Berita

DAP gesa kerajaan wartakan pindaan benarkan pelarian bekerja secara sah

GEORGE TOWN, 15 OGOS: Kerajaan Persekutuan digesa segera mewartakan pindaan Akta Anti-Pemerdagangan Orang Dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 yang diluluskan di Parlimen setahun yang lalu bagi membela nasib pelarian di negara ini.

Pindaan bagi memasukkan Seksyen 51(a) itu, jelas Pengarah Pendidikan Politik DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong perlu dikuatkuasakan supaya pelarian dapat bekerja secara sah mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.

“Mengikut Seksyen 2 Akta tersebut, seorang pendatang yang diseludup ‘ertinya seseorang yang merupakan objek perbuatan penyeludupan migran tidak kira sama ada orang yang mengambil bahagian dalam perbuatan penyeludupan pendatang’

“Manakala orang yang diperdagangkan merujuk kepada ‘mana-mana orang yang menjadi mangsa atau objek perbuatan pemerdagangan orang.

“Pelarian jelas jatuh di bawah satu atau kedua-dua kategori ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam dalam satu kenyataan hari ini.

Subseksyen satu bagi Seksyen 51(a) itu menetapkan bahawa mana-mana orang yang diperdagangkan dan telah diberi Perintah Perlindungan oleh Majistret boleh dibenarkan untuk bergerak secara bebas dan diambil bekerja secara sah di Malaysia.

Dalam pada itu, Steven Sim turut menyambut baik saranan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya, Dr. Lee Hwok Aun yang mahukan supaya kerajaan membenarkan pelarian bekerja di negara ini.

Hwok Aun dalam artikelnya Jumaat lepas menggesa supaya kerajaan memandang serius saranan itu atas dasar kemanusiaan.

“Mereka (pelarian) adalah antara orang yang paling lemah di dunia; adalah kewajipan sesama manusia untuk menunjukkan belas kasihan dan menghulurkan bantuan secara praktikal.

“Selain itu, jika mereka dilarang bekerja secara sah dan kehilangan pendapatan, mereka terpaksa bekerja secara tidak sah, dan mungkin menyalahi undang-undang, dan melakukan kegiatan yang tidak diingini,” katanya.

Sehingga April lepas, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memaklumkan bahawa kira-kira 154,140 pelarian dan pencari suaka telah didaftarkan di Malaysia. – Roketkini.com