Berita

Jangan termakan umpan ‘konspirasi jatuhkan Melayu-Islam’ – Datuk Ariff

RAUB, 25 JULAI: Rakyat Malaysia diingat supaya tidak tertipu dengan jerat kaum dan agama yang dimainkan pihak tertentu berikutan pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) melibatkan kebocoran AS$3.5 bilion dana 1MDB yang dicuri untuk ‘berfoya-foya’.

Ia antara lain cuba menggambarkan Amerika Syarikat sedang masuk campur hal ehwal dalaman  Malaysia mengaitkan ianya sebagai konspirasi jahat Amerika ke atas negara, tambah buruk lagi, ia digambarkan satu serangan menjatuhkan ‘Melayu dan Islam’ di Malaysia.

Hakikatnya, penyelewengan yang didedahkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat itu melibatkan salah laku yang berlaku di dalam dan melibatkan sistem kewangan negara tersebut dan antarabangsa.

Ahli Parlimen Raub Datuk Mohd Ariff Sabri, berkata tindakan DOJ itu tidak langsung ada kaitan dengan bangsa atau agama, sebaliknya adalah serangan terhadap penyelewengan dan rasuah.

“Adakah ini serangan ke atas Islam? Jawapannya tidak. Ini adalah serangan ke atas rasuah, pencurian, salah laku, kemungkaran. Ia dituntut oleh Islam,” katanya kepada Roketkini.

Menjelaskan kenyataannya beliau berkata perlakuan jenayah tidak mengenal bangsa, budaya mahupun agama.

“Misalnya jika ditangkap Shahrol Azral dan Najib Razak, itu bukan tangkap Melayu. Jika kita tangkap Jho Low, kita bukan tangkap Cina tapi seorang yang bernama Jho Low. Kita hendak tangkap Eric Tan, bukan bangsa Cina. Kalau kita tangkap Arul Kanda, kita bukan tangkap India, tapi tangkap seseorang dari kaum itu. Kalau kita tangkap Khadem Qubaisy dan Badawy Husseini, kita tangkap dua individu, bukan bangsa Arab,” ujar beliau.

Kata beliau lagi, tindakan sivil oleh DOJ tidak boleh dilihat sebagai campur tangan Amerika dalam hal ehwal dalaman Malaysia memandangkan ia melibatkan perbuatan yang melanggar undang-undang di Amerika.

“Tindakan sivil di Amerika kita anggap campur tangan dalam negeri kita, tetapi derma pak arab berbilion itu, tidak pula dianggap campur tangan?” soalnya.

“Tapi kita tahu jentera Najib berkerja 24 jam seminggu  untuk mengalihkan isu pendedahan dan tindakan undang-undang oleh DOJ Amerika kepada isu lain,” ujar Ariff lagi.

Antaranya dengan menggambarkan bahawa pendedahan DOJ itu adalah satu serangan politik yang keterlaluan keatas 1MDB dan Malaysia dan konspirasi Yahudi untuk campur-tangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia.

“Jangan menipu rakyat jelata dengan menolak kebenaran itu hanya kerana ia dimulakan di Amerika,” tegas beliau. – Roketkini.com