Rencana

United Macai National Organisation?

Khairy Jamaluddin telah mengambil masa yang terlalu lama untuk menyatakan pendiriannya berhubung tuduhan bertalu-talu terhadap Presiden partinya, yang dikhabarkan sedang gigih menepis asakan dari segenap sisi, ekoran dakwaan bahawa beliau lah ‘Malaysian Official 1’ yang disebutkan dalam dokumen saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika.

Dokumen tersebut menamakan beberapa individu yang didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram, di negera asal Selena Gomez itu. Dana yang terlibat itu pula terkait langsung dengan syarikat bermasalah milik penuh Kementerian Kewangan Malaysia, 1MDB.

Wang terkait 1MDB, didakwa telah dibelanjakan untuk membeli hartanah mewah sekitar Amerika, selain jet peribadi, lukisan mahal malah digunakan untuk melunaskan hutang judi. Watak ‘Malaysian Official 1’ disebut dokumen Jabatan Kehakiman Amerika sebagai individu berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia, mempunyai pengaruh besar dalam 1MDB dan juga punya pertalian darah dengan anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz yang terlibat langsung dalam pembikinan filem Wolf Of Wall Street, lakonan Leonardo Dicaprio.

Kesemua tuduhan dan dakwaan yang melintas di hadapan hidung Perdana Menteri itu sedang gigih ditangkis, malah ada pula yang terlebih gigih bertindak membuat laporan polis terhadap tiga individu yang awalnya bertanggungjawab menyiasat dakwaan aliran wang tunai berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, setelah didedahkan media tahun lalu.

Laporan polis oleh timbalan kepada Khairy Jamaluddin itu akhirnya dibakulsampahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, kerana kata beliau, laporan tersebut dibuat berasaskan andaian semata-mata.

Timbalan Khairy Jamaluddin telah membuat laporan terhadap tiga Tan Sri, Abdul Gani Patail (bekas Peguam Negara), Zeti Akhtar Aziz (bekas Gabenor Bank Negara) dan Abu Kassim Mohamad (bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Ketiga-tiga Tan Sri ini telah pun diganti dengan muka-muka baru yang dipercayai memihak kepada Perdana Menteri belaka.

Ketika laporan polis tersebut dibuat, Ketua Pemuda Umno tidak pula menasihatkan timbalannya supaya berhenti daripada mengambil langkah bodoh terbabit. Malah ada yang menyangka bahawa laporan polis itu dibuat pun, hasil daripada suruhan Ketua Pemuda Umno, merangkap Ahli Parlimen Rembau, merangkap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Laporan polis itu dibuat sekitar satu minggu selepas Jabatan Kehakiman Amerika mengadakan sidang akhbar mengenai tindakan yang diambil bagi menyita aset-aset terkait dakwaan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB.

Satu minggu kemudian ketika Ketua Polis Negara di ambang membakulsampahkan laporan Pemuda Umno, Khairy Muncul mendabik dada penuh bangga, mengakui bahawa ya, benarlah dia dan seluruh angkatan juak-juaknya adalah macai dan balaci yang bertanggungjawab untuk mempertahankan Presiden Umno sehingga ke akhirnya.

Sekurang-kurangnya, Khairy telah memberi isyarat bahawa episod komedi PWTC ini sebenarnya ada penghujung. Cuma kita tak tahu bagaimana episod finale-nya itu.

Apa pun, Khairy telah mengambil masa yang cukup lama untuk mengaku bahawa dia seorang macai dan balaci Najib Razak. Hampir sama seperti lamanya waktu yang diambil untuk menjawab soalan sama ada beliau ‘Malaysian first, atau Malay first’ beberapa tahun lalu.

Khairy mengambil masa yang begitu lama untuk membuat keputusan, setelah berdiam diri dan memeriksa keadaan, kerana beliau bukannya macam orang Umno yang lain. Lulusan Oxford mestilah mengambil langkah bersukat, agar survival politiknya dalam Umno pada masa akan datang tidak tergugat.

Namun silapnya Khairy ialah beliau lupa untuk mengeluarkan Umno daripada perhitungan politiknya. Maka Khairy kekal dalam kelompok sayap kanan yang menganjurkan kelangsungan slogan ‘Hidup Melayu’ meski berbuih mulut menjaja pembawakan progresifnya dengan batik jawa dan jeans ketat.

Pemuda Umno di zaman Khairy Jamaluddin adalah angkatan pemuda yang membawa aib kepada Umno 50 tahun lalu. Tidak kritis, tidak punya prinsip, malah bangga pula mahu dilabel macai dan balaci.

Ini apa punya Ketua Pemuda?

Sepatutnya Ketua Pemuda Umno lebih berani mendesak pengunduran seorang presiden yang telah membawa partinya ke tahap paling jijik dalam sejarah negara. Sehingga disiasat pihak berkuasa asing kerana bukan sahaja didakwa menerima wang berbilion ke akaun peribadinya, malah berbohong pula tentang siapa yang memberikan derma itu, dan kemudian mengembalikan pula sebahagian besar daripada jumlah dermanya.

Patut suruh letak jawatan, dan suruh menyorok dalam kelambu. Bikin malu. – Roketkini.com