Rencana

Wahai Ketua SPRM baru, dengarlah suara rakyat

Semakin lama, rakyat semakin nampak permainan yang berlaku dalam kancah politik negara. Dua hari lalu, seorang pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Datuk Dzulkifli Ahmad pula dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru.

Rakyat kini risau kerana hubungan Dzulkifli dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali adalah seperti ‘aur dan tebing’ semasa membersihkan nama Perdana Menteri daripada skandal derma RM2.6 bilion ke akaun peribadinya sebelum ini. Mungkinkah harapan semua pihak agar SPRM akan membuka kembali kertas siasatan tentang skandal tersebut bakal hancur berkecai?

Jika itulah kenyataan pahit yang harus ditelan oleh kita semua, ini bermakna sampai bila-bila pun tidak akan ada penjelasan terperinci tentang skandal 1MDB itu. Pendedahan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) sebelum ini tidak akan memberi sebarang kesan kepada usaha membersihkan negara daripada budaya seleweng dan rasuah yang sedang memasyhurkan nama Malaysia di mata dunia.

Pelantikan Dzulkifli juga menimbulkan persoalan sama ada akan wujud konflik kepentingan kerana sebagai pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, tindakan dan keputusan beliau mungkin akan dipengaruhi oleh Apandi.

Dan jika melihat kepada reputasi Apandi di mata rakyat sebelum ini – berkeras mendakwa Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan semasa menerima RM2.6 bilion ke akaun peribadinya, beliau mungkin tidak akan duduk diam jika Dzulkifli cuba mengambil apa-apa langkah yang akan membawa Perdana Menteri ke muka pengadilan.

Namun, ada beberapa cara yang harus diambil oleh Dzulkifli bagi membuktikan kepada orang ramai beliau bukanlah se’busuk’ yang disangka.

Dzulkifli boleh membuka kembali kertas siasatan terhadap Perdana Menteri dan memberi penjelasan penuh, jelas serta benar kepada rakyat tentang isu wang derma tersebut, yang sekurang-kurangnya boleh dibanding dengan pendedahan panjang lebar dokumen saman DOJ.

Dan jika wujud sebarang keraguan ke atas betapa bersih dan suci murninya Perdana Menteri, Dzulkifli wajar mencadangkan supaya pihak Peguam Negara memulakan pendakwaan, supaya sebarang keraguan boleh dilunaskan melalui proses mahkamah.

Apa yang DOJ dedahkan telah membuktikan bahawa dakwaan Apandi kononnya derma itu berasal dari kerabat diraja Arab Saudi nampaknya sekadar kisah dongeng. Mana mungkin Eric Tan, seorang usahawan Cina Malaysia berketurunan Raja Arab Saudi. Budak enam tahun pun tahu perkara itu tidak masuk akal.

Oleh itu, semua mata kini tertumpu kepada Dzulkifli untuk memainkan peranan dalam menghilangkan daki-daki hitam berbau penyelewengan, penipuan dan rasuah dalam sistem pemerintahan negara.

Dzulkifli perlu tahu, jika beliau tidak berjaya melakukan perkara itu, beliau akan turut dipandang sama sebiji seperti Najib dan penyokong-penyokong kuatnya. Dan wajahnya akan terpampang di media sosial – diejek dan dikutuk sebagai seorang lagi badut yang hanya dilantik untuk mengukuhkan kekuasaan Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Maka sedikit nasihat dari seorang rakyat Malaysia tanpa kuasa kepada Dzulkifli, peganglah amanat bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Shukri Abdull seerat-eratnya. Janganlah utamakan kepentingan diri dan kroni, tetapi lakukan perkara yang betul untuk memulihkan kembali integriti sistem pemerintahan negara.

Kembalikanlah keyakinan rakyat bahawa SPRM adalah satu agensi yang bebas dari telunjuk orang atas. SPRM bukanlah tempat untuk pegawai-pegawai yang kecut, gentar dan penakut. – Roketkini.com