Berita

SPR didakwa pindah pengundi di Johor sesuka hati

KLUANG, 20 JULAI: Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) diingatkan agar melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan lebih teliti, profesional dan bebas daripada apa-apa pengaruh politik bagi memelihara kewibawaan dan nama baik institusi itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol, Tan Hong Pin berkata pelbagai jenis aduan telah diutarakan oleh rakyat yang rata-rata tidak berpuas hati dengan pelaksanaan tugas SPR kerana ia menyukarkan urusan mengundi mereka.

Jelasnya, di Dun Mengkibol sahaja, sebanyak 780 pemilih dipindahkan ke kawasan Dun Mahkota tanpa sebarang notis atau prosedur yang wajar, malah, kawasan mengundi telah dipindahkan ke kawasan sejauh 12 km dari tempat kediaman mereka.

“Pihak SPR mesti memberi penjelasan tentang pindaan kali ini sama ada proses ini dibenarkan atau tidak dari segi undang-undang.

“Menurut undang-undang, SPR berkuasa membuat pindaan ke atas lokaliti dan daerah mengundi, namun ia memerlukan kelulusan daripada Dewan Negeri atau Parlimen. Mereka tidak boleh buat pindaan atas apa alasan sekalipun tanpa kelulusan Dewan Negeri,” katanya.

Disebabkan aduan penduduk, Hong Pin telah menjalankan lawatan rumah ke rumah di sekitar Kampung Sri Lalang di sini minggu lalu bagi membantu penduduk setempat membuat semakan tempat mengundi.

Hasilnya, antara 25 pemilih yang ditemubual dan disemak, terdapat lapan kes pemilih yang telah dipindahkan dari daerah mengundi di Kampung Sri Lalang ke Kampung Paya.

Malah, beliau mendapati empat pemilih yang berkongsi alamat kediaman tidak lagi mempunyai kawasan mengundi yang sama selepas tiga daripadanya telah dipindahkan ke kawasan lain.

“Saya berharap kes-kes seperti ini hanyalah kes terpencil yang melibatkan kesalahan teknikal sahaja dan bukannya satu pemindahan yang memihak kepada kepentingan mana-mana parti politik.

“Selama ini, kebebasan SPR sering dipertikaikan kerana didakwa tidak menjalankan tugas dengan bebas tetapi memihak kepada parti pemerintah,” ujarnya.

Menurut Ahli Jawatankuasa DAP Johor itu, berdasarkan kajian, proses belah bahagi daerah mengundi yang diumumkan oleh SPR dalam warta bertarikh 29 April lalu memberi implikasi besar kepada ratusan ribu pengundi di seluruh negara.

Oleh itu, katanya, mereka diingatkan supaya membuat semakan melalui lawan web rasmi SPR, http://daftarj.spr.gov.my/DAFTARJ/ bagi memastikan tempat mengundi selaras dengan alamat kediaman mereka.

Jika terdapat sebarang masalah, Hong Pin meminta pengundi untuk menghubungi DAP di talian 010-5351758 atau 010-5171758 bagi mendapatkan tindakan lanjut dan sewajarnya. – Roketkini.com