Rencana

Tuan Ibrahim: Mempelam ranum menanti luruh?

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man telah secara terbuka menawarkan ‘gencatan senjata’ dengan pihak pembangkang. Katanya demi satu tujuan yang sama – menumbangkan rejim Barisan Nasional.

Susulan daripada salam perdamaian yang cuba dihulur Tuan Ibrahim itu, pelbagai reaksi daripada pihak pembangkang mahupun pihak pro-kerajaan diutarakan.

Pihak UMNO meski dilihat ‘cemburu’ dengan tawaran itu, pastinya sedar bahawa ia tidak akan kemana-mana, kerana Presiden PAS sudah tentu tidak merestuinya. Lebih-lebih lagi agenda kedua-dua parti ini untuk berjuang menegakkan agama Islam dan Melayu harus diteruskan, meski kegiatan rasuah yang melibatkan pemimpin nombor satu negara terus dibongkar satu-persatu.

Pihak DAP dan PKR pula menyambut baik tawaran rakan lamanya itu itu. Manakala, Amanah sebagai parti serpihan PAS yang kini berideologi ‘Islam demokrat’ nampaknya lebih berhati-hati menanggapi tawaran berkenaan.

Sedikit sebanyak tawaran ini sebenarnya mengakui hakikat bahawa PAS tidak dapat berdiri sendiri melawan rejim BN seperti yang pernah disuarakan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang ketika kempen Pakatan Harapan pada pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang lalu.

Mungkin kesilapan pertembungan beberapa penjuru di kedua-dua PRK itu menyebabkan Tuan Ibrahim akhirnya sedar kesilapan PAS yang berdegil tidak mahu bersama-sama dalam Pakatan Harapan.

Namun, adakah Tuan Ibrahim memilih waktu yang tepat untuk berbuat demikian?

Adakah Tuan Ibrahim tahu melalui sumber yang lain bahawa kabinet akan dibubarkan lebih awal? Justeru perlu siap siaga yang pantas di blok pembangkang untuk menghadapi sesuatu yang tidak dijangka ramai?

Ini mengingatkan kita kepada peristiwa pada tahun 2011 di mana Tuan Ibrahim tiba-tiba muncul bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PAS, yang akhirnya memberikan kemenangan kepada Mohamad Sabu, sekaligus menewaskan rakannya yang juga ahli Dewan Ulama PAS.

Justeru, adakah langkah beliau ini sekadar mengekalkan momentum ‘penentangan dari dalam’ dan mencetuskan polemik untuk PAS menyertai Pakatan Harapan?

Setakat ini, dalam PAS, hanya Tuan Ibrahim yang dilihat lantang mengkritik isu-isu rasuah yang membabitkan negara seperti 1MDB.

Yang lain, termasuk Presidennya sendiri malah meminta tiga orang saksi!

Apa pun persoalannya, langkah ini jelas menunjukkan jiwa besar Tuan Ibrahim untuk mengakui bahawa PAS tidak akan mampu menewaskan musuh secara bersendirian. Ia juga menunjukkan beliau mengamalkan prisip ‘politik matang’ meski tahu idea tawaran gencatan senjata itu akan dibakulsampahkan Presidennya sendiri. – Roketkini.com