Berita

SPR digesa jelaskan pemindahan 29,101 pengundi di Johor

JOHOR BAHRU, 28 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menjelaskan rasional di sebalik pemindahan 29,101 pengundi secara besar-besaran di Johor tanpa melalui prosedur persempadanan semula yang diwajibkan dari sudut undang-undang.

Dalam satu kenyataan bersama, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Johor dari DAP berkata SPR tidak ada kuasa untuk memindah pengundi dari satu kawasan DUN atau Parlimen ke kawasan yang lain mengikut budi bicara sendiri, selaras dengan Artikel 113(2) Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan artikel tersebut, sempadan pilihan raya sesuatu kawasan hanya boleh diubah dengan menjalankan persempadanan semula dengan mematuhi prosedur dan kaedah yang diperuntukkan di bawah Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia termasuklah prosedur mengeluarkan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri, notis dalam Warta, iklan dalam akhbar, pembentangan kertas statut di Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta lain-lain lagi.

“Jadi kami tidak faham mengapa sejumlah 29,101 pengundi dipindahkan kawasan DUN atau Parlimen tanpa sebarang pemberitahuan awal. Adakah ini sebahagian daripada strategi pemerintah Barisan Nasional untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di Johor?” katanya.

Kenyataan media itu dibuat oleh Adun Bentayan, Chua Wee Beng, Adun Penggaram, Gan Peck Cheng, Adun Bekok, Lim Eng Guan dan Adun Mengkibol Tan Hong Pin.

Mereka berasa terpanggil untuk mengutarakan perkara berkenaan selepas meneliti secara terperinci Notis dalam Warta Persekutuan (No.: PU (B) 197 – 2016) mengenai Daerah Mengundi dan Pusat Mengundi di bawah Akta Pilihan Raya 1958 yang dikeluarkan pada 29 April lalu.

Menurut mereka, pemindahan pengundi oleh SPR itu mengakibatkan 31 kerusi DUN di Johor mengalami pertambahan atau pengurangan bilangan pengundi dengan lapan kerusi mengalami perubahan melebihi lima peratus berbanding jumlah pengundi pada pilihan raya lalu.

Pada masa sama, ia menjejaskan enam kerusi yang dipegang oleh DAP sebelum ini, iaitu di kawasan Bentayan (penambahan 27 peratus), Jementah (penambahan enam peratus), Bekok (pengurangan 5.4 peratus), Penggaram (pengurangan satu peratus), Mengkibol (pengurangan 1.8 peratus) dan Pekan Nenas (pengurangan 2.9 peratus).

“DAP Johor telah mengatur pertemuan dengan Pengarah SPR Negeri Johor pada awal Ogos nanti untuk berbincang tentang perkara ini.

“Buat sementara waktu, kami minta SPR batalkan Warta Pembelahbahagian Daerah Mengundi yang berkuatkuasa pada 29 April lalu serta mengembalikan sempadan pilihan raya kepada sempadan asal seperti pilihan raya umum lepas,” tegas mereka. – Roketkini.com