Rencana

Rumus Gus Dur tentang negara Islam

Gus Dur mula memperbincangkan tentang ‘konsep’ negara Islam dengan latar belakang reaksi keras terhadap tulisan Ali Abdul Raziq, Islam dan Dasar Pemerintahan – yang bukunya itu disita dan jawatannya di al Azhar ditukar ke posisi sejuk-beku, yang tidak melibatkan urusan Islam dan kepentingan umum. Beliau dihantar ke akademi bahasa arab.

Respon yang sebegitu keras tersebut dilihat kerana pada ketika itu buku Ali Abdul Raziq dilihat menyambut idea Kemalis di Turki untuk menyembelih kekhalifahan terakhir Islam, dan menuju ke arah sekularisme, pemisahan Islam daripada urusan kenegaraan.

Apa isi buku itu yang begitu radikal? Ali Abdul Raziq berhujah pertamanya Al-Quran tiada menyebut idea negara Islam, sebaliknya hanya menyebut ‘negara yang baik penuh pengampunan Tuhan’. Kedua, watak Nabi Muhammad saw tidak memperlihatkan watak politikus, sebaliknya menonjolkan akhlak dan ketiga Nabi Muhammad saw tak pernah merumus secara jelas cara melantik pemimpin negara, sebaliknya cuma menyabdakan, “bermusyawarahlah kalian dalam apa jua persoalan”.

Pastinya masalah paling penting seperti pemerintahan negara Islam, kata Ali Abdul Raziq wajar diberikan arahan khusus untuk meneruskan legasi, namun Nabi cuma memberi arahan ringkas agar bermesyuarat. Ali Abdul Raziq meneruskan bukunya dengan memberi contoh keburukkan-keburukkan sistem khalifah dalam sejarah.

Gus Dur menyambung lagi dalam tulisannya membincangkan pula masalah negara Islam dalam politik masakini. Indonesia melalui Pancasila, Iran sebagai republik Islam sedangkan Arab Saudi pula yang menyatakan Al-Quran sebagai perlembagaan walaupun negaranya sendiri bukan negara Islam secara formal.

Gus Dur memberikan dua kutub idea negara Islam, paling ringan, minimalis dan paling berat optimalis.

Bagi minimalis, kata Gus Dur, sebuah negara yang sudah memiliki watak Islam jika ajaran Islam telah diakui, seperti ajaran keesaan Tuhan dan Islam menjadi inspirasi yang mendorong wujudnya undang-undang dan peraturan yang manusiawi namun tidak pula menentang ajaran Islam.

Golongan yang mahukan negara Islam yang optimal pula menginginkan ajaran Islam dilaksanakan sepenuhnya, dan negara itu haruslah di-Islamkan sepenuhnya.

Perhatikan istilah minimalis dan optimalis, perkataan sopan yang membawa maksud neutral agar perbincangan yang dibawa Gus Dur ini diterima oleh kedua-dua golongan. Beliau kemudiannya mengehendaki perbincangan lanjut mengenai konsep negara Islam sebelum menekankan mengapa beliau menggunakan istilah ‘konsep’.

Konsep, kata Gus Dur merupakan bayang-bayang yang belum tepat, tidak seperti teori negara Marxis yang dapat dibezakan secara jelas berbanding idea teori kenegaraan yang disokong kapitalis. Gus Dur kemudiannya menutup tulisannya dengan menyatakan yang selagi belum ada idea negara Islam yang jelas, maka usaha untuk mengatakan konsep negara Islam itu wujud boleh disanggah.

Tulisan Gus Dur memang membangkitkan banyak persoalan dan keraguan tentang konsep negara Islam yang sekian lamanya kita belum berjaya mencari satu contoh untuk dijadikan panduan.

Saya tertanya adakah negara Islam itu negara yang mengamalkan undang-undang Islam, kerana contoh negara seperti itu cukup banyak. Mengapa agaknya tiada tulisan tentang negara yang mengamalkan sistem ekonomi Islam? Mengapa tidak menggunakan ekonomi: instrumen yang tak perlukan proses kompleks dan berkala seperti pilihanraya untuk mengukur keislaman sesebuah negara?

Ok lah, jika bukan ukuran penuh, mungkin sebagai separuh? Rasanya poin ini boleh dibincangkan kerana pertembungan komunis-kapitalis pun bermula seputar isu ekonomi kemudian mengakar ke persoalan lain. Kemudian kita mungkin bertanya, apakah model ekonomi Islam?

Sekularisme merupakan hantu yang menakutkan di sebalik almari, menunggu dan memandang kita setiap kali sebelum tidur. Sehinggalah kita pasang lampu dan kenal, itu cumalah baju yang digantung.

Kalau kita pergi doktor dia akan nasihatkan ikut ilmu perubatan yang dia belajar, mungkin ada penambahan sedikit agar caj ubat meningkat. Sebaliknya kita boleh jumpa pawang yang akan berusaha sedaya upaya agar kamu sihat dengan mengambil upah sekadar sedekah.

Petiklah suis lampu!

*Zulfadzli Halim adalah anggota DAP Cawangan Damansara Utama