Rencana

FFM: Rendahkah martabat filem bahasa kebangsaan?

Dalam sebuah pertandingan larian, dengan lima orang peserta, tiga daripadanya sempurna tubuh badan, namun dua orang lagi mempunyai kecacatan. Bagi menjadikan pertandingan ini adil, peserta yang cacat itu perlu diberi keistimewaan supaya ia boleh setanding dengan peserta lain yang sempurna, samada dua peserta itu perlu diletakkan di depan, atau dibuatkan satu kategori dan anugerah baru iaitu Juara Kategori Sempurna dan Juara Kategori Orang Kelainan Upaya. Ini bagi memastikan kekurangan yang dimiliki dua peserta tadi tidak menjadi sebab kekalahan mereka dan mewujudkan keadilan dalam permainan.

Konsep ini telah diterangkan oleh Almarhum Tun Dr Ismail ketika mengulas mengenai hak dan keistimewaan orang Melayu, yang dicatat dalam memoir kisah hidupnya berjudul The Reluctant Politician: Tun Dr Ismail pada halaman 217. Beliau menggambarkan hak dan keistimewaan yang diterima orang Melayu dan Bumiputera dalam Perlembagaan sebagai suatu handicap atau tahap kemahiran dalam permainan golf, supaya orang yang tahap permainannya rendah dapat berada di posisi yang membolehkan dia bermain dengan mereka yang berada di tahap yang lebih tinggi dengan adil.

Keistimewaan ini juga disebut oleh Tun Dr Ismail sebagai satu penghinaan sebenarnya kepada kebolehan orang Melayu dan hanya boleh digunakan untuk jangka masa sementara supaya mereka dapat bersaing dan meningkatkan kemahiran mereka, dan berdiri setanding dengan bangsa lain. Ia bukanlah untuk mereka mengekalkan keistimewaan ini selamanya, tetapi supaya dengan keistimewaan ini mereka dapat menambahbaik kehidupan mereka sehingga mampu setaraf dengan bangsa lain. Ini diulas dalam buku berjudul Drifting into Politics, The Unfinished Memoirs of Tun Dr Ismail Abd Rahman pada halaman 57.

Cubaan mewujudkan dua kategori Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia (FFM), iaitu kategori Anugerah Filem Terbaik Bukan Bahasa Malaysia dan Anugerah Filem Terbaik sebenarnya bolehlah diklasifikasikan sebagai satu kaedah yang sama digunakan dalam pertandingan larian tadi, dan kaedah handicap seperti yang digambarkan Tun Dr Ismail mengenai hak dan keistimewaan Melayu dan Bumiputera.

Bermula dengan polemik yang dicetuskan apabila filem Sepet arahan Yasmin Ahmad, yang memenangi Anugerah Filem Terbaik FFM ke-18 dipertikaikan kemenangannya kerana tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, malah mencampur adukkan pelbagai bahasa termasuk bahasa Cina dan bahasa Inggeris, kemudian pada FFM ke-27 Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) memperkenalkan pula pengasingan dua kategori dalam FFM, iaitu Filem Terbaik dan Filem Terbaik Bukan Bahasa Malaysia.

Konsep dua kategori ini diteruskan lagi pada FFM ke-28 tahun ini, dengan ditambah dua lagi anugerah baru iaitu Pengarah Terbaik Filem Bukan Bahasa Malaysia dan Lakon Layar Terbaik Filem Bukan Bahasa Malaysia.

Wujud persoalan di benak minda kita, mengapa perlu diasingkan Filem Bahasa Malaysia dan Bukan Bahasa Malaysia? Alasan yang diberikan Datuk Yusof Haslam, Presiden PFM adalah untuk mempertahankan identiti bahasa kebangsaan. Jika ingin mempertahankan identiti bahasa kebangsaan dalam filem kita, mengapa perlu sehingga diasingkan keduanya?

Adakah Datuk Yusof Haslam dan PFM tidak yakin filem berbahasa Malaysia mampu bersaing dan tidak cukup hebat, sehingga perlu diasingkan kategori supaya filem ini menang mudah tanpa saingan dari filem yang bukan berbahasa Malaysia? Adakah mereka melihat filem berbahasa Malaysia ini takkan pernah menang dengan filem bukan berbahasa Malaysia selagi mereka dibenarkan bertanding atas padang yang sama rata? Begitu rendahkah martabat filem berbahasa kebangsaan kita di mata mereka?

Dalam tidak sedar, pengasingan kategori ini menjadikan pengarah dan penerbit filem berbahasa Malaysia playsafe dan berada dalam zon selesa. Ini kerana mereka hanya akan bertanding sesama mereka dan tidak menghadapi saingan yang hebat kerana tahap kesemua mereka lebih kurang sama.

Sedangkan pengarah dan penerbit filem bukan berbahasa Malaysia terpaksa berusaha lebih keras, mencurahkan segala idea dan kreativiti dalam filem mereka, kerana mereka tahu padang yang mereka bermain tidak sama rata. Oleh itu tidak hairanlah kebanyakan filem yang bukan berbahasa Malaysia ternyata mempunyai mutu yang lebih baik dan berkualiti serta banyak menempah nama di persada antarabangsa. Filem The Journey, Jagat dan Ola Bola yang bukan berbahasa Malaysia ternyata jauh lebih hebat meninggalkan filem-filem berbahasa Malaysia seperti Mat Moto dan Polis Evo, namun mereka tetap tidak dapat diiktiraf sebagai Filem Terbaik Malaysia atas pengklasifikasian yang tidak adil oleh PFM.

Ironinya, dalam alasan mempertahankan identiti bahasa kebangsaan, kesemua filem yang dicalonkan dalam Anugerah Filem Terbaik Bahasa Malaysia tidaklah menggunakan bahasa Malaysia baku. Filem Polis Evo, Nota, Munafik, Jejak Warriors dan Mat Moto masih mengandungi bahasa rojak dan bahasa pasar dalam skrip filem, malah ada diantara penggunaan istilah bahasa yang disebut tidak tepat sama sekali dan salah dari segi tatabahasa. Inilah masalah sebenar yang merendahkan martabat bahasa kebangsaan.

Sekiranya PFM benar-benar ingin mempertahankan bahasa kebangsaan, perkenalkan kategori Skrip Filem Bahasa Kebangsaan Terbaik, atau jadikan unsur Bahasa sebagai pemberat dalam pemarkahan filem terbaik. Maka, pengarah dan penerbit filem berbahasa Malaysia akan lebih menekankan aspek penggunaan bahasa kebangsaan dengan baku dan betul dalam pembikinan filem. Ternyata ia lebih berkesan dalam mempertahankan identiti bahasa kebangsaan.

Saya yakin bahawa filem berbahasa Malaysia kita sudah boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan filem bukan berbahasa Malaysia. Jangan dihina dan direndahkan martabat filem bahasa kebangsaan kita dengan mengasingkan ia. Beri peluang mereka bersaing dengan filem lain.

Persaingan ini akan membina percambahan idea dan kreativiti mereka serta membuka peluang kepada mereka melakukan penambahbaikan. Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca suatu ketika dahulu, dan ditutur hingga ke Asia Barat dan Eropah. Adakah hanya kerana bahasa Cina dan India yang juga merupakan bahasa identiti kaum di Malaysia boleh memberi saingan hebat maka terpaksa asingkan kategori demi mempertahankan identiti bahasa Melayu? – Roketkini.com

*Nazrul Nazir adalah alumni Sekolah Demokrasi