Berita

Kalaulah Anwar jadi Perdana Menteri, Malaysia tidak akan jadi negara gagal

SUNGAI BULOH, 11 OGOS: Rakyat Malaysia perlu terus mendesak pembebasan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menjayakan agenda reformasi ke seluruh negara.

Dalam masa yang sama, rakyat perlu terus berjuang bersama agenda untuk menyelamatkan Malaysia daripada rasuah, salah guna kuasa, pencabulan hak asasi manusia dan ketidakadilan yang berlaku dalam politik, ekonomi dan pembinaan negara.

Bercakap dalam sambutan ulangtahun ke-69 tokoh reformasi itu di Perkarangan Penjara Sungai Buloh malam tadi, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, berkata Malaysia tidak akan menuju ke arah negara gagal seperti sekarang sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri selepas Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu.

anwar3“Jika Anwar menjadi Perdana Menteri pada 2013 lalu, Malaysia tidak akan terjebak dalam skandal 1MDB, tidak aka nada saman dari Jabatan Kehakiman (DOJ) yang mencemarkan reputasi negara dan kita tidak akan dilabel sebagai negara kleptokrasi,” ujarnya di hadapan ratusan hadirin.


Ahli Parlimen Gelang Patah itu mengingatkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja perlu diturunkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 malah perlu melakukan reformasi menyeluruh terhadap sistem politik, ekonomi dan pembinaan negara yang tercemar.

“Sabtu lalu Najib mempersoalkan siapa kata Malaysia akan menjadi negara yang gagal di bawahnya.

 

“Soalan ini telahpun dijawab bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam dalam pelancaran bukunya “Frankly Speaking” yang memberi amaran bahawa Malaysia sedang menuju kegagalan dan mungkin boleh berakhir seperti Filipina suatu ketika dahulu,” jelas beliau.

Presiden PKR Datuk Ser Dr Wan Azizah Ismail dalam ucapannya pula menyeru supaya rakyat tidak berputus asa untuk memperjuangkan perubahan yang tercetus sejak pemecatan Anwar pada tahun 1998.anwar2

Beliau menegaskan usaha untuk menyelamatkan Malaysia daripada pemimpin rasuah perlu secara menyeluruh dan berterusan.

“Kalau kita tidak ubah sistem, sistem itu akan rosak dan akan terus merosakkan.

“Apa yang Anwar pesan kepada saya, jangan putus asa. Terus istiqamah. Hanya yang tidak percaya pasa Allah sahaja akan putus asa.

“Pada satu masa rakyat akan sedar, kalau kita tidak ubah, nasib kita akan terus begitu. Kita perlu fikir masa depan anak cucu kita. Ini adalah negara kita mana kita nak pergi?” soalnya.

Antara pimpinan Pakatan Harapan dan NGO yang turut hadir memberi solidariti dan berucap Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil dan ramai lagi. Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said juga hadir mendeklamasikan sajak. – Roketkini.com