik tolak untuk politik Malaysia mengiktiraf bahawa pendapat peribadi individu adalah hak dan tanggungjawab peribadi dan tidak semestinya mewakili pandangan parti.

Apa yang dilakukan Hew kata beliau tidak kurang bezanya dengan kenyataan-kenyataan dangkal yang pernah diungkapkan pemimpin UMNO.

“Kita mungkin boleh menggelar mereka bodoh, dan mereka juga boleh membalas kutukan dengan kata makian juga, tetapi tidak ada sesiapa pun yang percaya apa yang mereka ucapkan adalah bagi pihak kerajaan mahupun UMNO,” ujar beliau yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan itu.

Mengulangi pendirian DAP dalam hal pertikaian Laut China Selatan, Lip Eng menegaskan bahawa kedaulatan negara perlu dipertahankan sepenuh jiwa dan raga.

“Sebagai seorang patriot, saya akan mempertahankan kedaulatan Malaysia dengan sepenuh jiwa raga, dan tentunya menyokong usaha-usaha Wisma Putra untuk menyelesaikan pertikaian berkaitan Laut China Selatan dengan China secara aman,” tegas beliau. – Roketkini.com