Rencana

Sistem pengangkutan awam berpatutan dan mudah digunakan? Menteri harus cuba sendiri

Pada 30 Jun 2016, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah merasmikan projek penyambungan jajaran LRT bagi laluan Kelana Jaya dan Ampang kepada kawasan integrasi Putra Heights. Kira-kira setahun lalu, Najib turut merasmikan pembukaan servis Bas Rapid Transit (BRT) dari Sunway-Setia Jaya ke USJ7.

Walaupun penyambungan kawasan bagi pengangkutan awam di Lembah Klang amat dialu-alukan, peruntukan untuk pengangkutan awam haruslah lebih meluas berbanding pembinaan stesen LRT dan MRT baru. Secara khususnya, pengangkutan awam mestilah berpatutan, bersepadu, mudah digunakan dan boleh dipercayai.

Saya mengambil keputusan untuk menguji sendiri sambungan laluan LRT yang baru serta pelbagai aspek lain dalam sistem pengangkutan awam kita pada 5 Julai lalu, sehari sebelum Hari Raya. Saya memandu kereta ke stesen LRT baru berdekatan Taman OUG yang dipanggil Awan Besar dan menaiki LRT di situ untuk ke kawasan pertukaran Putra Heights.

Saya menukar tren dan menuju ke stesen USJ 7 serta mengambil BRT untuk ke Sunway-Setia Jaya. Dari sana, saya menaiki tren KTM ke KL Sentral. Saya kemudiannya menaiki LRT ke Masjid Jamek melalui laluan Kelana Jaya dan menukar tren untuk ke laluan Ampang dan menuju kembali ke stesen LRT Awan Besar. Bagaimanakah kadar pengalaman saya berdasarkan empat kriteria yang telah dinyatakan tadi?

Pertama, tambang LRT kita tidaklah terlalu berpatutan. Perjalanan LRT saya dari Awan Besar ke USJ7 berharga RM5.20 untuk tambang tanpa menggunakan tunai memandangkan saya menggunakan kad RapidKL (token tunai akan menelan belanja sebanyak RM6.10 untuk perjalanan yang sama). Perjalanan menggunakan BRT dari USJ7 ke Sunway Setia pula menelan belanja sebanyak RM5.40, bermakna perjalanan menggunakan LRT dan BRT untuk satu hala memakan kos sebanyak RM10.60!

Sudah tentu seseorang boleh mengatakan balrt1hawa tidak ramai individu yang akan memilih laluan ini untuk ke Sunway-Setia Jaya tetapi jika saya harus menuju ke Sunway University/ Monash University (cuba bayangkan jika saya adalah seorang pelajar di situ), perjalanan menggunakan BRT akan memakan kos sebanyak RM2.70, bermakna jumlah tambang yang harus dibayar adalah RM7.90 untuk perjalanan satu hala dari LRT Awan Besar ke stesen BRT SunU-Monash.

Atas dasar perbincangan, katakan jika saya mahu menggunakan tren dari Awan Besar ke stesen akhir di laluan Kelana Jaya, iaitu stesen Gombak. Perjalanan satu hala akan menelan belanja sebanyak RM5.70 untuk tambang tanpa menggunakan tunai (RM6.70 jika menggunakan token). Walaupun harga ini lebih murah berbanding menggunakan kereta, ia merupakan beban kepada pengguna yang bergaji minimum untuk menghabiskan RM11.40 sehari atau RM250 sebulan hanya untuk pengangkutan awam.

Sebagai perbandingan, kita boleh lihat negara jiran kita, iaitu Singapura. MRT di sana adalah PERCUMA pada hari bekerja sebelum pukul 7.45 pagi bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas sepanjang waktu puncak perjalanan iaitu dari pukul 8 pagi sehingga 9 pagi. Perjalanan dari stesen MRT yang pertama di timur, Pasir Ris (E1) ke stesen MRT terakhir di belah barat, Joo Koon (E29) yang berjarak 42.6 km hanya menelan kos sebanyak SGD 2.03.

Untuk kriteria yang pertama iaitu sama ada tambangnya berpatutan atau tidak, sistem pengangkutan awam di Malaysia agak ketinggalan.

Kedua, sejauh mana sistem pengangkutan awam kita bersepadu? Bagi saya, terdapat peningkatan di sekitar Lembah Klang. Integrasi antara KTM, LRT, ERL dan laluan bas telah mengubah KL Sentral sebagai hab pengangkutan awam yang digunakan oleh ribuan individu dalam sehari. Sistem BRT Sunway menghubungkan KTM dengan LRT (walaupun menelan kos yang tinggi).lrt2

Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang akan meningkatkan kadar perhubungan serta integrasi pengangkutan awam apabila ia beroperasi tahun hadapan. Satu jurang yang harus dipenuhi adalah laluan bas feeder yang kurang berkesan dari pelbagai kawasan kejiranan ke stesen LRT dan KTM.

Namun, integrasi pengangkutan awam lebih dari sekadar integrasi secara fizikal. Ia juga harus menggabungkan integrasi tambang. Ia bermakna sama ada seseorang itu menggunakan bas Rapid KL, LRT atau KTM, perjalanan dari destinasi pertama ke destinasi terakhir harus menelan belanja yang sama tanpa mengira berapa banyak perubahan jenis pengangkutan awam yang digunakan.

Hari ini, jika kita menggunakan bas untuk ke stesen LRT dan kemudian menggunakan tren LRT serta bas BRT, kita akan dikenakan tiga tambang untuk satu destinasi. Sistem pengangkutan awam yang berintegrasi akan hanya mengenakan sekali tambang untuk satu destinasi. Ia akan meningkatkan kadar kemampuan rakyat untuk menggunakan sistem pengangkutan awam.

Sebagai contoh, pada Mac lalu, saya menaiki bas dari Nanyang Technological University (NTU) di Singapura ke stesen MRT Boon Lay (di sebelah barat), dan dari sana saya menaiki MRT untuk ke Lapangan Terbang Changi (di sebelah timur). Tambangnya adalah sebanyak SGD 2.03 – 0.88 sen untuk bas dan SGD 1.15 untuk MRT. Ia dikira sebagai satu perjalanan dan satu tambang walaupun saya menggunakan bas dan MRT.

Integrasi tambang seperti inilah yang membuatkan pengangkutan awam di Singapura lebih berpatutan untuk rakyatnya. Di Malaysia, integrasi tambang merupakan satu konsep yang masih janggal di kalangan pengguna pengangkutan awam.

Salah satu punca mengapa integrasi tambang kekal sebagai cabaran di Malaysia ialah ketidakupayaan KTM untuk menjadikan sistem tiketnya konsisten dengan LRT/Monorel. Walaupun pengguna boleh menggunakan kad ‘Touch n Go’ untuk membayar tambang KTM, namun pengguna tidak boleh menggunakan kad RapidKL bagi membayar tambang KTM. Malah, sistem tiket automatik KTM masih tidak berfungsi. Di stesen KTM Setia Jaya, sebagai contoh, satu mesin tiket automatik tidak berfungsi dan satu lagi masih dalam peringkat ujian. Dan tidak ada sesiapa yang bertugas di kaunter tiket manual!

Ia menunjukkan negara kita masih jauh dari memperkenalkan sistem integrasi tambang walaupun KTM berjanji pada November lalu bahawa satu sistem tiket yang berintegrasi dengan LRT dan Monorel akan diperkenalkan pada Jun tahun ini.

Ketiga, adakah sistem pengangkutan awam kita mudah digunakan?

Untuk stesen-stesen baru di kawasan sambungan laluan Kelana Jaya dan Ampang, petunjuk stesen di dalam tren tidak berfungsi dengan baik semasa saya menaikinya pada Selasa lalu. Ia bermakna pengguna tidak akan dapat mengikuti laluan dan stesen LRT yang seterusnya dengan mudah. Pada masa sama, tidak ada pengumuman yang dibuat menggunakan sistem PA mengenai stesen seterusnya.

Malah, semasa saya menailrt3ki LRT dari Masjid Jamek ke Awan Besar, tidak ada pengumuman kepada pengguna bahawa mereka perlu menukar tren di Sri Petaling untuk ke Awan Besar. Pada peta LRT, laluan perjalanan dari Sri Petaling ke Awan Besar tidak menunjukkan bahawa pengguna harus menukar tren. Saya hanya mengetahui tentang perkara ini apabila tren yang dinaiki berhenti di Sri Petaling dan kembali ke stesen Bukit Jalil tanpa meneruskan perjalanan ke Awan Besar.

Terdapat banyak perkara yang harus dilakukan bagi meningkatkan mutu petunjuk dan pengumuman di stesen LRT (Saya akan berbicara tentang masalah petunjuk laluan bas Rapid KL dalam rencana yang lain).

Aspek keempat dan juga yang terakhir adalah sama ada sistem pengangkutan awam kita boleh dipercayai. Saya tidak akan menyentuh kebolehpercayaan bas feeder memandangkan saya tidak menaiki sebarang bas feeder pada Selasa lalu. Walaupun tren LRT adalah kerap (masa menunggu adalah kurang dari 10 minit), perkara berbeza dengan KTM. Disebabkan hanya terlepas satu tren di stesen KTM Setia Jaya, saya terpaksa menunggu selama 45 minit untuk satu lagi tren.

Salah satu punca untuk kadar kekerapan tren KTM yang rendah, terutama pada bukan waktu puncak, adalah disebabkan landasan berkembar, tetapi saya difahamkan walaupun semasa waktu puncak, tren sepanjang Tanjung Malim dan Sentul hanya tiba setiap 45 minit.

Kadar kebolehpercayaan yang rendah untuk sistem pengangkutan awam dalam aspek kekerapan dan masa akan menyebabkan ramai pengguna tidak memilih pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri. Ia juga menyebabkan ketidakselesaan dan menambah masa perjalanan bagi pengguna yang tidak ada pilihan lain.

Saya menyeru agar ahli-ahli politik kita, terutama para Menteri, untuk menaiki sendiri pengangkutan awam di negara ini, tanpa rombongan, termasuk membeli sendiri tiket dan merancang sendiri perjalanan supaya mereka boleh merasakan sendiri masalah yang harus dihadapi oleh pengguna pengangkutan awam setiap hari.

Melalui cara itu, mereka akan mengetahui sama ada sistem pengangkutan awam di Lembah Kelang ini berpatutan, bersepadu, mudah digunakan dan boleh dipercayai ataupun tidak. – Roketkini.com

*Dr. Ong Kian Ming merupakan Ahli Parlimen Serdang merangkap Penolong Setiausaha DAP Selangor