Wawancara

Menjawab (hampir) semua persoalan mengenai Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang (Bahagian 1)

Cadangan bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang secara mengejut telah menyebabkan seluruh negara menjadi ribut. Ia mengundang pelbagai tanggapan negatif banyak pihak termasuk teman-teman dalam Pakatan Harapan seolah-olah DAP semacam terlalu terdesak untuk menyelamatkan Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. Lalu timbul persoalan lain, adakah benar DAP mahu menyelamatkan Guan Eng? Atau PRN ini sememangnya wajar diadakan, atau ada tanda soal lain yang menjadi percaturan? Merungkai segala persoalan ini, wartawan Roketkini Hafiz Zainuddin menemubual Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke Siew Fook. Foto oleh Ahmad Yusufi.

Dengan prestasi tidak cemerlang Pakatan Harapan (PH) di Sarawak dan dua Pilihan Raya Kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, di mana kewajaran dan kepentingan diadakan Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang ini?

Pilihanraya ini dari perspektif DAP, ia penting. Sebab utamanya ialah untuk melawan balik pendakwaan politik yang dikenakan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Kita perlu ada satu tindakan, iaitu melalui pendekatan politik untuk lawan balik apa yang dilakukan BN ke atas Guan Eng. Keduanya, ia sebagai satu pendekatan untuk menjana momentum PH bagi berhadapan Pilihan Raya Umum ke-14.

Maksud saudara, jika tidak adakan PRN, Pakatan tiada momentum?

Bukan. Sebenarnya apa yang kita lihat, keyakinan penyokong Pakatan terhadap perkara ini amat terjejas sekali berikutan keputusan yang tidak menggalakkan dalam PRN Sarawak yang lepas. Kemudian, keputusan dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar juga nampaknya tidak meyakinkan, dan awal sebelum itu, berlakunya perpecahan Pakatan Rakyat.

Bila berlaku rentetan begini, penyokong kita melihat, begitu juga dengan rakyat secara umumnya bahawa seolah-olah tak ada peluang dan harapan lagi untuk tewaskan Barisan Nasional. Sudah tentu bila berlaku demikian, momentum untuk PH itu kurang. Rakyat mungkin sudah berasa dukacita dan mereka tak melihat harapan yang besar menjelang PRU-14.

IMG_4363Ada pihak dakwa malah rakan-rakan melihat PRN ini sekadar mahu membela Guan Eng?

PRN ini bukan soal Guan Eng. Tetapi isu beliau menjadi penjana kenapa kita perlu adakan pilihanraya. Objektif untuk kita menang pilihanraya negeri ini bukan soal Guan Eng kerana ia tak dapat mempengaruhi keputusan mahkamah.

Mahkamah akan meneruskan pendakwaan itu, memang kita tahu apa pun keputusan PRN, pendakwaan terhadap Guan Eng tidak akan digugurkan. Jika PH menang lebih banyak kerusi pun, Peguam Negara takkan ditukar. Kecualilah jika kita menang peringkat persekutuan.

Jika Guan Eng disabit bersalah, beliau tidak boleh memimpin PH di Pulau Pinang selaku Ketua Menteri. Suka tak suka, orang yang kritik Guan Eng pun perlu akui bahawa beliau ada aura di Pulau Pinang. Dan kalau beliau memimpin PH untuk menghadapi PRN ini, ia memberi kelebihan dari segi kempen pilihanraya. Dan kalau kita menang, buat sementara waktu beliau akan jadi Ketua Menteri sehinggalah kes mahkamah diselesaikan.

Jika apa yang kita jangkakan itu berlaku, iaitu senario terburuk beliau didapati bersalah, maka kita sudah ada mandat selama lima tahun dan beliau boleh serahkan jawatan itu kepada seorang Ketua Menteri yang lain.

Tetapi, kenapa tak tunggu sahaja pilihanraya umum sebab tempohnya sudah dekat?

Inilah sebenarnya yang mahu ditentukan BN. Selama ini, waktu dan bila pilihanraya itu diadakan ditetapkan oleh Presiden Umno selaku Perdana Menteri. Dia akan mencari suatu masa yang paling baik dan sesuai untuk BN bagi mengadakan pilihanraya.

Maksudnya, BN mencari masa yang sesuai supaya mereka boleh menang?

Ya. Pilihanraya di Semenanjung Malaysia selama ini ditentukan BN. Jadi selama ini ia memberi satu kelebihan kepada BN untuk menentukan bila pilihanraya yang bermakna mereka melihat dan menentukan berdasarkan momentum dan sentimen rakyat terhadap mereka. Apabila dia rasa wujud momentum sokongan terhadap dia, dia adakan pilihanraya.

Walaupun dalam konteks Malaysia amalkan sistem Persekutuan. Bukan bermakna tidak boleh adakan pilihanraya berasingan. Cuba kita lihat tempat-tempat lain, negara lain yang amalkan sistem persekutuan, mereka adakan pilihanraya tidak serentak. Misalnya di German, dia ada pilihanraya parlimen dan ada pilihanraya untuk negeri. Cuma kita di semenanjung Malaysia ni kita tak biasa adakan pilihanraya tidak serentak. Bukan tak boleh tapi tak biasa. Dan pilihanraya tak serentak ini juga lumrah di negara-negara yang amalkan sistem persekutuan.

IMG_4430Baiklah, PRN Pulau Pinang ini dibuat kerana dipercayai membantu untuk naikkan momentum dan semangat rakyat terhadap PH, tapi bagaimana jika PH kehilangan banyak kerusi kepada BN?

Ya, itu satu kemungkinan dan risiko yang perlu dihadapi. Memang kita tak nafikan ini adalah salah satu risiko. Tetapi apakah kita nak selalu hanya memikirkan atau mempunyai fikiran negatif. Maksudnya sebelum masuk gelanggang pun kita rasa kita sudah kalah?

Kalau kita masuk gelanggang dan fikir kita akan kalah, pencapaian tak baik, saya nak tanya balik, bagaimana kalau kita dapat kemenangan dan pencapaian yang lebih besar? Bukankah itu akan menjana satu gelombang untuk PRU ke-14?

Memang kita akui ada risiko tetapi itu satu risiko yang kita dah ambil kira sebagai calculated risk. Mengapa kita perlu ambil risiko ini? Pertama, seperti saya katakan tadi, untuk melawan semula pendakwaan politik yang berlaku.

Kalau kita ini dia (BN), Najib rasa you tak adalah semangat untuk lawan dia. Kita boleh buat apa saja, you tak mampu lawan. Jika kita terus berdiam dalam perkara ni, kita dah buat tindakan yang terlalu pasif.

lgemahkamahBagi DAP mungkin tak ada masalah untuk berhadapan dengan isu ini dengan baik tetapi bagaimana dengan rakan-rakan PH iaitu PKR dan Amanah?

Ya. Itu kita ambil kira dan faham kebimbangan mereka. Tetapi kita nak yakinkan rakan-rakan kita, kalau bukan sekarang, dengan adanya isu 1MDB, dengan isu pendedahan DOJ, dengan pendedahan yang begitu besar ini, ia merupakan kelebihan besar kepada kita.

Kita nak masuk dalam kempen pilihanraya dalam mood serang. Inilah masa yang paling baik untuk kita serang BN, serang Najib dan kita lihat Najib sendiri tidak berani adakan pilihanraya umum dalam masa sekarang kerana dia tak berani menghadapi pengundi dengan isu baru yang jadi beban kepada dia.

Jika kita ambil satu sikap proaktif dengan adakan pilihanraya, ini akan meletakkan BN pada defensive mood. Kelebihan kepada PH.

Bersambung esok, tentang kebimbangan PKR dan Amanah. – Roketkini.com

Ikuti wawancara Bahagian 2 di sini