Rencana

Tekanan ekonomi dan sosial faktor putus kasih sayang

Oxytoksin atau lebih dikenali sebagai ‘hormon kasih sayang’ ialah sejenis hormon yang boleh didapati di dalam mana-mana mamalia sebagai ‘neurontransmitter,’ kimia penghantar pesanan di dalam otak, yang dirembeskan oleh gelenjar pituitari di belakang otak mamalia.

Hormon ini mempunyai penglibatan besar di dalam pembentukan perilaku, kepercayaan dan perhubungan sesama manusia dengan manusia yang lain tanpa mengira peringkat umur, perbezaan jantina, berlainan warna kulit dan sebagainya.

Ia memainkan peranan yang penting dalam kelangsungan pembiakan umat manusia yang sihat dari sudut psikologikal dan patologikal seperti hubungan ibu bapa dengan anak, bermasyarakat dan berkeluarga, aktiviti seksual, kawalan tekanan perasaan secara semula jadi, penghasilan susu badan dan pelbagai lagi.

Ia selalunya dirembes apabila berlakukanya sentuhan kulit, perhubungan verbal sesama manusia, aktiviti-aktiviti berkumpul dan juga bermain dengan haiwan peliharaan.

Kewujudan hormon kasih sayang ini amatlah penting bagi para manusia di dalam membentuk individu yang mempunyai kesihatan mental dan perilaku yang sihat kerana darinya berlakunya penghasilan keupayaan berinteraksi secara baik dan menjalinkan hubungan yang selamat dari konflik.

Kewujudan hormon ini mengakibatkan mana-mana individu cenderung untuk memilih hubungan berpasangan yang monogomi berbanding dengan mereka yang kekurangan hormon ini di dalam tubuh mereka. Malahan ia memberi kesan kepada pembinaan personaliti anak-anak kecil yang menjadi lebih yakin dengan diri dan luhur ketika dewasa kelak.

Walaubagaimanapun, aktiviti berkasih sayang semakin berkurangan di dalam masyarakat kita dengan melihat kepada kewujudan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang semakin meningkat; tidak termasuk yang tidak dilaporkan dan kanak-kanak yang dimasukkan ke dalam institusi.

Hormon ini semestinya sudah terdapat secara smula jadi di dalam tubuh manusia sejak dilahirkan lagi tetapi keperluan asas beremosi ini semakin ditolak ke tepi. Berkasih sayang adalah penting di dalam membentuk manusia yang mampu merasa empati, menerima kasih sayang dari manusia lain, keikhlasan, ketakutan, menolak ketidakadilan dan rasa bersalah.

Kekurangan oxytoksin di dalam badan manusia mengakibatkan mana-mana individu yang merana untuk berani menyakiti orang lain secara ekonomi, emosional, dan fizikal kerana hilangnya sensitiviti di dalam otak bagi menilai perbuatan ketidakadilan mereka kepada ahli masyarakat yang lain. Sekaligus ini meningkatkan kadar konflik kemanusian dan jenayah di negara kita membuktikan tiada lagi rasa takut atau bersalah meragut kebebasan atau mencederakan orang lain tanpa belas kasihan.

Rata-rata kini telah didapati peningkatan kes ramai golongan belia yang semakin cenderung untuk membunuh diri kerana kemurungan dan kebimbangan akibat daripada tekanan ekonomi dan sosial negara. Kes pembulian bukan sahaja terdapat di dunia realiti, bahkan di alam maya juga sehinggakan menjadi pesta untuk menindas orang lain secara emosional sedangkan terdapat banyak lagi perkara yang berfaedah untuk dilakukan.

Kewujudan beberapa warga masyarakat yang berinteraksi dengan kasar begitu cenderung mencederakan ahli masyarakat yang lain dengan mencabul kehormatan tanpa segan silu. Lantas perilaku ini diikuti tanpa sedar dan berlakunya ombak pembudayaan suatu norma yang tidak sihat sama sekali.

Kegagalan untuk berkasih sayang di dalam masyarakat ini telah merencat rembesan Oxytoksin sesama kita sendiri yang kononnya sebuah negara yang bersatu padu dan berbilang bangsa; justeru berlakunya pembiakan perasaan prejudis dan kebencian di antara satu sama lain walaupun tidak kenal mengenali.

Kekurangan oxytoksin boleh juga mewujudkan perilaku sampingan seperti berdendam, panas baran, keengganan bertanggungjawab, dan ketagihan bahan. Kitaran yang ringkas dapat dijelaskan dengan melihat kadar kes penceraian yang melibatkan pasangan yang keduanya berlatar belakangkan sebagai mangsa pengabaian keperluan emosi kanak-kanak dan dibesarkan di dalam keluarga yang mementingkan pencapaian akademik tetapi ibu bapa sering tiada di rumah kerana bekerja lebih 8 jam sehari.

Kedua dewasa ini dibesarkan dengan jurang berkasih sayang yang besar di antara mereka dengan ibu bapa kandung lalu mengurangkan ransangan kognitif, kemampuan berfikir, pada otak dan membentuk perilaku kesukaran untuk memberi komitmen yang baik selain bekerja. Mereka juga cenderung melakukan pengabaian kepada anak-anak mereka kerana menerap pengalaman ketika mereka masih kecil tanpa menimbal balik.

Gangguan emosi mengakibatkan pasangan sukar untuk membawa tanggungjawab berkeluarga dengan baik dan bergaduh akibat salah faham tanpa solusi selain penceraian.

Mengikut Dr. Gabor Mate’ , seorang doktor dan pakar di dalam isu ketagihan, mana-mana dewasa yang pernah berdepan penolakan, pengabaian dan penderaan ketika masih kecil sangat cenderung untuk ketagihan kerana mereka melalui kehidupan seharian dengan membawa kesakitan emosi yang lampau; ditambah lagi dengan stress baru yang berkunjung di hari baru.

Kesan trauma boleh berterusan sehingga ke dewasa kerana malu untuk berbincang, takut disisih jika membuka mulut atau tidak diterima oleh masyarakat kita yang semakin individualistik. Dengan ketagihan sebarang aktiviti, individu-individu ini boleh berlakon melalui kehidupan seharian dengan normal walaupun terdapat beberapa jenis ketagihan yang boleh meragut nyawa kerana kesan kesihatan sampingan.

Menurutnya juga, ketagihan bukanlah setakat arak dan bahan halusiongen, bahkan sikap seperti berselfie berlebihan, keinginan seks yang tinggi, membeli belah secara melampau, menonton porno, perebutan kuasa atau pangkat tanpa batasan, dan sebagainya.

Selain itu, menurutnya juga, dengan rawatan yang penuh hikmah dan kasih sayang sangatlah membantu di dalam proses pemulihan biarpun memakan masa. Anak-anak yang trauma boleh dipintas ransangan kognitif mereka sebelum dewasa untuk membentuk perilaku yang jati dan luhur.

Lebih menarik lagi, ‘ubat’ kesihatan mental ini adalah percuma kerana sudah ada gelenjar di dalam tubuh badan kita sendiri dan hanya menanti untuk diaktifkan sahaja.
Jenayah rogol semakin berleluasa di negara ini menunjukkan betapa tidak berkesannya hukuman undang-undang yang dikenakan kepada perogol; dan mangsa rogol pula dihantui dengan stigma masyarakat kerana tidak membela diri.

Bahkan terdapat pesalah yang tidak menyedari mereka sedang melakukan jenayah berkenaan seperti contoh seorang suami yang tidak meminta kebenaran daripada isterinya untuk melakukan hubungan seks dan memaksa diri ke atas si isteri yang sedang dalam keadaan penat atau mamai.

Pesalah tidak menyedari bahawa perbuatan mereka mencederakan mental mangsa, merendahkan kadar oxytocin dan membuat mangsa mengalami trauma apabila seks dilakukan tanpa kebenaran yang tulen! Apakah itu ‘pasangan bercinta’ jika salah seorang daripada mereka dipaksa untuk melakukan seks ketika tiada punya keinginan?

Oxytocin tidak akan tercetus apabila berlakunya rogol, sebaliknya mangsa akan hilang kepercayaan kepada manusia keliling dan rasa tidak selamat lagi dengan sesiapa. Mangsa bukan memerlukan penghinaan dan isolasi, sebaliknya kasih sayang untuk memulihkan kembali diri daripada trauma.

Di dalam keadaan negara yang semakin parah dari sudut ekonomi dan kesihatan mental masyarakatnya, adalah sangat wajar untuk kita kembali melihat apakah yang sebenarnya hilang dari diri kita sendiri daripada dibelenggu ketakutan dan syak wasangka.

Kadar jenayah, sakit mental dan kematian bunuh diri yang semakin meningkat ialah suatu amaran kepada kita semua betapa kita sebenarnya semakin hilang sifat kemanusiaan. Maka, sama-samalah kita merenung apakah langkah seterusnya yang wajar kita ambil sebelum negara menjadi tidak selamat walaupun keluar di siang hari.

 

*Penulis merupakan graduan undang-undang UiTM, kini sepenuh masa menjadi penggerak ruang kreatif.