Rencana

Apa kata kita kalau artis itu bukan Selena Gomez?

Beberapa soalan perlu kita tanyakan kepada Hafez Sabri, Pengerusi Lajnah Dakwah Pemuda PAS dan juga kepada kita yang membantah konsert Selena Gomez yang akan datang ini.

Tujuan beberapa soalan ini ditujukan bukanlah untuk mempersoal hukum asas atau panduan hiburan dalam Islam. Matlamat terpenting persoalan-persoalan yang wujud dalam perbincangan seterusnya ialah sejauh mana kita konsisten dengan pendirian kita terhadap hiburan dan persepsi terhadapnya sama ada dari sudut kewarganegaraan mahupun jantina.

Selain itu hal ini juga memperlihatkan sejauh mana PAS komited dengan dakwah yang berhikmah memandangkan PAS sendiri merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor sekarang yang meluluskan konsert di Stadium Tertutup Melawati tersebut.

Jika Selena Gomez membuat kenyataan terbuka untuk mengikut syarat dan panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sebagaimana Gwen Stefani sebelum ini pada 2007 lalu adakah saudara Hafez masih akan membantah dengan alasan yang sama?

Garis panduan ini, amnya jika diikuti, akan menampilkan Gomez lebih kurang dengan penampilan artis tempatan dalam konsert-konsert dan rancangan televisyen yang biasa kita tonton. Contohnya baru-baru ini telah ditayangkan konsert “Mentor” sempena Hari Raya, mereka juga mengadakan program nyanyian yang melangkaui tema lagu Hari Raya.

Bersempena Syawal ini juga, terbit pula satu soalan lain; adakah apabila konsert ini dijalankan oleh seorang yang bukan Islam pada bulan Syawal ini secara langsung bermakna dia tidak menghormati bulan Syawal (walaupun ini kedengaran agak janggal)?

Adakah kita beranggapan baik rakyat tempatan yang mengadakan atau menyiarkan konsert masih “menghormati Syawal” ini? Atau yang lebih penting berdasarkan intipati kenyataan saudara Hafez, adakah apa yang dilakukan rakyat tempatan kurang melalaikan?

Bukanlah niat saya di sini ingin mempertikai usaha saudara Hafez malah PAS sendiri dalam dakwah untuk menjaga tatasusila dan akhlak anak muda Muslim di Malaysia ini. Namun tindakan tidak konsisten ini seolah-oleh menampakkan kedatangan penghibur luar negara merupakan “ancaman” yang lebih besar berbanding apa yang dilakukan rakyat tempatan sendiri.

Selain itu, perkara yang perlu diperhatikan oleh PAS sendiri ialah apakah yang PAS mampu lakukan untuk memastikan PAS tidak dilihat sebagai parti yang “membunuh” hiburan?

Telahkah PAS buktikan alternatif hiburan berkualiti selain nasyid dan hiburan kebudayaan seperti dikir? Bagaimana dengan status artis-artis yang mula lebih mempelajari lebih dalam tentang Islam dan akhlak melalui PAS? Adakah menyertai atau mengikuti garis panduan PAS bermakna mengucapkan selamat tinggal selama-lamanya kepada genre dan tema lama dalam dunia hiburan sebelum ini?

Jika PAS tidak mempelajari dengan bersungguh-sungguh untuk menghargai nilai seni dan meyakinkan formula PAS sesuai untuk semua golongan, PAS sendiri akan makin kehilangan sokongan oleh golongan industri hiburan yang sentiasa memerhatikan PAS.

Bagaimana pula dengan konsert Usher di Kuala Lumpur nanti? Adakah konsert ini juga akan dibantah? Mungkin kenyataan Azmin yang santai baru-baru ini membuatkan kita ketawa seketika tetapi adakah ini bermaksud memandangkan Usher itu lelaki bermakna Usher “kurang seksi” berbanding Selena Gomez? Adakah Selena Gomez sahaja yang “seksi” dan lelaki tak boleh tahan nafsu manakala Usher kurang seksi maka wanita boleh tahan nafsu?

Selain itu, bagaimana Lajnah Dakwah Pemuda PAS terpaksa bersuara terbuka sedangkan PAS sendiri merupakan sebahagian daripada pentadbiran kerajaan campuran negeri Selangor itu sendiri? Jawapan ini adalah antara dua; sama ada PAS belum mampu menjalankan strategi dakwah yang lebih berkesan walaupun dalam kerajaan negeri sendiri atau memang sudah jadi budaya PAS yang selalu membuat kenyataan yang dilihat merugikan diri sendiri lalu menyalahkan media yang memutar belitkan kenyataan mereka.

Rugilah PAS, sebagai parti yang sudah berpengalaman sejak sebelum merdeka lagi jika tidak mampu mempelajari apa-apa daripada pengalamannya lebih daripada 50 tahun dan masih mengekalkan strategi yang sama dalam dakwahnya.

Oleh itu, meski benar boleh jadi wujudnya unsur-unsur hiburan yang boleh membawa kepada kelalaian, kita mesti sentiasa konsisten dengan pendirian agar tidak dilihat sebagai hipokrit apabila wujudnya perbezaan asal-usul mahupun jantina.

Selain itu, pihak yang berkepentingan dalam hiburan juga mesti sedaya upaya menjadikan hiburan kita di tanah air masih mengekalkan nilai adab dan akhlak terpuji dalam masa sama tidak syok sendiri dengan kezuhudan dan mampu menghasilkan karya berkualiti yang diiktiraf banyak pihak.

*Wan Salman ialah Timbalan Pengerusi IKRAM Siswa Pandan Indah