Berita

Jeff Ooi jawab tuduhan UMNO Pulau Pinang, rupanya hotel beroperasi tanpa lesen

GEORGE TOWN, 12 OGOS: Maritim Waterfront Suites di Persiaran Karpal Singh dekat Jelutong yang dimiliki ahli perniagaan UMNO sebenarnya didakwa beroperasi tanpa lesen yang sah sejak Jun 2015, dedah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Maritim Waterfront Suites Sdn Bhd, syarikat pengendali hotel terbabit hanya memohon lesen sementara daripada MBPP pada 1 November tahun lalu dan diluluskan pada tarikh yang sama dan sah sehingga 31 Oktober tahun ini.

Pada 21 Ogos 2015, Jabatan Perancangan Pembangunan, MBPP telah mengeluarkan surat pemberitahuan kepada syarikat terbabit bahawa kerja-kerja pengubahsuaian bangunan dijalankan tanpa kelulusan yang sah.

Malah, permohonan pemaju hotel berkenaan, Jelutong Development Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat IJM Group untuk mengubah syarat kegunaan bangunan daripada pejabat komersial ke hotel pada 23 September 2015 telah ditolak MBPP.

Pun begitu, Ketua UMNO bahagian Jelutong, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dilaporkan media telah mendakawa bahawa kononnya Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi telah mengarahkan MBPP untuk tidak meluluskan permohonan tersebut.

Menurut Abdul Razak, alasan Jeff ialah pemilik Maritim Waterfront Suites’ adalah seorang ahli UMNO.

Dihubungi Roketkini Jeff Ooi bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu kerana menurutnya hal tersebut kini sedang berhadapan kes saman di mahkamah.

Maritim Waterfront Suites Sdn Bhd sedang berhadapan saman oleh tiga pembeli yang terjejas ekoran daripada pendedahan MBPP itu. Kes tersebut akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Low Ai Lee, Loke Wooi Pin and Inspira Chaya Sdn Bhd menamakan Waterfront Suites Sdn Bhd (“Maritime Waterfront”) sebagai Defendan 1 dan Badan Pengurusan Bernama Maritime (“JMB”), sebagai Defendan 2.

“Kes ini telah masuk makamah. Sub judis dan menghina mahkamah kalau saya komen,” katanya ringkas. – Roketkini.com