Rencana

3 sebab Pilihanraya Pulau Pinang perlu diadakan

Membubarkan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan mendapatkan mandat baru daripada rakyat mungkin merupakan keputusan yang paling sukar dibuat oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC). Keputusan ini akan memberi platform untuk kuasa rakyat menewaskan kuasa jahat, dan menjadi titik tolak penulisan semula sejarah politik negara yang tercinta.

Selepas perbincangan berjam-jam, CEC DAP secara sebulat suara membuat keputusan untuk membubarkan DUN Pulau Pinang, selepas berunding dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan.

Mengikut rancangan asal, selepas berunding dengan rakan-rakan Pakatan, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang akan menjelaskan kepada rakyat Pulau Pinang dan seluruh rakyat Malaysia tentang keputusan sukar yang telah kami ambil. Malangnya rancangan ini telah lebih awal dibocorkan kepada media.

Memandangkan sudah bocor, masanya telah tiba untuk kami menerangkan kepada awam apa rasional dan pertimbangan kami.

 

1. Mendapatkan mandat baru

Malaysia adalah negara persekutuan pada nama sahaja, tetapi pentadbirannya lebih berpusat berbanding persekutuan lain. Di persekutuan lain, seperti Australia dan India, pilihanraya persekutuan dan negeri selalunya dijalankan berasingan untuk mengelak isu negeri tenggelam dalam isu persekutuan.

Di Malaysia, selain Sabah dan Sarah dan kes-kes istimewa seperti Pilihanraya Negeri Kelantan 1978, pilihanraya negeri dan persekutuan dijalankan serentak. Bagi Barisan Nasional, pilihanraya serentak membantu kerajaan untuk menukar-nukar calon dari negeri ke persekutuan dan juga meminimakan kesan politik akibat kekerapan pilihanraya negeri yang berasingan.

Sebelum ini, parti-parti pembangkang mengelak pilihanraya negeri bagi menghindar daripada BN menumpukan kepada sumbangan kerajaan persekutuan ke satu negeri.

Tetapi keadaan sedang berubah. Daripada sumber-sumber dalaman peringkat tinggi, kami diberitahu bahawa sejak pilihanraya negeri Sarawak bulan Mei lalu, BN Sabah dan Johor turut mempertimbangkan pilihanraya negeri berasingan pada lewat tahun 2016 dan awal 2017 bagi mengelak daripada menerima kesan teruk akibat skandal Najib dan imejnya yang buruk.

Pilihanraya berasingan bukanlah kebiasaan di Malaysia tetapi ia adalah cara yang paling baik dan terhormat untuk kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baru pada waktu krisis.

 

2. Adakah kes Guan Eng satu hal peribadi?

Ramai yang berpendapat bahawa tidak perlu diadakan pilihanraya berasingan bagi Pulau Pinang asalkan Ketua Menteri Lim Guan Eng bercuti sehinggalah beliau bebas daripada masalah undang-undang peribadinya. Tetapi adakah kes Guan Eng suatu hal peribadi?

Sejak Ahli Parlimen Tasik Gelugor Shahabudin Yahya menyalahgunakan kekebalan parlimennya untuk menuduh kononnya Guan Eng rasuah pada 17 Mac, media arus perdana dan operasi-operasi gelap telah bersungguh-sungguh mewarnakan Guan Eng sebagai seorang yang korup. Tetapi kes Taman Manggis yang didakwa waktu itu telah ghaib sama sekali apabila Guan Eng didakwa pada 30 Jun. Guan Eng telah menafikan sebarang kesalahan.

Hanya apabila kita menemukan kedudukan kes Guan Eng dalam senarai keputusan politik Perdana Menteri Najib Razak maka barulah semuanya masuk akal. Najib memenangani pilihanraya 2013 dengan hanya 47 peratus undi dan kini terpalit dengan skandal ‘derma’ dan 1MDB. Satu-satunya cara untuk Najib memenangi PRU akan datang ialah bukan dengan menjadi pilihan melalui pilihanraya yang bebas dan adil, tetapi menang mudah dengan menghapuskan pihak lawan dan memecahkan pihak pembangkang:

Pertama, dengan memenjarakan Anwar Ibrahim, beliau menghapuskan satu-satunya pemimpin utama pembangkang dan menafikan calon perdana menteri alternatif;

Kedua, sejak awak 2014, Umno telah melamar dan mengambil kelompok konservatif falam PAS melalui peruntukan dan tawaran kewangan untuk pembangunan di Kelantan dan undang-undang hudud. PAS akhirnya berpecah pada Jun 2015 dan kepimpinan sekarang melayan parti-parti pembangkang sebagai musuh sambil melayan Umno bagaikan sahabat. Kepimpinan sekarang nampaknya sedang bersedia untuk menjadi perosak dalam PRU dengan bertanding dalam pertandingan tiga penjuru.

Ketiga, dalam hal Guan Eng, tujuan politiknya ialah untuk menghancurkan kredibiliti Guan Eng, menafikan peluang beliau bertanding dalam PRU akan datang dan barangkali memenjarakan beliau. Menurut perkiraan pihak lawan, DAP akan kehilangan sokongan apabila kredibiliti Guan Eng dihancurkan, dan tanpa Guan Eng bertanding sebagai calon dalam PRU akan datang, DAP dan Pakatan Harapan mungkin akan kehilangan kuasa di Pulau Pinang.

 

3. Demi keadilan

Garis yang diambil media arus perdana ialah pilihanraya negeri diadakan demi mengekalkan kedudukan Guan Eng. Tetapi ini tidak benar.

Kami mengira bahawa Guan Eng hampir pasti akan didapati bersalah sebelum PRU seterusnya supaya beliau tidak dibenarkan bertanding, dan mungkin juga akan dipenjara.

Membubarkan DUN bagi mendapatkan mandat baru sementara Guan Eng masih boleh bertanding bermakna beliau mengembalikan mandat kepada rakyat agar mereka dapat menghakimi prestasinya sebagai Ketua Menteri, serta memastikan DAP dan Pakatan Harapan mendapat mandar untuk lima tahun lagi, tidak kiralah Guan Eng dibebaskan atau tidak.

Berikut adalah beberapa objektif pilihanraya negeri Pulau Pinang 2016:

Pertama, mengekalkan Pulau Pinang sebagai tapak DAP dan Pakatan Harapan untuk meneruskan cabaran bagi menawan kerajaan persekutuan pada PRU akan datang;

Kedua, sekiranya Pakatan terus diberi mandat oleh rakyat Pulau Pinang, konspirator masa depan yang mahu menyekat pemimpin pembangkang popular seperti Anwar Ibrahim dan Guan Eng akan terpaksa berfikir dua kali.

Ketiga, dengan penglibatan Najib dalam skandal kewangan terbesar dalam sejarah Malaysia dan di skala global namun tidak didakwa dalam negara walhal Guan Eng berdepan pendakwaan terpilih, pilihanraya negeri Pulau Pinang adalah peluang untuk rakyat menyatakan rasa marah mereka.

Pendek kata, pilihanraya negeri Pulau Pinang 2016 adalah satu usaha demi keadilan, bagi rakyat Pulau Pinang dan Malaysia untuk melawan Najib dan Barisan Nasional.

 

* Kenyataan Media Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Kluang pada 21 Julai 2016 Liew Chin Tong