Rencana

Di mana Pak Arab ‘dermawan’ bersembunyi?

Setiap hari, pasti Ahli Parlimen DAP, Tony Pua akan kecoh tentang 1MDB. Kadang-kadang terfikir juga, tak bosankah Tony asyik sebut tentang skandal 1MDB berulang kali? Padahal rakyat Malaysia yang rata-ratanya lebih gemar isu Yuna peluk Usher di atas pentas atau status haram halal PokemonGo, bukan peduli sangat jika duit mereka kena rembat juta-juta.

Bagi orang kita, tak apalah jika juta-juta habis dirompak orang atas pun, asalkan negara ini masih diperintah Melayu Islam. Syukur.

Yalah, jika tidak diperintah Melayu Islam, takkan seorang Pak Arab yang hartawan lagi budiman mahu menderma berbilion ringgit kepada Perdana Menteri kita. Bukan dua tiga juta, tapi RM2.6 bilion. RM2.6 bilion ini punyalah banyak, sehingga boleh beli lebih 108 cincin berharga RM24 juta.

Tapi, apa yang dipersoalkan Tony semalam menarik juga untuk difikirkan. Kata Tony, di mana Pak Arab yang hartawan dan budiman itu bersembunyi?

Lebih-lebih lagi, setelah saman sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat baru-baru ini menunjukkan wang RM2.6 bilion (AS$ 681 juta) yang masuk ke akaun si ‘Malaysian Official 1’ itu datangnya daripada duit 1MDB melalui syarikat Tanore Finance Corporation.

Tanore Finance Corporation itu pula dimiliki rakan Jho Low yang bernama Eric Tan Kim Loong. Hairan bin Ajaib sungguh. Adakah Eric Tan Kim Loong ini Pak Arab itu?

Jika Eric Tan lah Pak Arab misteri yang disebut-sebut kerajaan selama ini, nampaknya Pak Arab yang disangkakan rakyat itu bukanlah dari Timur Tengah sana, tetapi seorang usahawan Cina dari Malaysia.

Tapi itu juga menambah seribu satu kemusykilan yang lain.

Adakah itu bermakna wakil Pak Arab yang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi jumpa seperti didakwanya sebelum ini wakil kepada Eric Tan?

Atau, adakah itu bermakna Eric Tan adalah kaum kerabat Raja Arab Saudi, memandangkan Peguam Negara bermati-matian mendakwa derma itu berasal dari keluarga Diraja negara Asia Barat itu?

Atau, adakah seluruh kisah derma dari Pak Arab yang hartawan, budiman lagi ‘gentleman’ ini hanyalah satu cerita dodoi yang direka khas oleh pihak tertentu supaya orang kita terus lena dibuai mimpi? – Roketkini.com