Rencana

Pokemon Go: Fantasi atau realiti?

Baru-baru ini muncul entiti baru yang hidup bersama manusia di bumi ini. Mereka hanya boleh dilihat melalui kaca telefon pintar dan setelah berjaya muat turun aplikasi bernama Pokemon Go.

Kita sedang melihat satu trend baru di dunia ini di mana impian-impian kanak-kanak 90-an kini menjadi kenyataan. Tak kira usia, semua orang berpeluang menjadi seorang “Pokemon Master”.

Cerita Pokemon dalam versi anime (terma untuk kartun animasi Jepun) bermula dengan watak Ash Ketchum dari Pekan Pallet. Beliau dengan kawan baiknya Pikachu (sejenis pokemon dari spesies tikus yang mampu mengeluarkan elektrik di pipinya) mengembara seluruh dunia untuk mencari dan melatih pokemon dengan harapan dapat menawan liga pokemon iaitu pertandingan mencari pelatih pokemon terbaik di dunia.

Kini setiap orang di jalan raya mampu mengejar impian yang sama seperti Ash Ketchum. Perkembangan teknologi telah menjadikan fantasi kanak-kanak 90-an menjadi kenyataan tetapi adakah ini akan menyebabkan mereka semua tidak tahu membezakan antara fantasi dan kenyataan ?

Saya sedang menjalani latihan dalam kamar untuk sembilan bulan di Pulau Pinang dengan harapan saya boleh dimasuk dan didaftarkan sebagai seorang peguam Mahkamah Tinggi Malaya pada awal tahun depan. Setiap hari saya akan mencari alasan untuk keluar bersenam sekitar Pulau Pinang dengan aplikasi Pokemon Go ini. Sambil menyelam minum air kata orang Melayu. Saya menjadikan permainan ini sebagai alat motivasi untuk keluar bersenam sambil bergerak meliputi jarak 5km sehari untuk menetas ‘telur Pokemon’ saya. Walau bagaimanapun, saya tetap membezakan realiti dengan fantasi.

Bulan Ogos adalah ulang tahun pertama saya dibebaskan di lokap Jinjang setelah saya dan rakan-rakan dalam kumpulan anak muda Demi Malaysia menganjurkan demonstrasi #TangkapNajib pada 1 Ogos 2015. Saya bermalam tiga hari dan dua malam di lokap Jinjang. Penahanan saya di sana memberi peluang untuk saya melihat perkara di dunia ini dari perspektif baru. Setelah pembebasan saya dari Jinjang saya pun memulakan sebuah perjalanan mencari maksud baru dalam hidup.

Saya keluar menikmati perkara-perkara yang kecil di mana seseorang lazimnya menemui dalam hidup. Sebagai contoh makan makanan yang sedap, berjoging di Universiti Malaya, bermain bola sepak dengan kawan-kawan sekolah mahupun menikmati permainan video.

Saya masih ingat selepas dibebaskan saya keluar berjoging di Universiti Malaya dan sambil berlari saya pun tersenyum dan gelak seorang diri. Dalam otak saya, saya fikir betapa senangnya kebebasan seseorang dirampas dan betapa indah perbuatan yang kecil dan remeh temeh seperti berlari atau bersukan menjadi sesuatu yang amat berharga.

Pada saat-saat inilah yang membuatkan kita teringat dengan individu-individu seperti Anwar Ibrahim, mendiang Karpal Singh, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng (yang mungkin bakal kehilangan kebebasannya). Pengalaman saya di Jinjang telah memberikan nafas baru kepada saya serta keberanian untuk melakukan perkara-perkara baru.

Maka saya pun mengambil inisiatif melaksanakan pelbagai projek semasa semester terakhir saya di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya di antaranya ialah #ProjectFootballRakyat yang membuka platform kepada individu-individu dari pelbagai latar belakang datang bersama tak kira ideologi politik, agama, kaum dan kelas untuk bermain bola sepak serta menghantar mesej berunsur perpaduan. Kini projek tersebut mempunyai ahli DAP, ahli Gerakan, peguam-peguam dari Majlis Peguam, mahasiswa dan aktivis-aktivis masyarakat sivil.

Kita kembali pula kepada realiti hidup masa ini. Pulau Pinang yang ditadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan menyediakan bas percuma di sekitar Georgetown yang bernama CAT bus dan juga wifi percuma yang bernama Penang Free Wifi. Saya mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi perkhidmatan ini untuk penjelajahan pokemon go saya.

Bas percuma tersebut membawa kita sekitar kawasan warisan Georgetown yang juga mempunyai banyak Pokestop. Anda hanya perlu menaiki bas tersebut untuk mengisi semula pokeball anda semasa melalui tempat-tempat tersebut tanpa perlu berjalan kaki. Setelah anda tiba di KOMTAR, anda hanya perlu log masuk akaun anda ke Penang Free Wifi untuk menjimatkan data internet telefon bimbit anda untuk bermain pokemon go.

Untuk maklumat anda semua KOMTAR merupakan sebuah Pokemon Gym di mana anda perlu menawannya dengan mengalahkan pelatih pokemon yang lain. Terminal bas komtar pula adalah pokestop untuk dapatkan barangan keperluan untuk permainan tersebut. Saya mendapat tahu bahawa ADUN Pulau Tikus YB Yap Soo Huey pun telah melaksanakan perkhidmatan bas percuma ini di sekitar Pulau Tikus. Ini adalah berita baik untuk semua pelatih pokemon.

Di saat-saat hidup di mana realiti menjadi sukar dan pahit kita mencari tempat untuk berteduh daripada keperitan serta kesedihan maka wujudnya dunia permainan video yang memberikan fantasi kepada pemainnya untuk memainkan watak berlainan dalam hidup. Keadaan ini agak berkaitan rapat dengan anime Sword Art Online yang memaparkan Virtual Reality Massively Multiplayer Online (VRMMO) Role Playing Game dimana pemain seumpamanya memasuki dunia alam maya dan menjadi watak yang baru dalam permainan tersebut.

Mungkin ini hanya merupakan fantasi atau mungkin akan menjadi kenyataan pada masa akan datang ataupun telah wujud di mana kita tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Realiti hidup dan fantasi mungkin menjadi satu pada masa akan datang. Tetapi apa yang pasti adalah kita perlu menghargai apa yang berada di hadapan kita iaitu kebebasan dan hidup yang bermakna.

Sementara semua orang sedang sibuk tangkap Pokemon saya juga berharap pihak penguatkuasa undang-undang dapat memberikan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia dan menangkap Malaysian Official No.1.

*Vince Tan merupakan Ahli Jawatankuasa cawangan DAP Medan Maktab.