Berita

Rupa-rupanya rakyat bayar ‘cukai tersembunyi’ minyak diesel

JOHOR BAHRU, 1 OGOS: Sudahlah tidak diberikan sebarang subsidi, rupa-rupanya rakyat Malaysia terpaksa membayar ‘cukai tersembunyi’ kepada kerajaan apabila membeli minyak diesel pada bulan-bulan sebelum ini termasuk Julai lalu.

Mendedahkan perkara itu, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata apabila harga runcit diesel lebih tinggi daripada harga sebenar minyak mentah dunia, perbezaan harga itu akan menjadi pendapatan tambahan untuk kerajaan.

Oleh itu, beliau menggesa Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menjelaskan kepada rakyat sebab menaikkan harga minyak diesel sebanyak 10 sen kepada RM1.70 mulai hari ini, sedangkan harga diesel industri semasa hanya RM1.39 seliter

“Pada bulan lalu, harga purata diesel ialah RM1.60. Namun, diesel industri telah dijual pada harga RM1.45 seliter,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu, jika harga runcit diesel adalah berdasarkan harga purata bulanan minyak mentah dunia pada Julai lepas, harga diesel sepatutnya turun pada bulan Ogos.

“Tetapi, kerajaan UMNO-BN tidak pernah gagal untuk ‘memeranjatkan’ rakyat,” tegasnya.

Beliau menambah, kerajaan telah mengutip sebanyak RM937 juta dalam tempoh empat bulan pertama sejak sistem apungan terkawal dilaksanakan pada Disember 2014 seperti yang telah didedahkan dalam Parlimen pada 7 April tahun lalu.

Sehubungan itu, Nie Ching membangkitkan beberapa persoalan yang harus dijawab oleh kerajaan agar rakyat tidak tertipu dan terpaksa membayar ‘cukai tersembunyi’ tanpa pengetahuan mereka.

“Berapa banyak keuntungan yang telah diperolehi kerajaan sehingga ke hari ini?

“Kita juga perlu tahu, berapakah cukai tersembunyi yang telah dibayar oleh rakyat sejak sistem apungan terkawal itu dilaksanakan?” soalnya.

Subsidi untuk RON95 dan diesel telah dimansuhkan sejak 1 Disember 2014 akibat kejatuhan harga pasaran bahan api global. Kini, harga runcit petrol dan diesel adalah tetap mengikut sistem apungan terkawal yang berdasarkan harga purata bulanan minyak mentah dunia. – Roketkini.com