Berita

Krisis air 8 tahun di negeri kelahiran Perdana Menteri, salah siapa?

MENTAKAB, 1 OGOS: Bayangkan jika anda terpaksa berhadapan dengan kekerapan gangguan bekalan air yang berlanjutan selama lapan tahun, dan ada ketikanya pula bekalan air terputus sehingga berminggu-minggu lamanya.

Namun, inilah situasi yang terpaksa dihadapi ribuan penduduk sekitar daerah Temerloh dan Mentakab yang telah menjejaskan kehidupan seharian mereka selama ini khususnya di waktu puncak dan musim perayaan.

Apa yang lebih mengecewakan, pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) hanya menyediakan sekitar 20 buah tangki statik sahaja sekitar Mentakab bagi menampung keperluan ribuan pengguna yang terjejas.

Di sebalik segala kelemahan menangani masalah ini, timbul satu lagi persoalan; mengapa peruntukan sebanyak RM1.9 bilion untuk menaik taraf sistem bekalan air negeri ini masih gagal menyelesaikan masalah tersebut.

Malah, kata Adun DAP Mentakab Tengku Zulpuri Shah, pihak berkuasa sebaliknya memberikan alasan-alasan yang tidak munasabah dengan mengaitkan beberapa faktor luaran sebagai sebab utama bekalan air terjejas.

Antara alasan yang diberikan antaranya ialah akibat dari fenomena El Nino yang menyebabkan sungai cetek selain kecurian kabel atau penggunaan paip lama.

“Alasan sebegini hanyalah untuk menutup kelemahan Kerajaan Negeri Pahang serta Pengurusan PAIP Pahang. Di sini juga kita boleh lihat ketidakcekapan dasar pembangunan dan infrastruktur Pahang kerana telah gagal menyelesaikan masalah asas rakyat.

“Ia membuktikan bahawa kerajaan Pahang tidak menjalankan tanggungjawab dengan sempurna,” katanya kepada Roketkini.

Menurut Tengku Zul, perkara ini telah pun diadukan sejak Disember 2013 lagi malah telah disuarakan dalam Dewan Undangan Negeri sebelum ini.

“Masalah dasar sungai cetek, pembesaran loji dan pendalaman dasar sungai ini sudah saya adukan pada Disember 2013. Masalah ini berlaku sejak lama dahulu ketika Adun sebelum ini menjadi wakil rakyat,” jelas Tengku Zul.

Membangkitkan persoalan, Tengku Zul berkata jika projek menyedut pasir untuk jualan di Jerantut boleh dilaksanakan, mengapa projek mendalamkan dasar sungai di loji-loji bermasalah tidak dilakukan.

Untuk menyelesaikan masalah yang telah berpanjangan ini, beliau berkata dasar dan konsep perancangan bandar yang baik perlulah diaplikasikan secara menyeluruh bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang.

Justeru, beliau mencadangkan supaya pihak terbabit khususnya di peringkat Kerajaan Tempatan melantik wakil-wakil pembangkang untuk menganggotai Ahli Majlis Tempatan bagi memantau projek dan aktiviti jabatan-jabatan berkaitan.

“Keduanya saya cadangkan supaya dilantik Adun menjadi salah seorang ahli dalam pengurusan PAIP negeri.

“Dalam masa yang sama, pihak berkenaan perlu mencari sumber air yang lain bagi menyelesaikan kekurangan bekalan air pada masa yang sama menaiktaraf loji-loji rawatan air yang sering terganggu,” ujarnya.

Beliau berkata, krisis bekalan air yang melanda Mentakab dan beberapa kawasan sekitar ini akan terus dibangkitkan dalam Sidang DUN hadapan.

“Perdana Menteri juga perlulah prihatin terhadap masalah air yang sering berlaku di negeri kelahirannya sendiri,” tambah Tengku Zul lagi. – Roketkini.com