Berita

Pakatan Harapan kecam cubaan rampasan kuasa di Turki

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Majlis Presiden Pakatan Harapan melahirkan rasa terkejut serta mengecam keras tindakan cubaan merampas kuasa di Turki oleh pihak tenteranya sendiri, awal pagi tadi.

“Sebarang percubaan untuk menukarkan kerajaan Turki perlulah dengan cara aman, berperlembagaan, demokratik dan sebarang percubaan menukar kerajaan melalui campurtangan kuasa tentara perlulah ditentang,” kata Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam kenyataan bersama hari ini.

Mereka turut memberitahu bahawa cubaan tindakan ketenteraan untuk merampas kuasa di Turki tersebut jelas membelakangi proses demokratik dan suara rakyat Turki.

“Kami mendoakan keselamatan rakyat Turki yang kini berhimpun di jalanraya bagi menyatakan sokongan terhadap demokrasi,

“Cubaan rampasan kuasa tentera ini mesti dihentikan, dan semua pihak mesti segera bertenang,” tambah mereka.

Memetik laporan media, tindakan ketenteraan yang bermula malam (Sabtu) tadi telah menyebabkan seramai 42 orang terbunuh.

Bagaimanapun, rampasan kuasa itu gagal setelah rakyat Turki bangkit dengan berkumpul di jalanan setelah menyahut seruan Presidennya Recep Tayyip Erdogan untuk berhimpun di jalan raya. – Roketkini.com