Berita

BN P. Pinang perlu capai konsensus sebelum acah usul tak percaya

GEORGE TOWN, 1 OGOS: Siapa yang lebih dominan dalam Barisan Nasional, setelah gesaan Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow supaya Adun-Adun UMNO mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Guan Eng ditolak mentah-mentah oleh UMNO?

“Teng Chang Yeow arahkan BN untuk buat undi tak percaya kepada saya. Tapi UMNO tak setuju,

“Jadi sekarang, siapa takut siapa?” soal Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa Pakatan Harapan akan menghadapi sebarang usul undi tidak percaya di sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sekiranya pembangkang di negeri yang ditadbir Pakatan itu bersedia mengemukakannya.

“Kami tak akan lari daripada undi tak percaya seperti yang berlaku di Parlimen.”

Namun kata beliau, BN mestilah terlebih dahulu memutuskan siapa yang memberi arahan, dalam koalisi pembangkang di negeri itu.

“Jangan Teng Chang Yeow cakap lain, UMNO cakap lain,” ujarnya.

Barisan Nasional malah dinasihatkan memastikan parti-parti di dalamnya mencapai kata sepakat terlebih dahulu sebelum cuba masuk campur dalam hal ehwal Pakatan Harapan berhubung pilihan raya negeri di Pulau Pinang,

Ini berikutan Parti Gerakan dan UMNO masing-masing memberi kenyataan berbeza tentang hubungan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menunjukkan bahawa mereka sukar mencapai konsensus.

“Gerakan kata DAP takut kepada PKR, sebab itu tidak teruskan cadangan untuk mengadakan pilihan raya negeri. Tetapi, UMNO pula menyatakan DAP yang mendominasi Pakatan Harapan, dan PKR takut kepada DAP, “ ujar Guan Eng lagi.

“Mereka berdua ini (Gerakan dan UMNO) tidak boleh capai konsensus. Saya harap mereka boleh putuskan siapa yang takut dan siapa yang ditakuti. Perkara begini pun tak dapat konsensus,” tempelak beliau yang juga Setiausaha Agung DAP.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong semalam yang menuduh DAP sebagai penakut kerana tidak meneruskan hasrat untuk mengadakan pilihan raya negeri setelah tidak mendapat persetujuan PKR.

Walhal perkara tersebut telah diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, bahawa cadangan untuk mengadakan pilihanraya awal di Pulau Pinang haruslah disepakati rakan-rakan Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR dan Amanah. – Roketkini.com