Berita

Konsert Selena Gomez: Pemuda PAS sekadar buru publisiti

SHAH ALAM, 19 JULAI: Pemuda PAS sepatutnya menyatakan bantahan awal kepada Kementerian Dalam Negeri yang memberi kelulusan kepada konsert Selena Gomez dan bukannya mengugut untuk melakukan protes pada saat akhir setelah tiket-tiket laris dijual.

Tindakan saat akhir Pemuda PAS itu kata Setiausaha Eksekutif Sosialis Muda DAP Muhammad Shakir Ameer, menunjukkan mereka amat terdesak untuk sekadar meraih publisiti.

“Protes Pemuda PAS terhadap konsert Selena Gomez menunjukkan mereka tidak punya sebarang perkara konstruktif untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia dan hanya mampu mencari publisiti,” katanya.

Menegaskan kenyataan itu, Shakir berpandangan Pemuda PAS perlu sedar bahawa rakyat Malaysia masih mampu berfikir dan menilai bentuk hiburan yang mereka mahukan.

“Kita tak akan hilang akidah dengan hanya menghadiri konsert. Tiada keperluan untuk Pemuda PAS masuk campur dalam urusan minat peribadi rakyat Malaysia, dan mereka juga perlu menghormati keputusan itu,” ujarnya.

Menurut beliau, tuduhan Pemuda PAS bahawa konsert itu mencemarkan Syawal dan merosakkan akidah juga adalah tidak masuk akal.

“Berdasarkan logik PAS itu, ia bermakna internet, televisyen, radio dan sebarang media juga perlu diharamkan juga kerana mempromosikan Selena Gomez.

“Mereka perlu sedar juga bahawa semasa acara itu berlangsung, ia akan memberi kelebihan buat peniaga-peniaga tempatan untuk mencari rezeki sekaligus meningkatkan ekonomi setempat.

“Ia juga akan mempromosikan Shah Alam sebagai bandar yang sesuai didiami yang juga membantu meningkatkan ekonomi negara secara keseluruhan,” jelas beliau.

Konsert Revival Tour penyanyi berusia 23 tahun yang popular dengan lagu ‘Hands To Myself’ dan ‘Love You Like a Love Song’ itu bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 25 Julai hadapan.

Pemuda PAS membantah konsert terbabit atas alasan bahawa penyanyi ‘seksi’ itu mencemarkan musim perayaan Aidilfitri serta menggalakkan budaya hedonisme di kalangan generasi muda. – Roketkini.com