Wawancara

Menjawab (hampir) semua persoalan mengenai Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang (Bahagian 2)

Ikuti wawancara Bahagian 1 di sini

Rasanya semua pihak dalam PH faham situasi politik yang berlaku, tetapi bagaimana dengan penerimaan PKR dan Amanah sendiri? Adakah mereka bersetuju? Ada yang dakwa tidak diajak berbincang.

Sebenarnya tidak betul, selepas kita buat keputusan di peringkat kepimpinan parti. Pada peringkat pertama kita dah berjumpa dengan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah, kita terus pergi ke rumah beliau selepas mesyuarat.

Keesokan harinya, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Liew Chin Tong dan saya berjumpa dengan Presiden Amanah Mohamad Sabu pada hari Selasa, iaitu sehari selepas membuat keputusan bahawa kita di pihak CEC DAP menyokong untuk adakan PRN di Pulau Pinang. Tapi syaratnya perlulah berunding dulu dengan PKR dan Amanah. Sudah tentu kita berunding dengan PKR dahulu sebab PKR ada 10 kerusi di Pulau Pinang.

Jadi, apa hasil rundingan itu?

Kita dah menyatakan alasan kita kepada kepimpinan PKR. Kita sedang menunggu keputusan di peringkat kepimpinan mereka. Jadi, proses perundingan itu berlaku dan kita menghormati proses rundingan ini.

Saya nak katakan bahawa dalam konteks Malaysia, dalam sesebuah pakatan, kalau kita melihat dalam BN, Perdana Menteri  bubar parlimen dia berunding dengan siapa? Terus sahaja dia bubar parlimen bila-bila masa. Itu cara BN kita tak ikut.

Walaupun kita kuasai kerusi yang paling banyak di Pulau Pinang, tetapi kita hormati rakan kita. Itu sebabnya secara dasarnya DAP nak bubar DUN Pulau Pinang, kita masih berunding untuk dapatkan pandangan dari PKR dan Amanah.

PKR dan Amanah bimbang?
IMG_4363

PKR ada menyatakan kerisauan dan kurang bersetuju. Ada kebimbangan, pandangan yang berbeza dan mengambil pendekatan yang berhati-hati, memang itu adalah pandangan mereka dan kita hormati pandangan tersebut.

Mengenai kerusi Amanah, memang itu dirundingkan, kerana Amanah konteksnya, ia parti baru dan sudah tentu mengenai pembahagian kerusi perlu dirundingkan bersama. Jadi proses rundingan itu masih berlangsung dan kita tak membuat keputusan secara terburu-buru.

Jika bubar DUN, sudah tentu akan ada pertandingan tiga penjuru?

Buat masa ni kita belum sampai ke tahap itu. Kita perlu buat keputusan dulu sama ada kita setuju untuk adakan pilihanraya negeri atau tidak. Pertembungan tiga penjuru ini memang kita ada pertimbangkan, tetapi biar kita ambil langkah demi langkah. Kita harap kita dapat elakkan tiga penjuru, tapi kalau tak dapat elak, kita kena cari strategi bagaimana kita hadapi perkara itu.

Saya nak tegaskan, bukannya kita nak tiga penjuru, tetapi PAS sudah awal-awal lagi sebelum rundingan dijalankan, dia dah umum dia nak bertanding semua kerusi, inilah sikap yang ditunjukkan oleh PAS.

PKR nak berunding dengan PAS kita tak ada halangan. Saya rasa PKR boleh saja adakan rundingan dengan pihak PAS. Tetapi sama ada PAS sanggup berunding atau tidak itu perkara lain. Jadi bukan soalnya kita nak masuk gelanggang tiga penjuru, hakikatnya kalau tidak dapat kita elakkan,  maka kita perlu hadapi kemungkinan ini. Kalau kita tak hadapi kemungkinan ini sekarang pun, PRU-14 kita akan hadapi.

Bagaimana pula pandangan rakyat Pulau Pinang?

Memang ada orang yang setuju dan orang yang mungkin masih tidak menerima cadangan PRN ini.  Tapi sudah tentunya, kalau kita dah buat keputusan, DUN bubar, kita kena buat penerangan. Usaha itu memang kita dah mulakan sesi penerangan di Pulau Pinang yang dilakukan sendiri oleh Pengerusi Negeri untuk menyatakan apakah keadaan politik dan ekonomi di Pulau Pinang.

Apabila kita nak mengadakan pilihanraya, kuasa itu terletak di tangan rakyat. Kuasa itu bukan lagi di tangan pemimpin politik, bukan lagi di tangan Guan Eng. Apabila dewan bubar, suara yang paling besar bukan lagi suara dia, sebab akhirnya yang akan buat keputusan bukan Guan Eng tetapi rakyat Pulau Pinang. Pengundi yang ada hak untuk menentukan.

Kalau kita serahkan mandat untuk ditentukan oleh rakyat, apakah itu salah dari segi moral? Itu yang saya hairan mengapa ada banyak kritikan dan suara pedas terhadap cadangan ini padahal kita kembalikan mandat kepada rakyat. Itu adalah suatu perkara yang demokratik. Suatu cara kita hormati pandangan rakyat. Kalau rakyat tak setuju dengan kita, mereka boleh memangkah untuk tidak bersetuju dengan kita.

Kita masuk gelanggang pilihanraya sudah tentu kita harap menang. Dan kita rasa masa sekarang adalah masa yang sesuai. Kita dapat ambil masa ini bukan sahaja untuk melawan pendakwaan politik terhadap Guan Eng tetapi juga mengambil pendekatan menyerang.

Bila DUN bubar, kuasa diserah balik kepada rakyat. Setiap rakyat Pulau Pinang yang mendaftar sebagai pengundi ada hak. Kalau tak setuju dengan kita, sudah tentu mereka tidak akan menyokong kita, dan kita bersedia menerima penghakiman dari rakyat. Biar rakyat yang tentukan sama ada PH terus memerintah Pulau Pinang atau tidak.

anthony 1Ada yang dakwa Pilihan Raya Negeri mengejut di Pulau Pinang ini membazir. Komen saudara?

Kita tak boleh kaitkan proses demokrasi dengan pembaziran. Ini adalah sistem kita. Pilihanraya itu merupakan sebahagian dari proses demokrasi.

PRN Sarawak juga diadakan secara berasingan. Jadi, tak boleh dibabitkan proses demokrasi dengan pembaziran. Kalau kita kata proses ini membazir, Najib boleh umum buat pilihanraya 10 tahun sekalilah kalau begitu. Jadi, logik proses pilihanraya ini membazir saya tak setuju.

Memang dalam sistem persekutuan kita, pilihanraya peringkat parlimen dan negeri dibenarkan untuk diadakan secara berasingan. Dalam sistem kita, bila ada kekosongan di mana-mana kerusi, ada pilihanraya kecil. Ini dibenarkan dalam proses kita.

PRN berasingan bukan kali pertama diadakan dalam sejarah Malaysia. Di Kelantan pernah, di Sabah pernah, di Sarawak, menjadi lumrah. Kita melihat bahawa ini merupakan satu hak diperingkat kerajaan negeri untuk tidak diadakan pilihanraya  secara serentak.

Jadi kalau kita cakap soal pembaziran, maka kita tak hormati hak negeri. Hak kerajaan negeri perlu dihormati juga. Sebab sekarang kita bercakap soal devolution of power-penurunan kuasa. Hak negeri bukan sekadar hak di Sabah dan Sarawak. Setiap negeri dalam Persekutuan ini juga ada hak demokratik. Jadi, itu perlu juga dihormati sebab setiap negeri inilah yang membentuk persekutuan.

Perjuangan hak negeri bukan sahaja di Sabah dan Sarawak, tetapi di negeri lain patut diperjuang dan dipertahankan. Kalau inilah alasannya tidak mengadakan pilihanraya serentak, maka selama-lamanya negeri-negeri semenanjung Malaysia ini kena ikut telunjuk Kerajaan Persekutuan. – Roketkini.com