Budaya

Apa benda ‘Filem Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia’?

Barangkali ‘Filem Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia’ itu adalah filem ‘Di Luar Bahasa Malaysia’. Barangkali lah. Mungkin orang yang mengendali Festival Filem Malaysia tidak mahir tatabahasa. Atau mungkin sengaja mahu cari publisiti untuk acara yang tidak dipeduli orang.

Imbuhan ‘di’ dijarakkan apabila tidak digunakan bersama kata kerja, dan berfungsi untuk menunjuk kepada tempat, jarak dan masa. Maksudnya, kalau kita tulis ‘di dalam’ maka haruslah ada tempat, jarak dan masa yang dirujuk. Kalau saya perlu jelaskan lagi bab ini, maka sia-sialah kalian ke sekolah selama 12 tahun.

Tetapi itu bukan soalnya sekarang. Apa yang lebih penting ialah persoalan pengasingan karya-karya mengikut bahasa dalam acara yang sepatutnya meraikan hasil karya nasional. Kenapa perlu diasing-asing? Adakah hasil karya yang tidak dibikin dalam Bahasa Malaysia bertaraf lebih rendah berbanding hasil karya dalam Bahasa Malaysia?

Ini persoalan yang wajar kita bahaskan, dalam rangka besar membina sebuah negara bangsa yang terbentuk daripada autonom-autonom budaya yang begitu majmuk dan pelbagai.

Apatah lagi menuju perayaan Hari Merdeka ke-59, kurang satu bulan sahaja lagi. Adakah setelah hampir 60 tahun terbebas daripada penjajahan orang putih, kita masih lagi terkial-kial mencari jati diri bangsa yang satu, tanpa membeza-bezakan antara keturunan dan budaya?

Persoalan karya bersifat Malaysia telah dibahaskan seawal tahun 1968, dalam debat kebudayaan antara DAP dan Parti Gerakan.

Ya, DAP terlibat dalam perdebatan budaya seawal tiga tahun usia partinya. Ia diwakili Saudara Lim Kit Siang, manakala Gerakan diwakili Profesor Syed Naguib Al-Attas. Ketika itu, Gerakan belum ada watak-watak kelakar seperti Tan Keng Liang.

Bagi Kit Siang, apa sahaja karya yang bercerita tentang Malaysia, adalah karya Malaysia. Tidak kira lah bahasa apa pun yang menjadi medium penyampai.

Ucapan Kit Siang antara lain menyebut, kesusasteraan Malaysia tidak boleh terhad kepada hasil karya satu bahasa. Ini kerana Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum, budaya dan bahasa.

Bagi beliau, kesusasteraan Malaysia mesti mengambil kira kesemua hasil karya, baik tulisan, drama, novel, cerpen atau pementasan yang dihasilkan rakyat negara ini. Kerana karya-karya tersebut adalah berkait Malaysia, secara emosional, identiti dan konteks sosial. Tidak kira lah ia ditulis dalam bahasa apa pun.

Itu hujah Kit Siang pada 24 November 1968. Namun pada Ogos 2016, kita masih lagi meraba dalam gelap, mencari tafsiran apa yang Malaysia, dengan mengutamakan seseuatu segmen masyarakat sambil mengesampingkan segmen-segmen yang lain.

Demokrasi tidak terhad kepada proses memilih wakil rakyat lima tahun sekali. Demokrasi malah meletakkan kuasa kepada rakyat, untuk menentukan cara, apa dan bagaimana mereka hidup sehari-hari, termasuklah dalam soal seni budaya, yang saling bersilang dan berbaur membentuk identiti masyarakat yang tidak kedapatan di ceruk rantau lain.

Daulah yang gagal ialah daulah yang terpecah-pecah, daripada sebesar-besar perkara melibatkan dasar-dasar ekoposial, sehinggalah ke sekecil-kecil perkara, seperti soal pencalonan anugerah filem, hanya kerana sistem sedia ada mengutamakan suatu kelompok, berbanding kelompok yang lain.

Cuba kalau nanti, karyawan Malaysia menghasilkan filem yang bagus, seluruhnya dalam bahasa Iban, lalu menang di festival-festival filem antarabangsa.

Sudahnya di negara sendiri, tewas atau lebih teruk tidak boleh duduk sebaris dengan karya ‘Di Dalam Bahasa Malaysia’ dengan tajuk-tajuk aneh, seperti ‘Suamiku Ustaz Rempit Kimchi’ atau yang sewaktu dengannya.

Apalah malang bangsa ini satu hari nanti. – Roketkini.com