Rencana

PRN Pulau Pinang: Beberapa perkara yang harus ‘dibaca’ rakan-rakan Pakatan

Ketika Lim Guan Eng diperintah bayar ikat jamin RM1 juta, DAP telah menjalankan kempen kutipan derma. Dalam masa 21 jam, lebih sedikit dari RM1 juta dikumpul. Rakyat menyatakan pendirian mereka! Dari kerajaan BN, kita tidak boleh mengharapkan keadilan. Kerajaan yang zalim, mesti disanggah.

Itu menunjukkan sokongan terhadap Lim Guan Eng tetap kukuh. Lebih daripada itu, rakyat menyuarakan pilihan mereka bahawa “kamu, UMNO dan BN jangan ingat kamu boleh buli kami.”

Rakyat menyebelahi kerajaan Pakatan Harapan. Perkara ini mesti dibaca oleh rakan-rakan DAP yang lain.

Bagi rakyat, kebenaran adalah senjata paling berkesan untuk melawan kezaliman Najib. Pilihanraya adalah wadah terbaik menyuarakan sikap mereka.

Baik, kita ambil langkah berikutnya. Kita buat pilihanraya tergempar. Kenapa? Kita beri kepada rakyat hak untuk menyatakan pendirian sama ada mereka mahukan kebenaran atau mahu kebatilan. Kembalikan mandat kepada rakyat untuk menolak Najib.

“Let the law takes its due course?”

Ini bukan isu mahu mempertahankan Guan Eng. Ia bukan isi peribadi. Ada sesetengah dakwaan kata, jangan letakkan beban masalah peribadi Guan Eng ke atas rakyat Pulau Pinang. Jika demikian hujahnya, bagaimana pula dengan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Ada juga pemimpin komponen Pakatan berkata let the law takes its due course. Kita boleh kata serupa kepada kes Anwar Ibrahim, let the law takes it due course. Tapi adakah ini wajar?

PRN Pulau Pinang akan memberi peluang demokratik kepada rakyat Pulau Pinang berkongsi pendirian dengan rakyat Malaysia. Momentum dari PRN akan memberi kesan kepada Pilihan Raya Umum ke-14.

Ini masa terbaik untuk diadakan Pilihanraya Negeri untuk rakyat menolak kezaliman dan penganiayaan BN. Inilah masanya rakyat boleh menyuarakan rasa kebencian dan meluat kepada tingkah laku Najib Tun Razak. Perasaan meluat kepada korupsi mesti sentiasa disegarkan dan dibawa kepada pilihanraya dan diterjemah dengan menewaskan BN.

Sabah menyusul adakan PRN?

Mudah-mudahan, ini akan diikuti oleh Sabah. PRN mesti dilakukan secara berasingan dari PRU untuk memberi peluang kepada negeri memisahkan diri dari isu nasional yang dilakukan oleh Najib. Suarakan! Kita tidak mahu terpalit dengan lumpur dan najis dari Najib.

DUN Pulau Pinang ada 40 kerusi. DAP memiliki 19 kerusi, PKR ada 10, UMNO ada 10 dan PAS ada 1 kerusi. MCA, Gerakan dan MIC semua makan telur gred C. Tapi, mereka ini golongan yang paling bising menuntut itu dan ini.

Bukankah jika PRN diadakan, UMNO ada peluang untuk tambah kerusi dan parti komponen lain yang 0 kerusi ada peluang menang kerusi? Bukankah mereka mencatat kejayaan dan cakap besar bahawa model Sarawak, Sungai Besar dan Kuala Kangsar semua adalah model yang membawa kejayaan?

Jika demikian tidak ada perkara yang hendak ditakutkan. Jangan memperdayakan rakyat dengan berkata ini akan menghabiskan masa dan menghabiskan wang. Sejak bila BN mengeluh apabila pengeluaran dan perbelanjaan wang terlibat? PRN akan membawa hujan wang dari langit.

Semua ini adalah harga yang kita kena bayar untuk membuktikan, yakni kezaliman dan penganiayaan kerajaan yang korup tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Pilihanraya mengejut bukan untuk membela Guan Eng tapi untuk membuktikan bahawa DAP dan sekutu berdiri di pihak yang benar, bersama kebenaran dan tidak mahu membenar UMNO-BN melakukan sesuka hati.

Dalam sistem perundangan yang dikuasai BN, Guan Eng tidak boleh menduga apa-apa keadilan untuk dirinya. Apapun boleh berlaku.

Proses menggantikan Ketua Menteri Pulau Pinang jika Guan Eng dihukum penjara

Kerajaan Pulau Pinang patut melakukan pilihanraya untuk memberi peluang kepada dirinya sendiri memulakan proses pergantian. Jika tidak berbuat apa-apa, kerajaan Pakatan hanya ada dua tahun sahaja untuk membaiki keadaan.

Dengan mandat yang baru jika PRN diadakan, Pakatan ada masa lima tahun untuk Guan Eng memulakan proses peggantian. Jika beliau dipenjara sebelum 2018, kerajaan Pakatan di peringkat negeri ada masa yang berasingan untuk meneruskan agenda proses penggantian dan meneruskan agenda kesejahteraan dan kemajuan kepada rakyat Pulau Pinang.

Paling penting, PRN juga memberi peluang untuk rakyat Pulau Pinang menunjukkan meluat mereka kepada angkara durjana Najib dan kerajaannya. –Roketkini.com