Berita

DAP hormat muafakat Pakatan, tiada pilihanraya awal di Pulau Pinang


GEORGE TOWN, 31 JULAI: DAP tidak akan meneruskan hasratnya untuk mengadakan pilihanraya mengejut di Pulau Pinang sebagai menghormati pendirian rakan Pakatan Harapan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata pilihanraya itu akan hanya diadakan jika ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan, iaitu DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) bersetuju dengannya.

“DAP berpegang kepada proses rundingan secara kolektif. Walaupun selama ini dikritik secara tidak adil, kami akan terus berpegang kepada prinsip amanah sebagai asas ke arah menjalinkan hubungan yang erat dengan rakan-rakan Pakatan yang lain.

“Tidak seperti BN yang kleptokrat, pemimpin DAP adalah demokrat yang berusaha untuk membina dan mengukuhkan kepercayaan bersama,” katanya dalam sidang media di Komtar, hari ini.

Beberapa hari lalu, PKR menyatakan bahawa parti itu belum cukup yakin dengan cadangan DAP untuk mengadakan pilihanraya negeri di Pulau Pinang.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, walaupun keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP), mereka akan tetap meneruskan perbincangan mengenainya dengan rakan-rakan Pakatan Harapan yang lain. – Roketkini.com