Berita

Akaun palsu #respectmypm bukti Najib terdesak raih sokongan

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Kerajaan UMNO-BN yang ditadbir Datuk Seri Najib Razak seolah-olah kemaruk sokongan sehingga sanggup menggunakan gambar individu yang telah meninggal dunia untuk mencipta akaun laman sosial palsu bagi mengampu Perdana Menteri itu.

Kegiatan tidak bertanggungjawab berkenaan didedahkan portal berita tempatan semalam. Laporan itu mendakwa akaun Facebook tersebut digunakan untuk menulis kemaskini memuji pentadbiran Menteri Kewangan terbabit dengan hastag #RespectMyPM #BelieveinPM.

Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan, Young Syefura (Rara) berkata, tindakan seumpama itu tidak harus dipandang remeh kerana adalah menyalahi undang-undang sekiranya didapati ada pihak yang melakukan pencurian identiti untuk tujuan-tujuan tertentu.

“Malah, dari segi politiknya, ini adalah usaha terdesak Najib yang didakwa ramai pihak sebagai ‘Malaysian Official 1’ untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa beliau masih lagi disokong.

“Kempen dan modus operandi seperti ini hanyalah untuk mengaburi kita dan masyarakat dunia semata-mata,” katanya kepada Roketkini.com.

Hastag berbaur sokongan terhadap Najib itu timbul selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengeluarkan tuntutan mahkamah terhadap 1MDB ekoran penyelewengan dana. “Malaysia Official 1” antara individu yang terlibat dan dipercayai merujuk kepada Najib.

Dalam pada itu, Rara yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor berkata jika benar sokongan terhadap Najib begitu kuat, satu referendum nasional harus diadakan bagi membolehkan rakyat menzahirkan sokongan mereka.

“Jika tidak, ia hanya membuktikan bahawa sokongan yang ditunjukkan melalui akaun-akaun palsu berkenaan hanyalah propaganda murahan UMNO-BN untuk meraih sokongan terdesak,” katanya. – Roketkini.com