Berita

‘Gelombang Shafie’ mula lumpuhkan UMNO Sabah

KOTA KINABALU, 9 OGOS: Gelombang berterusan pembubaran cawangan-cawangan UMNO di Sabah selepas Datuk Seri Shafie Apdal meletakkan jawatannya daripada parti tersebut dijangka bakal melakar sejarah perubahan buat negara.

chanFHKehangatan suasana politik di negeri itu kian terasa setelah semakin ramai ahli-ahli Umno dilaporkan meninggalkan parti tersebut dan menyatakan sokongan kepada Shafie yang lantang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

‘Gelombang Shafie’ itu turut memberi kesan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sabah khususnya dari UMNO apabila Adun Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong meninggalkan parti lamanya dan kini duduk dalam blok pembangkang.

Pengarah Pilihanraya DAP Sabah Chan Foong Hin ketika dihubungi Roketkini, berkata kesudian Jaujan meninggalkan Umno dan bersama pembangkang merupakan satu titik permulaan perubahan politik Sabah.

“Walaupun buat masa ini beliau dan Datuk Seri Shafie Apdal tiada platform politik, namun mesej yang dibawa mereka kini cukup jelas, iaitu ‘Ubah Sabah’,” katanya.

Adun Sri Tanjong itu menjelaskan melalui program berterusan Shafie mengadakan jelajah menjelaskan isu-isu semasa kepada rakyat Sabah, ia akan mampu memberikan impak yang lebih tinggi kepada rakyat Sabah khususnya di kawasan-kawasan kubu kuat UMNO sebelum ini.

“Dalam pilihanraya umum lalu, pakatan pembangkang tidak dapat menembusi kubu kuat UMNO terutamanya di kawasan Pantai Timur Sabah dan kita cuma boleh menang satu DUN iaitu di Sri Tanjong dan satu lagi bagi Parlimen Sandakan,

“Kita perlukan agen perubahan yang membawa momentum baharu di kawasan-kawasan ini dan keberadaan gerakan Shafie melakukan jelajah memang tepat pada masanya,” ujar beliau. – Roketkini.com